ARK lwn IFS [2023] SLRAU 8

ARK lwn IFS [2023] SLRAU 8

 

Mahkamah Rayuan Syariah (Shah Alam)

 

Permohonon Rayuan membatalkan Perintah Penjagaan Anak-Anak

Fakta Kes 1. Perayu dan Responden telah bercerai pada tahun 2018. Sepanjang 10 tahun perkahwinan mereka, mereka telah dikurniakan 6 orang cahaya mata (”anak-anak”).

 

2.Pada 8 April 2019, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah mengeluarkan satu perintah penjagaan anak-anak secara bersetuju antara kedua-dua pihak.

 

3. Responden kemudiannya telah memfailkan tuntutan untuk mengubah hak penjagaan agar kesemua anak-anak dijaga olehnya.

 

4. Perayu juga membuat tuntutan balas agar hak penjagaan kesemua anak-anak diberikan kepadanya dan Perayu diberikan hak lawatan.

 

5. Pada 6 April 2022, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah menolak kedua-dua tuntutan dan mengekalkan perintah terdahulu berdasarkan pilihan anak-anak selepas ditemu bual oleh Hakim.

 

6. Perayu kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan ini di Mahkamah Rayuan Syariah (“MRyS”).

Isu 1. Sama ada Mahkamah Tinggi Syariah terkhilaf dalam memutuskan hak penjagaan berdasarkan pilihan anak-anak tanpa pertimbangan menyeluruh terhadap kebajikan mereka?
Alasan Penghakiman 1. Sama ada Mahkamah Tinggi Syariah terkhilaf dalam memutuskan hak penjagaan berdasarkan pilihan anak-anak tanpa pertimbangan menyeluruh terhadap kebajikan mereka?

 

(a) MRyS mendapati Hakim Bicara tidak menjalankan perbicaraan penuh untuk mempertimbangkan semua isu dan bukti secara menyeluruh sebelum membuat keputusan. Keputusan dibuat berdasarkan satu sesi temu bual bersama anak-anak.

 

(b) MRyS juga berpendapat bahawa sesi temu bual dengan anak-anak tersebut tidak mencukupi untuk membuat penilaian yang menyeluruh terhadap aspek kebajikan kerana tiada soalan yang dikemukakan tentang alasan anak-anak memilih penjaga masing-masing.

 

(c) Subseksyen 85(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No.1 Tahun 2003] memperuntukkan –

 

“Kanak-kanak mumaiyiz berhak memilih sama ada ingin tinggal dengan ibu atau bapa, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.”

 

(d) MRyS turut menyatakan bahawa anak mumaiyiz boleh diberi peluang untuk membuat pilihan penjaganya, tetapi pilihan tersebut perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah berdasarkan prinsip kebajikan anak tersebut.

 

(e) Dalam hal ini, MRyS telah merujuk kepada pandangan Imam Ibnu Qayyim dalam kitab Zaadul Ma’ad jilid 5, muka surat 2004-2005, seperti berikut:

 

’Aku pernah mendengar syeikhku berkata telah berselisih faham kedua ibubapa akan seorang anak di hadapan hakim bicara tentang siapakah yang berhak memelihara atau menjaga anaknya. Kemudian Hakim itu menyuruh anak itu memilih untuk tinggal bersama mereka antara ibu atau bapanya lalu anak itu memilih bapanya.

 

Berkata ibunya kepada Hakim, cubalah tuan tanya kepada anak itu apa sebabnya anak itu memilih bapanya. Lalu Hakim berkenaan bertanya kepada anak tersebut.

 

Anak tersebut menjawab ’ibuku menghantarku ke tempat mengaji al-Quran dan fardhu ain pada tiap-tiap hari dan guruku acap kali memukulku, manakala bapaku membiarkan aku bermain-main bersama dengan kawan-kawanku. Sebab itu aku suka tinggal dengan bapaku.

 

Bila mendengar penjelasan anak itu, Hakim telah memerintahkan hak jagaan diberikan kepada ibu mereka dengan katanya “engkaulah yang lebih berhak memelihara anakmu itu.’

 

(f) MRyS menjelaskan bahawa seksyen 87 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No.1 Tahun 2003, memperuntukkan –

“Untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan utama ialah kebajikan kanak-kanak itu.”

 

(g) Oleh itu, MRyS memutuskan bahawa kebajikan anak-anak merupakan pertimbangan utama dalam isu jagaan.

 

(h) MRyS juga merujuk prinsip syarak dan hadis yang menyatakan bahawa seorang Hakim perlu mendengar keterangan semua pihak sebelum membuat keputusan. Tidak cukup untuk hanya mendengar sebelah pihak atau mengambil pendekatan ringkas.

 

(i) MRyS mendapati proses temu bual oleh Hakim juga tidak dijelaskan secara terperinci dalam rekod rayuan – tiada alasan menyeluruh diberi oleh anak-anak, dan tiada laporan sosial, psikologi atau sokongan keterangan lain dikemukakan.

 

Keputusan 1. MRyS telah menerima rayuan Pemohon dan memutuskan supaya kes ini diteruskan dengan perbicaraan penuh.

 

Kesimpulan 1. Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah terkhilaf apabila memutuskan isu hak penjagaan semata-mata berdasarkan pilihan anak-anak tanpa menilai secara menyeluruh aspek kebajikan mereka. Temu bual ringkas yang tidak disokong dengan alasan jelas atau bukti lain adalah tidak mencukupi.

 

2. Kebajikan anak-anak merupakan pertimbangan utama sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang dan prinsip syarak. Pilihan anak-anak hanya boleh diambil kira sebagai salah satu faktor, tetapi tidak boleh menjadi asas tunggal dalam menentukan hak penjagaan. Walaupun anak-anak mumaiyiz mempunyai hak untuk menyatakan pilihan mereka, keputusan Mahkamah berkaitan hak penjagaan anak-anak perlu bersandarkan kepada kebajikan anak-anak tersebut.

Share:

More Posts

Send Us A Message