Hibah: Hadiah Semasa Hidup, Elak Sengketa Kemudian Hari

Bayangkan anda bekerja keras seumur hidup, kumpul harta… tapi bila anda tiada, harta itu jadi punca pergaduhan keluarga. Mesti tak nak, kan? Sebab itulah pentingnya merancang pengagihan harta. Selain wasiat, ada satu cara yang bagus dan fleksibel dalam Islam: HIBAH.

Tapi, hibah bukan sekadar lafaz, “Saya bagi awak rumah ni.” Ia ada peraturan dan prosesnya. Jika silap langkah, niat baik anda boleh jadi sia-sia atau lebih teruk, dicabar di mahkamah. Mari kita fahami apa itu hibah, bagaimana nak buat dengan betul, dan kenapa kadang-kadang ia boleh jadi rumit.

1.      APA SEBENARNYA HIBAH ?

Senang cerita, hibah ialah hadiah. Hibah adalah proses anda memberikan hak milik harta anda kepada sesiapa sahaja yang anda mahu (anak, isteri, kawan, atau sesiapa pun) semasa anda masih hidup. Pemberian ini dibuat secara sukarela, tanpa mengharapkan sebarang balasan (‘iwad)[1].

Amalan ini sangat digalakkan dalam Islam kerana ia tanda kasih sayang. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW, “Beri-memberilah kamu, nanti kamu akan berkasih sayang.”

2. TIGA (3) SYARAT WAJIB SUPAYA HIBAH ANDA SAH & TAK BOLEH DICABAR

Untuk pastikan hibah anda “kalis ” dari segi undang-undang, ia mesti cukup tiga syarat utama (dipanggil rukun):

(a) Siapa Beri & Siapa Dapat (Pemberi & Penerima):

i.Pemberi: Mestilah pemilik mutlak harta itu, waras, matang (cukup umur iaitu lebih 18 tahun), dan tidak dipaksa.
ii. Penerima: Boleh jadi sesiapa sahaja. Kalau penerima masih bawah umur, seorang pemegang amanah boleh dilantik untuk terima bagi pihaknya.

(b) Janji & Persetujuan (Akad/Sighah):
i. Mesti ada lafaz beri (ijab) dan lafaz terima (kabul) yang jelas. Contohnya, “Saya hibahkan kereta ini kepada awak,” dan penerima menjawab, “Saya terima.” Jika lafaz ini kabur, hibah boleh jadi tidak sah seperti dalam kes Aishah Md. Isa & 4 Yang Lain lwn. Hariah Nasah[2].

                 (c) Harta yang Diberi (Mawhub):

i.Harta itu mestilah wujud, halal, milik penuh pemberi, dan ditentukan secara spesifik, seperti yang ditegaskan dalam kes Tengku Zainah binti Tengku Yusof lwn. Tengku Rosnani bt Tengku Yusof & 2 Yang Lain[3].

PENTING! Hibah hanya dikira sempurna bila ada serah terima atau al-qabd[4]. Maksudnya, penerima mesti dah dapat akses atau kawalan ke atas harta itu. Tanpa al-qabd, hibah itu masih “tergantung”.

 

3. HIBAH BERSYARAT & HIBAH AMANAH: “SAFETY NET” UNTUK PEMBERI

“Boleh ke saya hibahkan rumah, tapi saya nak duduk di rumah tersebut sampai saya meninggal?”

Jawapannya, BOLEH! Inilah gunanya Hibah Amanah.

Hibah Amanah adalah gabungan dua kontrak: Hibah + Amanah. Ia membolehkan anda meletakkan syarat-syarat tertentu. Anda boleh hibahkan harta kepada seseorang, tetapi melantik seorang Pemegang Amanah untuk menjaga harta itu buat sementara waktu. Kadang-kadang, anda sendiri boleh jadi Pemegang Amanah.

Masih ingat filem 3 Abdul lakonan Tan Sri P. Ramlee? Watak hartawan Ismet Ulam Raja melantik Sadiq Sigaraga sebagai pemegang amanah untuk menjaga harta anak bongsunya, Abdul Wahub. Itulah contoh mudah konsep amanah dalam budaya kita!

Semua syarat ini akan ditulis dengan jelas dalam satu dokumen undang-undang yang dipanggil Surat Ikatan Amanah (SIA)[5]. Dokumen inilah yang menjadi “manual” dan instrumen kepada semua pihak.

 

4. HIBAH DALAM KEHIDUPAN MODEN: ASNB, TAKAFUL & HARTANAH

  • ASNB/PNB: Anda boleh hibahkan unit amanah saham anda. Dalam kes Noor Zaleha lwn. Fatimah[6], Mahkamah Rayuan Syariah mengesahkan hibah unit ASNB yang dibuat oleh si mati kepada anaknya, membuktikan instrumen ini diiktiraf mahkamah.

  • Takaful: Ini mungkin aplikasi hibah yang paling biasa. Bila anda letak nama seseorang sebagai penama hibah dalam polisi takaful, duit pampasan akan terus pergi kepadanya tanpa perlu melalui proses pusaka yang panjang dan rumit. Hibah Takaful tidak dikira sebagai harta pusaka berdasarkan Jadual 10, seksyen 142 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (APKI) 2013 [Akta 759].

  • Hartanah: Anda boleh hibahkan rumah atau tanah walaupun masih ada hutang bank. Proses ini juga menggunakan konsep Hibah Amanah untuk melindungi hak semua pihak. Malah, hibah kepada anak di bawah umur juga boleh disahkan melalui wakil, seperti yang diputuskan dalam kes Rosmah Suly & 1 Orang Lagi lwn. Ismail Mohamad & 1 Orang Lagi[7], di mana mahkamah mengesahkan hibah melalui Surat Kuasa Wakil.

 

KENAPA KADANG-KADANG JADI RUMIT? ISU MAHKAMAH SIVIL VS. SYARIAH

Inilah bahagian yang paling mencabar. Pada asasnya, hibah adalah urusan agama Islam, jadi ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

TETAPI…

Apabila hibah itu melibatkan elemen amanah (trust), ia juga boleh jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil, kerana amanah dikawal oleh undang-undang sivil iaitu Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208]. Inilah yang menyebabkan kekeliruan dan pertindihan.

Beberapa kes mahkamah seperti TM Feroze Khan & Ors lwn Meera Hussain[8] dan Dato’ Kadar Shah lwn Datin Fauziah Haron[9] telah menunjukkan Mahkamah Sivil mendengar kes-kes sebegini. Ini membuktikan betapa pentingnya dokumen hibah dan amanah anda disediakan dengan teliti oleh peguam yang mahir dalam kedua-dua bidang undang-undang.

KESIMPULAN: APA LANGKAH ANDA SETERUSNYA?

Hibah adalah alat perancangan harta yang sangat hebat, tetapi ia bukan sesuatu yang boleh dibuat sambil lewa. Ia memerlukan dokumen yang jelas, pematuhan rukun yang ketat, dan pemahaman tentang undang-undang yang kompleks.

Merancang hibah bukan tentang memikirkan kematian, tetapi tentang meraikan kehidupan dan memastikan kasih sayang anda sampai kepada orang yang betul tanpa meninggalkan sengketa. Mendapatkan nasihat guaman yang betul bukanlah satu kos, tetapi satu pelaburan untuk ketenangan fikiran anda dan keharmonian keluarga di masa hadapan.

Disediakan oleh,

Misyail Binti Othman

Principal Partner

Aiman Izzuddin Bin Jamaluddin

Paralegal

[1] Alias bin Ismail lwn Fatimah binti Awang dan Lain, JH (1410H) Jld. VII Bhg. I, 47

[2] [JH Jilid 43 Bahagian 2 (1438H/Dis 2016 270)].

[3] [Kes Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu No. 11000-044-0665-2011]

[4] Al-qabd: Merujuk kepada proses penyerahan dan penguasaan (milikan) fizikal atau konstruktif ke atas harta yang dihibahkan. Ia adalah syarat penting untuk menyempurnakan akad hibah.

[5] Surat Ikatan Amanah (SIA): Juga dikenali sebagai Trust Deed. Ia adalah dokumen undang-undang yang menggariskan terma dan syarat amanah, serta hak dan tanggungjawab pemegang amanah yang dilantik untuk menguruskan harta hibah tersebut.

[6][Kes Rayuan Syariah Terengganu No. 11000-044-0004-21].

[7] [JH Jilid 32 Bahagian 2 (1432H/Jun 2011) 223].

[8] [2006] 3 CLJ 616.

[9] (2008) 7 MLJ 779.

Share:

More Posts

Send Us A Message