ZMN v HAP [2018] 3 ShLR 36

 

ZMN v HAP [2018] 3 ShLR 36
Mahkamah Tinggi Syariah
Pematuhan terhadap Perintah Harta Sepencarian

Fakta

  1. Kes ini melibatkan permohonan pelaksanaan perintah harta sepencarian yang difailkan oleh bekas isteri (“Pemohon”) terhadap bekas suaminya (“Responden”) berikutan keengganan bekas suami mematuhi perintah Mahkamah yang telah dikeluarkan sebelumnya.

  2. Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 28 Februari 2017 telah mengisytiharkan sebuah rumah di Bandar Seri Putra Bangi sebagai harta sepencarian dengan nisbah pemilikan 70% bagi pihak Pemohon dan 30% bagi pihak Responden.

  3. Walaupun perintah tersebut telah sah dikeluarkan, Responden tidak mengambil sebarang langkah untuk mematuhinya malah menghalang proses penjualan rumah daripada diteruskan.

  4. Pemohon telah bertindak proaktif dengan melantik agen hartanah dan peguam bagi memudahkan urusan penjualan namun usaha tersebut terbantut akibat keengganan Responden menandatangani dokumen yang diperlukan.

  5. Situasi ini, menyebabkan beberapa bakal pembeli mengundur diri dan Pemohon terpaksa menanggung kos bulanan serta kos pemulihan kerosakan rumah yang dibiarkan terbengkalai.

  6. Berasaskan kepada keadaan tersebut, Pemohon memfailkan permohonan pelaksanaan perintah pada Jun 2017 bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah untuk melantik Pendaftar Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat bagi menandatangani dokumen penjualan rumah tersebut bagi pihak Responden.

  7. Responden pula mempertahankan pendiriannya dengan mendakwa bahawa perbincangan berkaitan penjualan rumah berlaku sebelum perintah harta sepencarian dikeluarkan dan Pemohon gagal berkongsi maklumat berkaitan pelantikan agen dan urusan penjualan.

Isu-Isu

  1. Sama ada Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah pelaksanaan bagi memaksa pematuhan terhadap perintah harta sepencarian yang telah dikeluarkan.

  2. Sama ada bukti yang dikemukakan oleh Pemohon mencukupi untuk membuktikan keengganan Responden bekerjasama dalam urusan penjualan rumah sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah melalui perintah pelaksanaan.

Alasan Penghakiman

Isu Pertama: Sama ada Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah pelaksanaan bagi memaksa pematuhan terhadap perintah harta sepencarian yang telah dikeluarkan.

(a) Mahkamah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah pelaksanaan dalam kes ini.

(b) Asas kuasa tersebut terletak pada seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965 (“KTN 1965”) yang memberi kuasa kepada Mahkamah untuk mengarahkan Pendaftar atau Pentadbir Tanah mengambil tindakan yang diperlukan bagi memberi kuatkuasa kepada sebarang perintah Mahkamah yang berkaitan dengan tanah.

(c) Pemakaian seksyen 417 kepada Mahkamah Syariah disahkan oleh seksyen 421A KTN 1965 yang secara terang memperluaskan tafsiran “Mahkamah” dalam seksyen 417 tersebut untuk merangkumi Mahkamah Syariah. Ini memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk memerintahkan Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah menandatangani Borang 14A dan dokumen berkaitan bagi penjualan harta sepencarian.

(d) Permohonan pelaksanaan ini turut disokong oleh seksyen 187 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (“ETMMSS 2003”) yang membenarkan permohonan pelaksanaan perintah difailkan setelah perintah dikeluarkan oleh Mahkamah.

(e) Memandangkan tiada peruntukan khusus yang menggariskan prosedur pelaksanaan perintah harta sepencarian, Mahkamah menjalankan budi bicaranya berdasarkan seksyen 244 ETMMSS 2003 dalam memutuskan cara yang paling sesuai untuk melaksanakan perintah tersebut.

Isu Kedua: Sama ada bukti yang dikemukakan oleh Pemohon mencukupi untuk membuktikan keengganan Responden bekerjasama dalam urusan penjualan rumah sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah melalui perintah pelaksanaan.

(a) Mahkamah memutuskan bahawa Pemohon telah berjaya membuktikan keengganan Responden bekerjasama dalam urusan penjualan rumah tersebut.

(b) Penelitian Mahkamah terhadap surat peguam yang dikemukakan mendapati bahawa Pemohon telah mengambil inisiatif yang munasabah dengan melantik agen hartanah dan mencari pembeli selepas perintah harta sepencarian diperoleh.

(c) Rakaman perbualan melalui emel dan surat yang dikemukakan sebagai ekshibit mengesahkan bahawa Responden telah menghalang proses penjualan daripada diteruskan sehingga menyebabkan rumah tersebut mengalami kerosakan dan beban pembayaran ansuran bulanan jatuh ke atas bahu Pemohon semata-mata.

(d) Kesan keengganan Responden turut diambil kira oleh Mahkamah iaitu Pemohon terpaksa menanggung bayaran ansuran bulanan rumah sebanyak Rm357 dan mengeluarkan kos pemulihan kerosakan rumah yang dibiarkan terbengkalai tanpa penyelenggaraan oleh Responden.

(e) Mahkamah tidak menerima penjelasan Responden bahawa keengganannya adalah disebabkan perintah harta sepencarian belum diperoleh semasa perbincangan berlaku. Bukti perbualan melalui emel dan surat yang dikemukakan jelas menunjukkan bahawa keengganan Responden berterusan walaupun selepas perintah harta sepencarian telah pun dikeluarkan oleh Mahkamah.

Keputusan

  1. Mahkamah memberikan tempoh dua bulan kepada Responden untuk menandatangani borang persetujuan penjualan rumah tersebut secara sukarela.

  2. Sekiranya Responden masih enggan mematuhi perintah tersebut selepas tamat tempoh yang ditetapkan, Pentadbir Tanah Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat Selangor diberi kuasa untuk menandatangani dokumen penjualan bagi pihak Responden.

  3. Perintah ini berkuat kuasa serta merta pada tarikh penghakiman dikeluarkan.

Dapatan Utama

  1. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengeluarkan perintah pelaksanaan berkaitan harta sepencarian adalah kukuh berdasarkan gabungan seksyen 417 dan seksyen 421A KTN 1965 yang secara terang memasukkan Mahkamah Syariah dalam tafsiran “Mahkamah” bagi tujuan penguatkuasaan perintah yang melibatkan tanah.

  2. Keengganan pihak yang diperintahkan untuk mematuhi perintah harta sepencarian mewajarkan campur tangan Mahkamah melalui perintah pelaksanaan, namun Mahkamah hendaklah terlebih dahulu memberi peluang kepada Pihak berkenaan mematuhi perintah secara sukarela dalam tempoh yang ditetapkan sebelum mengaktifkan kuasa Pentadbir Tanah untuk bertindak bagi pihak yang enggan mematuhi perintah tersebut.

Penghakiman penuh boleh didapati daripada Lexisadvance.

 

Share:

More Posts

LHB v Public Prosecutor [2024] 1 MLJ 225

LHB v Public Prosecutor [2024] 1 MLJ 225 Federal Court (Putrajaya)  Unconstitutionality of Section 498 Penal Code under Article 8(2) of the Federal Constitution Facts

Send Us A Message