ASI lwn. RR [2023] SLRAU 35

ASI lwn. RR [2023] SLRAU 35

Mahkamah Rayuan Syariah (Shah Alam)

Semakan Permohonan Interim Hadhanah (Ex-parte)

Fakta Kes

1.Kes ini adalah berkaitan semakan Permohonan Interim Hadhanah (Ex-parte) yang difailkan oleh Pemohon terhadap Perintah oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

2. Pemohon merupakan bekas suami kepada Responden.

3. Pemohon telah memfailkan semakan permohonan tersebut di Mahkamah Rayuan Syariah (MRyS) dengan menuntut agar MRyS, antara lain–

(a) Membatalkan penghakiman YA Hakim Bicara yang memerintahkan hak penjagaan sementara anak bernama ASAS yang diberikan kepada Responden selaku ibu kandung sehingga perintah lain dikeluarkan.

(b) Memberikan hak jagaan sementara anak bernama ASAS di bawah Pemohon selaku bapa kandung yang sah sehingga suatu perintah lain dikeluarkan.

Isu
  1. Sama ada alasan-alasan yang dikemukakan oleh Pemohon dalam permohonan ini bersesuaian untuk proses semakan ini digunakan atau sebaliknya?
Alasan Penghakiman

1. Sama ada alasan-alasan yang dikemukakan oleh Pemohon dalam permohonan ini bersesuaian untuk proses semakan ini digunakan atau sebaliknya?

(a) Mahkamah telah meneliti alasan yang dibangkitkan oleh Pemohon berkaitan isu kegagalan YA Hakim Bicara menggunakan budi bicara dalam memutuskan hak jagaan sementara bagi anak bernama ASAS di bawah seksyen 84 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 [ Enakmen No.2 Tahun 2003] yang memperuntukkan bahawa hak penjagaan yang diberikan kepada seorang ibu boleh terlucut dalam beberapa keadaan, iaitu-

 (a)apabila ibu tersebut berkahwin dengan individu yang bukan mahram kepada kanak-kanak dan keadaan itu didapati boleh menjejaskan kebajikan kanak-kanak, namun hak penjagaan boleh dikembalikan jika perkahwinan itu dibubarkan;

(b)jika ibu menunjukkan kelakuan buruk secara terang-terangan dan melampau;

(c)apabila ibu berpindah tempat tinggal dengan niat untuk menghalang bapa daripada menjalankan tanggungjawab pengawasan terhadap anak, kecuali jika pemindahan itu melibatkan isteri yang bercerai pulang ke tempat asal kelahirannya bersama anak tersebut.

(b)   Pemohon turut merujuk kepada subseksyen 87 (2) dan (3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No.2 Tahun 2003] yang memperuntukan bahawa untuk menentukan penjagaan yang sesuai bagi seorang kanak-kanak, perkara utama yang harus dipertimbangkan adalah kebajikan kanak-kanak itu. Selain itu, Mahkamah juga perlu mengambil kira-

(a) Kehendak ibu bapa kanak-kanak; dan

(b) Pendapat kanak-kanak itu, sekiranya dia cukup umur untuk menyatakan pendapat. Walaupun ada anggapan bahawa adalah baik bagi kanak-kanak untuk tinggal bersama ibu mereka semasa kecil, anggapan ini boleh dipatahkan. Mahkamah perlu menilai sama ada anggapan ini sesuai dengan keadaan kes tertentu, dengan mengambil kira kesan buruk perubahan penjagaan terhadap kehidupan kanak-kanak tersebut.

(c)  Pemohon telah menghujahkan dengan memberikan alasan bahawa Responden telah cuai dan mengabaikan anak tersebut kerana anak tersebut telah mengalami kecederaan yang serius semasa di bawah jagaan Responden. Selain itu, Pemohon menyatakan bahawa Responden adalah seorang berkelakuan buruk dan status Responden telah berkahwin dengan individu yang bukan mahram kepada kanak-kanak telah menggugurkan kelayakan sebagai penjaga kepada anak tersebut.

(d) Mahkamah menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh Pemohon berkaitan isu yang dibangkitkan adalah bukan sesuatu isu yang sesuai atau wajar dibangkitkan dalam medium semakan ini. Hal ini, kerana alasan-alasan yang dikemukakan perlu diuji kebenarannya. Mahkamah memutuskan medan yang sesuai untuk membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut adalah melalui proses perbicaraan kes induk yang memberi ruang bagi kedua-dua belah pihak untuk membuktikan dan menafikan dakwaan masing-masing.

Keputusan

1.    MRyS telah menolak semakan Pemohon.

Kesimpulan

1.    Proses semakan rayuan merupakan suatu mekanisme perundangan yang bertujuan untuk menilai semula sesuatu keputusan bagi mengenal pasti sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan prinsip keadilan, bercanggah dengan nas syarak yang qat’ie, atau tidak selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

2.    Dalam konteks kes ASI lwn. RR, MRyS menegaskan bahawa semakan bukanlah medium yang sesuai untuk membuktikan dakwaan substantif seperti kecuaian, kelakuan buruk, atau isu kelayakan moral penjaga, kerana dakwaan sebegini memerlukan siasatan fakta dan pembuktian yang hanya boleh dilaksanakan secara adil melalui perbicaraan penuh.

 

 

 

Share:

More Posts

KAK v AAK [2023] SLRAU 21

KAK v AAK [2023] SLRAU 21 Syariah Court of Appeal (Shah Alam) Appeal against dismissal of preliminary objection to the Show Cause Notice Facts 1.

HH & Ors v HS [2019] 3 SHLR 11

HH & Ors v HS [2019] 3 SHLR 11 Mahkamah Rayuan Syariah (Selangor) Rayuan Membatalkan Hibah Fakta Kes 1. Perayu-perayu merupakan anak perempuan kepada Responden. 

Send Us A Message