PERANAN HAKAM DALAM PERMOHONAN PERCERAIAN TANPA PERSETUJUAN SEBELAH PIHAK

 

PERANAN HAKAM DALAM PERMOHONAN PERCERAIAN TANPA PERSETUJUAN SEBELAH PIHAK

 

PENDAHULUAN

Dewasa kini, berita mengenai perceraian sudah menjadi tidak asing lagi dalam masyarakat di Malaysia.  Kadar pasangan suami isteri yang ingin bercerai kini kian meningkat saban hari.

Dalam konteks Hukum Syarak, Hakam dikenali sebagai arbitrasi atau timbang tara dan boleh juga diberi maksud sebagai memberi kuasa menjatuhkan sesuatu hukuman kepada seseorang.  Manakala dari segi istilah pula ia ditakrifkan sebagai satu proses di mana pihak-pihak yang bertikai melantik seseorang atau Hakam bagi menyelesaikan pertikaian berlandaskan Hukum Syarak.  Hakam ini terdiri daripada sahabat karib atau saudara-mara kepada pihak-pihak yang mempunyai maklumat mengenai isu rumah tangga yang dihadapi oleh pasangan tersebut.

Pada dasarnya, Mahkamah Syariah menubuhkan dan/atau memperkenalkan kaedah tahkim atau kuasa hakam untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga apabila salah satu pihak tidak bersetuju dengan tuntutan perceraian yang dikemukakan oleh pihak satu lagi.  Berdasarkan Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 1 Tahun 2006 (“Arahan Amalan”), Amalan Hakam Mahkamah Syariah telah diwujudkan bagi membenarkan hakam dilantik dan mengambil peranannya.  Arahan Amalan memperuntukkan situasi-situasi tertentu untuk membolehkan arahan ini.  Situasi-situasi tersebut ialah seperti berikut:

(a) perbalahan di antara suami isteri itu kadangkala terbitnya dengan sebab nusyuz isteri, atau dengan sebab kezaliman suami, atau dengan terbit kesamaran siapa yang benar di antara kedua-duanya atau berpunca dari kedua-duanya, berdusta atau menuntut yang bukan hak;

(b) perbalahan di antara suami isteri dan sukar keduanya menjalankan aturan Allah yang ditetapkan atas suami isteri itu, tuduh menuduh mengenai masing-masing tidak melaksanakan hak-hak sebagai suami isteri;

(c) isteri atau suami menuduh di antara keduanya berkawan dengan perempuan/lelaki yang telah melampaui Hukum Syarak;

(d) sering berlaku pertikaian hingga pukul memukul;

(e) salah seorang keluar dari rumah kediaman, tidak tinggal bersama sedangkan punca sebenar tidak dapat dibuktikan oleh kedua-kedua belah pihak di hadapan Mahkamah;

(f) tuduh menuduh di antara suami isteri mengenai anak-anak berkaitan dengan tanggungjawab masing-masing sehingga berlaku pertengkaran dan perselisihan yang berpanjangan;

(g) jika didapati bahawa aduan isteri itu tidak sabit dan ditolak Mahkamah dengan sebab ia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan kemudian daripada itu isteri berulang-ulang membuat aduan dan Mahkamah mendapati pertikaian sentiasa berlaku di antara suami isteri tersebut; atau

(h) apa-apa tindakan yang menyebabkan darar syarie ke atas isteri.

 

Pengharusan tahkim dalam Hukum Syarak berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam Surah An-Nisa’ ayat 35 yang bermaksud-

“ Dan jika kamu bimbang terjadi salah faham antara kedua-duanya, maka kirimlah seorang orang tengah daripada keluarga lelaki dan seorang orang tengah daripada keluarga perempuan.  Jika kedua-duanya (orang tengah) bermaksud untuk mendamaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu.  Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”

Merujuk kepada hadith, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya-

“ Mahukah kamu sekiranya aku memberitahu sesuatu yang lebih baik daripada darjat solat, berpuasa dan bersedekah?”  Jawab kami (para sahabat): “Ya! Wahai Rasulullah” Jawab Nabi: “Mendamaikan perkelahian, kerana sesungguhnya keburukan perkelahian ini adalah boleh mencukur.  Allah tidak maksudkan mencukur rambut, tetapi mencukur agama (menghapus)”.

                                                                                         (Riwayat At-Tarmizi)

Walau bagaimanapun, tahkim tidak terpakai untuk semua kes dan/atau perkara.  Jumhur fuqaha’ telah bersepakat bahawa tahkim tidak harus dilakukan untuk perkara-perkara yang melibatkan Hudud dan Qisas tetapi terhad kepada perkara-perkara berkaitan dengan kes mal.

Di Mahkamah Syariah, terdapat dua (2) keadaan berhubung prosiding perceraian melalui lafaz talaq yang dipohon di Mahkamah Syariah iaitu seperti berikut:

(a) Perceraian dengan persetujuan bersama (Seksyen 47(3)) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (“EUUKIS”); dan

(b) Perceraian tanpa persetujuan salah satu pihak (Seksyen 47(5) EUUKIS.

 

Seksyen 47(3) EUUKIS memperuntukkan seperti berikut:

“ (3) Jika pihak yang satu lagi itu bersetuju terhadap perceraian itu dan Mahkamah berpuas hati selepas penyiasatan yang wajar bahawa perkahwinan itu telah pecah belah dengan tak dapat dipulihkan, maka Mahkamah hendaklah menasihatkan suami supaya melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah.”

 

Sebagai perbandingan, bagi Seksyen 47(5) EEUKIS pula memperuntukkan-

“ (5) Jika pihak yang satu lagi tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian antara pihak-pihak itu, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang boleh melantik suatu jawatankuasa pendamai terdiri daripada seorang Pegawai Agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi bagi isteri, dan merujukkan kes itu kepada jawatankuasa itu.”

 

Hakikatnya, perceraian tanpa persetujuan hanya berlaku jika suami enggan melafazkan talak tetapi isteri tidak mahu meneruskan perkahwinan tersebut.  Dalam keadaan ini, Mahkamah akan memerintahkan pihak-pihak untuk menjalani proses Jawatnkuasa Pendamai (“JKP”) dalam usaha untuk mendamaikan kedua-dua pihak dengan melihat kepada kebarangkalian yang munsabah bahawa perkahwinan tersebut mungkin masih dapat diselamatkan dan diteruskan.

JKP yang ditubuhkan menurut kuasa Seksyen 47 EUUKIS ini diberi mandat untuk menyelesaikan konflik rumah tangga pasangan suami isteri berkenaan dalam tempoh enam (6) bulan dari Tarikh penubuhan JKP tersebut atau untuk suatu tempoh lain yang dibenarkan Mahkamah.  Prosiding JKP tersebut antara lain mengkehendaki kehadiran pihak-pihak yang diberi hak untuk didengar dan mendengar selain daripada kuasanya untuk menjalankan siasatan yang difikirkan patut.  Sekiranya selepas siasatan dijalankan, tiada perdamaian dapat dicapai, maka JKP hendaklah membuat satu laporan dan/atau perakuan mengenainya dan mengemukakannya kepada Mahkamah.  Dalam keadaan ini, hakim akan memutuskan shiqaq adalah berlaku dan selanjutnya meminta suami sama ada untuk melafazkan talaq satu (1) atau tidak di hadapan Mahkamah.

Seterusnya, Seksyen 48 EUUKIS memperuntukkan mengenai proses tahkim ini dengan melantik dua (2) orang penimbang tara atau Hakam bagi Pihak-pihak.  Dalam hubungan ini, apabila JKP menemui jalan buntu yang mana seperti dinyatakan di atas dan didapati perkelahian (syiqaq) sentiasa berlaku antara pasangan yang berkenaan, Mahkamah boleh memberi keutamaan hakam-hakam tersebut kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang mengetahui akan shiqaq pihak-pihak.

Bagi tujuan majlis tahkim, hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada principal mereka masing-masing (Hakam suami daripada suami dan Hakam isteri daripada isteri).  Sesi perbincangan menerusi Majlis Tahkim ini tertakluk kepada arahan Mahkamah dan hendaklah mengikut Hukum Syarak.

Jika Hakam suami enggan melafazkan cerai tetapi memohon perceraian secara khulu’ dan Hakam isteri bersetuju, Mahkamah boleh mengarahkan perceraian tersebut dilaksanakan secara khulu’.  Dari segi praktisnya, kesemua prosiding ini termasuk Hakam akan mengambil masa lebih kurang enam (6) bulan sehingga setahun untuk selesai sekiranya pihak-pihak memberikan kerjasama yang baik dan kedua-dua pasangan suami isteri sentiasa hadir ke Mahkamah sepertimana yang diarahkan oleh Mahkamah.

Namun begitu, sekiranya suami gagal untuk menghadirkan diri dan tidak melantik mana-mana Hakam, maka prosiding ini mungkin tidak dapat diteruskan.  Meskipun begitu, bergantung kepada fakta setiap kes dan atas budi bicara hakim yang mengendalikan kes, perceraian di bawah Seksyen 47 dan 48 EUUKIS ini boleh berlaku dan/atau diteruskan sebelah pihak (pihak isteri sahaja).

Secara dasarnya, perbezaan antara JKP dan Hakam ialah Hakam mempunyai kuasa ekslusif terhadap pihak-pihak dan boleh melafazkan satu (1) talak di hadapan Mahkamah apabila Mahkamah membenarkannya iaitu berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 11(3) Kaedah-kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 (“Kaedah-kaedah hakam”).

Keputusan dan kesan kuasa Hakam kepada pihak-pihak dalam kes-kes perceraian tanpa persetujuan satu pihak ialah seperti berikut:

 

(a) Pendapat pertama- berdasarkan Mazhab Shafi’e, Hanafi, Zahiriyyah dan salah satu riwayat daripada Imam Hambali berpendapat bahawa Hakam tidak mempunyai kuasa menceraikan suami dan isteri kecuali berdasarkan keizinan mereka sama ada dengan izini suami menjatuhkan talaq atau izin isteri melalui perceraian tebus talaq.

(b) Pendapat kedua- kedua-dua Hakam suami isteri mempunyai kuasa untuk memisahkan suami isteri tanpa perlu mendapat keizinan dan persetujuan pihak-pihak.

 

Meskipun demikian, pendapat yang rajih menurut Ibn Al-Qayyim ialah pendapat yang kedua, iaitu Hakam mempunyai kuasa untuk memisahkan suami isteri tanpa perlu mendapat keizinan dan persetujuan.

Kesan kuasa Hakam dari sudut perundangan ialah, jika kedua-dua pihak bersetuju terhadap keputusan yang diputuskan, maka keputusan itu mengikat pihak-pihak, yang mana bersifat muktamad dan tidak boleh dirayu melainkan jika ada kecacatan di dalam prosiding.  Talaq yang dilafazkan pula merupakan Talaq Ba’in Sughra.  Ini seperti mana dalam Kaedah 18 di bawah Kaedah-kaedah Hakam-

“Kaedah 18- Perceraian yang diputuskan dalam Majlis Tahkim adalah muktamad dan tiada rayuan dibenarkan.”

 

PENUTUP

Secara kesimpulannya, Hukum Syarak dan undang-undang telah menyediakan pelbagai cara penyelesaian dalam menangani lambakan krisis rumah tangga, salah satunya ialah perlantikan Hakam.  Pada dasarnya, kaedah Hakam ini berfungsi apabila wujudnya keadaan salah satu pihak tidak bersetuju dengan permohonan perceraian tersebut.  Perceraian melalui Hakam ini juga dapat mengelakkan kemudaratan kepada pihak-pihak yang bertikai disebabkan berlakunya shiqaq yang berpanjangan.

 

Disediakan oleh,

Misyail Binti Othman

Principal Partner

Nurul Sarah Jasmina binti Zamri

Paralegal

 

 

 

 

 

 

 

 

Share:

More Posts

Send Us A Message