MBH v FCJ [2016] JH48 BHG.2

MBH v FCJ [2016] JH48 BHG.2

Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak

Rayuan Pengesahan Hibah

Fakta Kes 1.  Mahkamah Tinggi Syariah (MTS) pada 15.8.2011 telah menetapkan seperti berikut:

 

(a) Hibah si mati kepada Plaintif (Responden) terhadap sebidang tanah di Mukim Lekir, Daerah Manjung adalah sah menurut Hukum Syarak.

 

2. Terkilan dengan keputusan MTS, Perayu telah memfailkan Notis Rayuan pada 20.8.2013 di Mahkamah Rayuan Syariah (MRyS).

 

3. Responden adalah balu kepada si mati dan sepanjang perkahwinan mereka berdua, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

 

4. Manakala Perayu pula merupakan saudara kandung lelaki kepada si mati.

 

5. Di dalam tuntutan Perayu, MRyS mendapati hanya satu isu yang perlu diselesaikan iaitu –

(a) Sama ada Hakim Bicara telah meneliti dan mempertimbangan berkaitan rukun-rukun dan syarat sah hibah khususnya bagi rukun sighah dan rukun al-qabad.

Isu 1.  Sama ada Hakim Bicara telah meneliti dan mempertimbangan berkaitan rukun-rukun dan syarat sah hibah khususnya bagi rukun sighah dan rukun al-qabad.
Alasan Penghakiman 1.  Sama ada Hakim Bicara telah meneliti dan mempertimbangkan berkaitan rukun-rukun dan syarat sah hibah khususnya bagi rukun sighah dan rukun al-qabad.

 

(a) Setelah MRyS meneliti rekod rayuan, MRyS mendapati permulaan berlakunya transaksi hibah adalah pada Februari 2006 berdasarkan afidavit keterangan Responden yang menyatakan arwah si mati telah menyebut kepadanya lafaz berikut:

 

“aku beri tanah ini kepada kamu.  Kamu tolong sama-sama keluarkan duit usaha bersama.”

 

(b) Walau bagaimanapun, merujuk kepada alasan rayuan dalam rekod rayuan serta penghujahan Perayu, tiada lafaz qabul diucapkan selepas si mati mengucapkan lafaz ijab.  Perkara ini juga diakui oleh Responden di dalam keterangan di dalam Mahkamah Bicara.

 

(c) Namun, MRyS berpendapat bahawa qabul boleh diterima dengan isyarat atau dengan qabul tidak soreh sebagaimana apa yang disebutkan di dalam kitab I’aanah al-Talibin Juz 3 Hlm 293 yang bermaksud –

 

“qabul (penerimaan) sama ada secara lafaz atau isyarat juga”.

 

(d) Setelah MRyS membuat penelitian, MRyS mendapati bahawa rukun al-qabdu telah berlaku setelah si mati melafazkan lafaz ijab pemberian tanah tersebut melalui perbuatan dan qarinah.  Oleh itu, MRyS bersetuju dengan Hakim Bicara MTS yang mensabitkan hibah dengan adanya penerimaan melalui perbuatan, iaitu tindakan arwah si mati melakukan proses pindah milik menurut undang-undang yang berkuat kuasa serta adanya penerimaan melalui usaha tasarruf oleh pihak Responden.

 

(e) Dalam kes ini, pindah milik melalui borang 14A belum disempurnakan kerana wujudnya sekatan kebenaran Menteri Besar, dan kebenaran telah diperolehi untuk pindah milik pada 4.10.2010 iaitu 6 hari sebelum si mati meninggal dunia.

 

(f) Selain dari pembuktian melalui dokumen surat tersebut, MRyS juga mendapati wujudnya penerimaan melalui tasarruf harta tersebut oleh pihak Responden yang didapati melalui keterangan Responden semasa disoal semula seperti berikut:

 

“Soalan peguam Plaintif: soalan peguam Defendan, apa tugas Pemohon selepas harta itu dihibahkan oleh beliau?

Dijawab oleh Reponden: saya urukan untuk urusan sawit.” (ms 57 Rekod Rayuan)

 

(g) Mahkamah juga menyatakan bahawa Qabdu atau penerimaan merupakan syarat luzum hibah menurut Mazhab Syafie.  Kitab Fiqh al-Manhaji ada menyatakan syarat-syarat hibah yang bermaksud –

 

“Supaya penerimaan itu sah dan anugerah tersebut berkuatkuasa, beberapa syarat perlu dipatuhi:

Wujudnya keizinan pemberi: Penerimaan hanya dianggap sah apabila mendapat keizinan pemberi.  Jika penerima menerima anugerah terebut tanpa keizinan pemberi, penerimaan tersebut tidak sah dan anugerah tersebut tidak berkuat kuasa.”

 

Ini bermaksud hak milik bagi barang yang dianugerahkan masih lagi hak pemberi.  Penerima perlu bertanggungjawab ke atas barang yang diterima kerana menerima anugerah tersebut sebelum diizinkan oleh pemberi.

 

(h) Keizinan yang diberikan mestilah jelas atau pemberi sendiri menyerahkan dengan tangannya kepada penerima.  Penerimaan ini boleh berlaku sama ada pada ketika majlis kontrak atau selepasnya, ataupun anugerah tersebut berada di tangan penerima atau tidak.  Jika penerima menerima tanpa keizinan yang jelas atau tanpa penyerahan, maka penerimaan tersebut tidak sah.  Walaupun penerimaan dilihat oleh pemberi dan pemberi hanya berdiam diri.

 

(i) Selepas merujuk kepada keseluruhan keterangan yang diberikan, MRyS tidak mendapati bahawa Responden terhalang untuk melakukan tasarruf ke atas harta hibah tersebut.  Telah menjadi kebiasaan suami isteri mengerjakan hasil daripada tanah walaupun telah bertukar milik.  Maka pada keadaan ini juga adalah jelas bahawa penzahiran niat hibah dari si mati telah direalisasikan walaupun pindah milik menurut peruntukkan undang-undang lambat untuk disempurnakan.

Keputusan 1.  Rayuan Perayu adalah ditolak.

2. Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang mengesahkan hibah si mati kepada Responden dikekalkan.

Kesimpulan 1. Hibah merupakan satu bentuk penzahiran kasih sayang seseorang dalam bentuk harta benda.

2. Hibah yang dilakukan perlulah menepati kehendak Hukum Syarak dengan menyempurnakan setiap syarat dan rukun hibah yang ditetapkan.

3. Setiap hibah yang telah cukup syarat dan rukun tidak boleh dicabar dan telah menjadi milik mutlak penerima hibah tersebut.

Share:

More Posts

Send Us A Message