Apabila penjual dan pembeli menandatangan satu Perjanjian Jual Beli hartanah, Perjanjian Jual Beli hartanah itu hendaklah dimati setem di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (“LHDN”). Penyeteman ini adalah bagi tujuan pengenaan duti setem iaitu suatu cukai yang dikenakan atas Perjanjian Jual Beli yang mempunyai kesan perundangan, kewangan atau komersial.
Kebiasaannya, peguam akan menyediakan 4 salinan Perjanjian Jual Beli iaitu satu salinan ASAL, satu salinan DUPLIKASI dan 2 salinan PENDUA. Bagi situasi pembeli membeli hartanah melalui pinjaman perumahan, salinan ASAL Perjanjian Jual Beli akan diberikan kepada institusi kewangan yang memberi kemudahan pembiayaan kepada pembeli. Manakala salinan DUPLIKASI adalah untuk simpanan penjual. Pembeli dan peguamnya akan mendapat satu salinan PENDUA Perjanjian Jual Beli yang sama.
Akta 378 memperuntukkan bahawa Perjanjian Jual Beli hendaklah dimatikan setem dalam tempoh 30 hari dari tarikh ia sempurna ditandatangani bagi mengelak sebarang penalti kerana kelewatan penyeteman. Sekiranya satu Perjanjian Jual Beli disempurnakan di luar negara, tempoh untuk penyeteman adalah 30 hari dari hari pertama Perjanjian Jual Beli diterima di Malaysia.
Proses penyeteman duti setem Perjanjian Jual Beli ini dipanggil sebagai adjudikasi yang mana ia boleh dilaksanakan secara atas talian dalam laman sesawang Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) https://stamps.hasil.gov.my . Kebiasaannya pejabat peguam mempunyai ID tersendiri untuk log masuk ke dalam laman sesawang STAMPS bagi proses adjudikasi apa-apa suratcara termasuk Perjanjian Jual Beli.
Untuk memohon adjudikasi Perjanjian Jual Beli secara atas talian, jenis borang permohonan penyeteman yang perlu dipilih adalah Penyeteman Am. Tarikh perjanjian yang dimasukkan haruslah sama dengan tarikh yang dinyatakan di dalam Perjanjian Jual Beli. Satu salinan imbasan (pdf) Perjanjian Jual Beli haruslah dimuat naik dalam tab lampiran.
Setiap salinan DUPLIKASI atau salinan PENDUA Perjanjian Jual Beli turut dikenakan caj duti setem. Oleh itu semasa membuat permohonan adjudikasi, pemohon perlu membuat permohonan beberapa salinan Perjanjian Jual Beli tersebut untuk disetem.
Apabila sesuatu permohonan penyeteman Perjanjian Jual Beli diluluskan, pihak LHDN akan mengeluarkan notis taksiran yang mana kandungannya adalah termasuk amaun duti yang perlu dibayar oleh pembeli untuk Perjanjian Jual Beli tersebut dan tempoh untuk menjelaskan bayaran duti tersebut. Sekiranya pembeli gagal untuk membayar duti dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis taksiran, penalti di bawah seksyen 47A, Akta Setem 1949 boleh dikenakan. Berhubung pembayaran pula, ia boleh dibuat melalui laman sesawang STAMPS.
Jenis duti untuk penyeteman Perjanjian Jual Beli adalah jenis duti tetap. Maksud duti tetap ialah nilai amaun duti Perjanjian Jual Beli adalah tidak berkait dengan harga jualan hartanah yang dinyatakan dalam Perjanjian Jual Beli.
Setelah pembeli membuat bayaran duti setem, LHDN akan mengeluarkan sijil setem yang mana ia hanya boleh dimuat turun sekali sahaja seumur hidup. Sekiranya bilangan salinan yang diisytihar semasa permohonan adalah sebanyak 3 salinan sahaja, sijil setem untuk Perjanjian Jual Beli yang ASAL akan tertera nombor adjudikasi sahaja. Manakala sijil setem untuk lagi 3 salinan DUPLIKASI atau PENDUA akan tertera no. adjudikasi bersama tandaan (SALINAN 1/3), (SALINAN 2/3) dan (SALINAN 3/3).
Penyeteman Perjanjian Jual Beli di LHDN adalah penting bagi urusan pembiayaan dengan institusi kewangan dan urusan pendaftaran di pejabat tanah. Selain itu, Perjanjian Jual Beli harus dimati setem bagi membolehkan dokumen ini diterima sebagai bukti/keterangan di mahkamah. Ini adalah sepertimana diperuntukkan dalam subseksyen 52(1) Akta Setem 1949 iaitu seperti berikut:
“Tiada instrumen yang dikenakan dengan duti setem boleh diterima sebagai bukti untuk apa-apa tujuan oleh mana-mana individu yang mempunyai kuasa berdasarkan undang-undang atau kebenaran untuk menerima bukti, atau diambil tindakan, didaftarkan, atau disahkan oleh mana-mana individu tersebut atau oleh mana-mana pegawai awam, melainkan instrument tersebut telah disetem.”.
Disediakan oleh,
Anis Syahidah Binti Ariffin
TETUAN MISYAIL OTHMAN & CO.