AAH lwn MH[2022] SLRHU 18

AAH lwn MH[2022] SLRHU 18

 

Mahkamah Tinggi Syariah (Shah Alam)

 

Semakan terhadap Pengesahan Lafaz Cerai

Fakta Kes 1.   Pemohon dalam kes ini merupakan bekas isteri kepada Responden.

 

2. Pada 23 Julai 2021, Pemohon telah memfailkan satu tuntutan Pengesahan Lafaz Cerai berdasarkan seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No.1 Tahun 2003]. Kes tersebut telah dibicarakan dan diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

 

3.  Pada 6 April 2022, Pemohon telah memfailkan semakan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Syariah Tinggi Shah Alam (MTS) berdasarkan subseksyen 66 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

 

4.    Semakan tersebut adalah berdasarkan alasan-alasan berikut:

 

(a) Pemohon menyatakan bahawa Responden mempunyai laporan perubatan berkaitan gangguan fikiran dan emosi dapat menjejaskan fungsi fikirannya.

 

(b) Pemohon turut menyatakan bahawa Reponden pada ketika itu sedang menjalani proses pemulihan.

Isu 1.  Sama ada lafaz cerai oleh Responden adalah sah menurut undang-undang dan Hukum Syara’, memandangkan keadaan emosi dan pemikiran Responden semasa lafaz dibuat berada dalam fasa pemulihan.
Alasan Penghakiman 1. Sama ada lafaz cerai oleh Responden adalah sah menurut undang-undang dan Hukum Syara’, memandangkan keadaan emosi dan pemikiran Responden semasa lafaz dibuat berada dalam fasa pemulihan.

 

(a)  MTS berpendapat bahawa alasan yang dikemukakan oleh Pemohon adalah berkaitan dengan fakta dan perkara asas dalam kes, dan bukannya berhubung sebarang kecacatan dalam perjalanan prosiding atau pertentangan keputusan dengan peruntukan undang-undang atau Hukum Syara’.

 

(b) MTS turut merujuk kepada Arahan Amalan No. 7 Tahun 2014 yang telah menetapkan beberapa kriteria yang boleh disemak melalui subseksyen 66 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [ No 1 Tahun 2003] iaitu –

 

(i)  Keputusan bercanggah dengan Hukum Syara’, seperti tempoh iddah yang tidak menepati hukum;

 

(ii)  Keputusan atau hukuman melampaui undang-undang sedia ada;

 

(iii) Kesilapan teknikal oleh hakim, seperti kesalahan penulisan, rujukan prosedur atau undang-undang yang salah;

 

(iv) Keputusan berdasarkan pengetahuan peribadi hakim tanpa bukti, dan fakta itu kemudian didapati tidak jelas; dan

 

(v) Kesilapan berpunca daripada keterangan atau pengakuan pihak-pihak, yang ternyata tidak tepat.

 

(c) Dalam hal ini, MTS menegaskan bahawa sebarang perbezaan berkaitan fakta dan perkara asas dalam sesuatu kes hendaklah dijelaskan melalui saluran yang diiktiraf oleh undang-undang, seperti prosedur rayuan, dan bukan melalui proses semakan sebagaimana yang dipohon oleh Pemohon.

Keputusan 1. MTS memutuskan dan memerintahkan semakan Pemohon adalah ditolak.
Kesimpulan 1.  MTS menolak permohonan semakan kerana alasan yang dikemukakan berkaitan dengan fakta kes dan bukan kecacatan prosedur atau keputusan yang bertentangan dengan undang-undang atau Hukum Syarak. Semakan hanya sesuai untuk isu teknikal atau kesalahan jelas, manakala pertikaian fakta perlu diselesaikan melalui proses rayuan. Hal ini adalah untuk mengekalkan prinsip keadilan dalam sistem penghakiman Syariah.

Share:

More Posts

Send Us A Message