FASAKH

FASAKH

 

PENDAHULUAN

          Fasakh dari segi bahasa membawa maksud batal atau bubar.  Manakala, dari segi istilah di bawah undang-undang keluarga islam, fasakh merujuk kepada pembubaran perkahwinan melalui perintah mahkamah antara seorang suami dengan isterinya atas sebab-sebab.  Takrifan fasakh jua diperuntukkan dalam Seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (“Akta 303”)-

“fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut Seksyen 52;”

         Secara amnya peruntukan khas berhubung pembubaran perkahwinan secara fasakh tidak diperuntukkan dalam Al-Quran.  Meskipun demikian, keharusan fasakh dapat diperhatikan dalam beberapa ayat antaranya Surah al-Baqarah: ayat 231 yang bermaksud-

 

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu sampai akhir (iddahnya), maka tahanlah mereka dengan cara yang baik, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik (pula).  Dan janganlah kamu tahan mereka dengan maksud jahat untuk menzalimi mereka.  Barang siapa yang melakukan demikian, maka dia telah menzalimi diri sendirinya.  Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan.  Ingatlah nikmat Allah kepada kamu, dan apa yang telah diturunkan Allah kepada kamu, iaitu Kitab (al-Quran) dan Hikmah (Sunnah), untuk memberi pengajaran kepadamu.  Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.

KEADAAN YANG DIHARUSKAN FASAKH

Seksyen 52 Akta 303 memperuntukkan seperti berikut:

“(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—

 

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;

(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g)bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau

(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau

(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau

(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;

(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;

(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;

(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;

(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.”

 

SIAPA BOLEH MOHON FASAKH

          Di bawah Seksyen 52(1A) Akta 303, mana-mana pihak iaitu sama ada suami atau isteri boleh memohon fasakh di Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa.  Seksyen 52(1A) adalah seperti berikut:

 

“Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tidak upaya yang menghalang persetubuhan.”

 

CONTOH KES

          Dalam kes Ainun binti Abd. Majid Lwn Mohamad Adam bin Bakar, Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor telah meluluskan tuntutan Plaintif, Ainun binti Abd. Majid bagi pembubaran perkahwinan Plaintif dengan Defendan, Mohamad Adam bin Bakar melalui fasakh.  Mahkamah dalam kes ini mendapati bahawa antara alasan yang yang didakwa oleh Plaintif, dua daripadanya adalah alasan-alasan yang diterima di sisi hukum syarak bagi membolehkan sesuatu perkahwinan dibubarkan.

Alasan-alasan yang diterima oleh Mahkamah adalah-

(a) Defendan gagal memberikan nafkah zahir kepada Plaintif melebihi tiga bulan berturut; dan

(b) Plaintif mengalami tekanan jiwa dan penderaan mental sejak tujuh (7) tahun sebelum kes didaftarkan akibat sikap dan perangai Defendan.

          Walau bagaimanapun, Mahkamah meneliti alasan-alasan lain Plaintif dan mendapati alasan tersebut tidak memenuhi kehendak Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.  Alasan-alasan tersebut adalah seperti berikut:

(a) Defendan meminjam wang Plaintif dengan jumalah yang mencecah ratusan ribuan ringgit dan masih belum membayar Kembali wang tersebut kepada Plaintif. Meskipun demikian, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif sebenarnya bersetuju untuk memberikan pinjaman kepada Defendan sebagai hutang dan Mahakmah menerima hujahan Defendan bahawa Defendan masih dibenarkan untuk membayar hutang itu kerana tiada tempoh masa yang ditetapkan oleh Plaintif. Oleh itu, Mahkamah menolak alasan ini sebagai asas fasakh dalam kes ini.

(b) Defendan seringkali pulang lewat ke rumah pada waktu malam kerana bermain golf. Defendan jua suka bertaruh semasa bermain golf dan berfoya-foya dengan kedi perempuan. Plaintif mendakwa sikap ini adalah suatu penganiyaan emosi dan mental.  Walau bagaimanapun, Mahkamah mendapati bahawa Defendan pulang lewat sehingga jam 11 -12 malam hanya 2-3 kali seminggu dan menolak alasan Plaintif kerana Plaintif tidak dapat membuktikan kesan sikap tersebut sebagai penganiayaan.  Malahan, Plaintif tidak dapat membuktikan bahawa Defendan berfoya-foya dengan kedi perempuan.

(c) Defendan suka berfoya-foya dengan perempuan lain dan berkahwin tanpa pengetahuan Plaintif. Bagi alasan ini, Mahkamah mendapati Plaintif gagal membuktikan dakwaannya dan alasan ini ditolak.

(d) Defendan culas dalam menjaga kewajipan solat, kecuali solat jumaat. Walau bagaimanapun, Mahkamah berpandangan bahawa perihal solat adalah tanggungjawab seorang Muslim kepada Allah, dan tidak sesuai dijadikan sebagai alasan untuk membubarkan perkawhinana secara fasakh.

 

KESAN FASAKH TERHADAP PERKAHWINAN

Kesan pembubaran perkahwinan melalui kaedah fasakh adalah seperti berikut:

(a) Perkahwinan dibubarkan;

(b) Pasangan tersebut tidak boleh berkahwin semula sesama sendiri kecuali dengan akad yang baru;

(c) Fasakh tidak mengurangkan bilangan talak;

(d) Sekiranya mereka berkahwin semula seasama sendiri dengan akad yang baru, maka mereka bermula dengan talak yang baru iaitu sebanyak tiga (3) talak;

(e) Isteri berhak menuntut hak-hak seperti nafkah tertunggak, nafkah iddah, nafkah tempat tinggal semasa iddah, dan mutaah.

 

KESIMPULAN

         Fasakh adalah jalan keluar bagi sesuatu perkahwinan yang mendatangkan mudarat kepada pasangan suami isteri.  Meskipun proses untuk mendapatkan fasakh adalah suatu proses yang sukar dan panjang, pihak-pihak mestilah terus berjuang untuk menyelamatkan diri dari keadaan yang memudaratkan dan memberi kesan yang buruk kepada diri dan keluarga.  Ini adalah sepertimana dalam kaedah Figh; “la darar wala dirar” atau terjemahannya dalam Bahasa Malaysia sebagai tiada mudarat dan tidak boleh memberi mudarat.  Dalam konteks fasakh ini, apabila suatu perkahwinan itu lebih banyak mendatangkan kemudaratan, maka wajib dihilangkan mudarat itu daripada terus berlaku.  Malahan, wajib hukumnya ke atas setiap Muslim itu menghilangkan mudarat terhadap dirinya.  Seandainya pasangan menemui jalan buntu, maka fasakh adalah dibenarkan.  Wallahu’alam.

 

 

Disediakan oleh,

Nur Syaheerah Razailani

Nurul Sarah Jasmina

Tetuan Misyail Othman & Co

Share:

More Posts

DATIN SERI ROSMAH BT MANSOR V PUBLIC PROSECUTER [2021] MLJU 2394 COURT OF APPEAL (PUTRAJAYA) Stay Proceedings in Criminal Cases Facts of the case 1.   

NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7

  NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7 Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam Pengisytiharan Keluar Agama Islam Fakta kes 1.    Plaintif iaitu NBR telah dilahirkan pada

Send Us A Message