FITTERS Diversified Bhd & Ors v MRM & Ors [2024] 3 MLJ

 

FITTERS Diversified Bhd & Ors v MRM & Ors [2024] 3 MLJ

 

Mahkamah Rayuan (Putrajaya)

 

Tort – Fitnah

 

Fakta Kes

  1. Perayu-perayu ialah FITTERS Diversified Bhd dan syarikat-syarikat berkaitannya yang menjalankan perniagaan pembuatan dan perdagangan set pintu tahan api, keselamatan, peralatan memadam kebakaran dan produk-produk industri, manakala Responden Pertama ialah Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
  2. Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK telah menerima aduan daripada Doretti Resources Sdn Bhd berhubung pemilikan cap dagangan PYRO, lalu menjalankan serbuan ke atas sebuah kilang yang dikendalikan oleh Perayu Kedua dan merampas barangan produk yang mempunyai cap dagangan tersebut.
  3. Selepas serbuan itu, Responden Pertama telah mengadakan sidang media dan KPDNKK mengeluarkan kenyataan akhbar bertajuk “Barang Tiruan PYRO”, yang disebarkan kepada pemberita serta diterbitkan di Twitter, Utusan Malaysia, Harian Metro dan sebuah laman blog.
  4. Pertikaian undang-undang antara Perayu-Perayu dan Doretti mengenai pemilikan cap dagangan PYRO kemudiannya diputuskan memihak kepada Perayu Kedua apabila Mahkamah Tinggi mengiktirafnya sebagai pengguna pertama bona fide dan pemilik common law cap dagangan tersebut.
  5. Pada 4 Mei 2017, pertuduhan jenayah terhadap pengarah-pengarah Perayu Kedua di bawah seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 telah ditarik balik oleh Responden Ketiga.
  6. Walau bagaimanapun, kenyataan “Barang Tiruan PYRO” terus diterbitkan walaupun selepas saman sivil berhubung cap dagangan diselesaikan yang memihak kepada Perayu-perayu.
  7. Perayu-perayu telah memfailkan suatu tindakan di Mahkamah Tinggi terhadap Responden bagi tuntutan fitnah dan  tindakan di Mahkamah Tinggi bagi menuntut fitnah dan kepalsuan berniat jahat terhadap Responden berhubung kenyataan media tersebut.
  8. Mahkamah Tinggi telah menolak tuntutan Perayu-perayu, lalu Perayu mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dengan mendakwa antaranya bahawa frasa “Barang Tiruan PYRO” adalah fitnah dan penerbitannya secara berterusan telah menjejaskan reputasi mereka.
 

Isu-Isu

 

  1. Sama ada frasa ‘Barang Tiruan PYRO” merupakan suatu kenyataan yang berunsur fitnah terhadap Perayu.
  2. Sama ada penerbitan berterusan kenyataan tersebut selepas Perayu diiktiraf sebagai pemilik cap dagang PYRO mewujudkan liabiliti bagi fitnah.
  3. Sama ada kenyataan “Barang Tiruan PYRO” merujuk atau mengenal pasti Perayu berdasarkan imbangan kebarangkalian.
  4. Sama ada Responden berhak bergantung kepada pembelaan justifikasi dan keistimewaan bersyarat.
Alasan Penghakiman Isu Pertama: Sama ada frasa “Barang Tiruan PYRO” merupakan suatu kenyataan yang berunsur fitnah terhadap perayu.

  1. Mahkamah  menyatakan bahawa perayu-perayu perlu membuktikan 3 elemen fitnah iaitu-
    1. kenyataan berunsur fitnah,
    2. kenyataan itu merujuk kepada perayu-perayu, dan
    3. kenyataan tersebut diterbitkan kepada pihak ketiga
  2. Mahkamah menerima pakai ujian dua peringkat untuk menentukan sama ada sesuatu kenyataan itu memfitnah.
  3. Mahkamah memutuskan bahawa frasa “Barang Tiruan PYRO” mampu membawa maksud fitnah kerana boleh menjatuhkan reputasi pihak yang dikaitkan dengan serbuan dan rampasan.
  4. Mahkamah mendapati bahawa frasa “Barang Tiruan PYRO” berunsur fitnah dan memenuhi elemen pertama tort fitnah sama ada melalui maksud biasa  atau sindiran.

Isu Kedua: Sama ada penerbitan berterusan kenyataan tersebut selepas Perayu-Perayu diiktiraf sebagai pemilik cap dagang PYRO mewujudkan liabiliti bagi fitnah.

  1. Mahkamah memutuskan bahawa penerbitan berterusan kenyataan yang sama tidak mengubah maksud asal kenyataan tersebut.
  2. Keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemilikan cap dagang dan penarikan balik pertuduhan jenayah tidak menjadikan kenyataan media terdahulu sebagai fitnah baharu.

Isu Ketiga: Sama ada kenyataan “Barang Tiruan PYRO” merujuk atau mengenal pasti Perayu-Perayu berdasarkan imbangan kebarangkalian.

  1. Mahkamah mendapati kenyataan media tersebut tidak secara langsung menyebut nama Perayu-Perayu atau mengenal pasti gudang yang diserbu adalah milik mereka.
  2. Mahkamah memutuskan bahawa pembaca yang munasabah hanya akan memahami kenyataan tersebut sebagai pengesahan bahawa KPDNKK sedang menjalankan penyiasatan berikutan suatu aduan, tanpa mengenal pasti gudang atau identiti suspek.
  3. Oleh itu, Perayu-Perayu gagal membuktikan elemen bahawa kenyataan tersebut merujuk atau mengenal pasti mereka sebagai pihak yang difitnah.

Isu Keempat: Sama ada Responden-Responden berhak bergantung kepada pembelaan justifikasi dan keistimewaan bersyarat.

  1. Mahkamah menyatakan bahawa beban membuktikan pembelaan justifikasi dan keistimewaan bersyarat terletak pada Responden-Responden.
  2. Mahkamah memutuskan bahawa pembelaan justifikasi berjaya kerana kenyataan media adalah benar pada masa ia dibuat.
  3. Mahkamah juga memutuskan bahawa kenyataan itu dibuat demi kepentingan awam dan Perayu-Perayu gagal membuktikan niat jahat, maka pembelaan keistimewaan bersyarat berjaya.
 

Keputusan Penghakiman

  1. Mahkamah Rayuan menolak rayuan Perayu-Perayu dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi, serta memerintahkan Perayu-Perayu membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Responden-Responden.
 

Dapatan Utama

 

  1. Mahkamah mengesahkan bahawa frasa “Barang Tiruan PYRO” mampu membawa maksud fitnah kerana berupaya menjatuhkan reputasi pihak yang dikaitkan dengan serbuan dan rampasan barang tiruan.
  2. Mahkamah menegaskan bahawa dalam tindakan fitnah, plaintif wajib membuktikan tiga elemen utama, iaitu kenyataan tersebut berunsur fitnah, merujuk kepada Perayu-Perayu dan telah diterbitkan kepada pihak ketiga.
  3. Mahkamah mendapati Perayu gagal membuktikan bahawa kenyataan “Barang Tiruan PYRO” merujuk atau mengenal pasti Perayu, menyebabkan tuntutan fitnah tidak dapat dikekalkan.
  4. Mahkamah Rayuan menolak rayuan Perayu-Perayu dan mengesahkan Keputusan Mahkamah Tinggi dengan kos sebanyak RM30,000 kepada Responden.

Share:

More Posts

LKK v THC [2017] MLJU 686

LKK v THC [2017] MLJU 686 Mahkamah Rayuan (Putrajaya) Tuntutan Fitnah   Fakta Kes   Kes ini melibatkan tuntutan fitnah secara bertulis (libel) yang difailkan

LLE v OKC [2022] 5 MLRA 208

LLE v OKC [2022] 5 MLRA 208 Federal Court (Putrajaya)  Ineligibility of Political Parties to Maintain Defamation Actions Facts of the case The Appellant, LLE,

Soalan Lazim – Hadhanah

    No. Soalan Jawapan 1. Apa itu Hadhanah? Secara umumnya, hadhanah ialah hak dan tanggungjawab untuk menjaga, mengasuh, mendidik dan memastikan kebajikan anak, khususnya

Send Us A Message