HIBAH RUQBA SEBAGAI INSTRUMEN PERANCANGAN HARTA: APLIKASI DAN PELAKSANAANNYA DI MALAYSIA

PENDAHULUAN

Alang atau hibah dalam konteks bahasa boleh diertikan sebagai memberikan sesuatu, sama ada dalam bentuk “ain” atau manfaat. Secara terminologi, hibah boleh dijelaskan sebagai suatu perjanjian pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang individu secara sukarela kepada individu lain selama hidupnya tanpa mengharapkan balasan. Pada masa kini, hibah telah menjadi satu kaedah perancangan harta yang terkenal di Malaysia.

RUKUN-RUKUN HIBAH

Pemberian hibah tidak dapat dilaksanakan sekiranya elemen-elemen utama dan syarat-syarat yang ditetapkan dalam perjanjian hibah tidak dapat dipenuhi seperti yang berikut:

  • Pemberi hibah (al-Wahib)

Pemberi hibah daripada mereka yang berkeahlian sebagai contoh Muslim, baligh, berakal dan mampu untuk menguruskan harta tersebut dan memiliki kekuasaan terhadap harta tersebut.

  • Penerima hibah (al-Mawhub lahu)

Penerima sesuatu hibah boleh terdiri dari sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh pemberi hibah.  Jika pihak yang memberikan hibah bermaksud memberikan pemberian kepada individu yang belum mencapai umur baligh, maka hadiah tersebut boleh diberikan kepada wali atau individu yang bertanggungjawab atas amanah bagi penerima yang belum mencapai umur baligh tersebut.

  • Harta atau barang yang dihibahkan

Dalam pelaksanaan hibah, sesuatu yang hendak dihibahkan mestilah memenuhi elemen-elemen berikut:

  1. Harta atau barang bagi hibah tersebut hendaklah diperoleh secara halal;
  2. Harta atau barang yang dihibahkan hendaklah mempunyai nilai dari aspek syarak;
  3. Harta atau barang yang dihibahkan merupakan milikan pemberi hibah;
  4. Harta atau barang tersebut boleh diserahmilikkan; dan
  5. Harta atau barang yang dihibahkan wujud semasa akad hibah dijalankan.

 

  • Sighah (Ijab dan Qabul)

Antara rukun-rukun yang yang perlu dipenuhi dalam sighah hibah ialah:

  1. Ijab dan Qabul.
  2. Hibah tersebut tidak bertempoh.

 

  • Al-Qabd (Penerimaan Hibah)

Dalam aliran Mazhab Syafii, unsur al-qabd merupakan keperluan yang wajib, di mana perjanjian hibah tidak dapat dianggap lengkap dan berkuat kuasa dengan hanya melibatkan ijab dan qabul, melainkan setelah adanya al-qabd.  Beberapa syarat-syarat al-qabd termasuk-

  1. Mendapatkan keizinan dari pemberi hibah.
  2. Harta yang dihibahkan tidak bercampur atau tidak berkait dengan harta lain yang tidak dihibah.
  3. Penerima hibah sudah mencapai umur baligh dan berakal.

 

PANDANGAN IMAM MAZHAB MENGENAI HIBAH RUQBA

Pendapat terdahulu yang dikemukakan oleh Imam Shafi’i, Imam Malik, Abu Hanifah, al-Hassan, dan al-Sharbini menyatakan bahawa perjanjian hibah dengan syarat ruqba adalah tidak sah.  Mereka mengemukakan hujahan berdasarkan kenyataan bahawa Rasulullah SAW memperbolehkan pelaksanaan ‘umra tetapi menolak penggunaan syarat ruqba dalam konteks hibah.

Pandangan kontemporari yang diperkenalkan oleh Mazhab Shafi’i dan Mazhab Hanbali menyatakan bahawa hukum hibah ruqba adalah setara dengan hukum hibah ‘umra. Oleh itu, perjanjian hibah ruqba dianggap sah, walaupun syarat yang melibatkan ruqba tidak diterima atau diakui.

Al-Zuhri juga berpendapat bahawa hibah dengan syarat ruqba adalah sah digunakan sebagai wasiat, dan hukum wasiat boleh diterapkan pada hibah yang melibatkan syarat ruqba.

DEFINISI DAN PENSYARIATAN HIBAH RUQBA

Istilah “ruqba”, menurut pandangan Ibn Manzur, boleh diterangkan sebagai suatu tindakan pemberian hibah dari seorang individu kepada individu lain.  Apabila salah satu pihak, sama ada pemberi hibah atau penerima hibah, meninggal dunia, maka harta tersebut akan berpindah milik kepada yang masih hidup.  Firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Dukhan ayat 59 yang bermaksud:

“(Kiranya mereka tidak berbuat demikian) maka tunggulah (Wahai Muhammad akan kesudahan mereka), Sesungguhnya mereka juga menunggu (akan kesudahanmu).”

Jumhur fuqaha mentakrifkan ruqba sebagai satu bentuk keadaan di mana seseorang menyatakan kepada seorang yang lain, sebagai contoh-

 “Aku berikan kepada engkau rumah ini sebagai ruqba, kalau kau mati sebelum aku rumah  ini akan kembali kepada aku dan kalau aku mati sebelum kau rumah ini akan jadi milik engkau dan keturunan engkau.”

APLIKASI PELAKSANAAN HIBAH RUQBA DI MALAYSIA

Rafizah binti Ab Karim lwn. Kamar Bin Ab Karim dan Empat Defendan Yang Lain (10100-044-0478-2011) (Mahkamah Tinggi Syariah Selangor)

Lamah Binti Sa’at telah meninggal pada 15 Mei 2011. Pihak Pemohon mengemukakan bahawa semasa ibunya masih hidup, ibu beliau telah membuat hibah secara bertulis melalui surat cara hibah bertarikh 20 Januari 2011.  Surat tersebut secara terperinci menunjukkan bahawa harta yang diberikan akan menjadi hak Pemohon setelah Lamah Binti Sa’at meninggal dunia.  Pemohon dalam kes ini telah memohon pengesahan hibah yang telah dibuat oleh Lamah Binti Sa’at di Mahkamah Tinggi Syariah.

Mahkamah kemudiannya membincangkan secara terperinci mengenai hibah ruqba dalam konteks kes ini.  Ini disebabkan lafaz yang digunakan semasa perjanjian hibah melibatkan hubung kait dengan kematian pemberi dan penerima hibah.  Meskipun demikian, analisis terhadap alasan penghakiman mendapati bahawa konsep pelaksanaan hibah ruqba tidak diterangkan secara terperinci. Hakim dalam kes ini merujuk kepada keputusan Majlis Penasihat Suruhanjaya Syariah Sekuriti yang membenarkan pelaksanaan hibah ruqba untuk transaksi yang melibatkan akaun bersama dalam tabung unit amanah bagi akaun yang dipegang oleh individu Islam. Meskipun demikian, hakim dalam kes ini memutuskan bahawa pelaksanaan hibah ruqba melalui dokumen pengisytiharan hibah adalah sah.

Mohd Akbar Bin Shafawi lwn. Fara Soraya Binti Tarmizi dan Khafil Rusyaidi Bin Kamarul Rasydan (06100-044-0473-2014) (Mahkamah Tinggi Syariah Pahang)

Pemohon dalam kes ini telah memfailkan permohonan pengesahan hibah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan bagi pengesahan hibah yang telah diberikan oleh pemohon kepada Responden Pertama dan Responden Kedua. Perkara yang berkaitan dengan hibah ruqba melibatkan isu mengenai manfaat takaful yang ingin dihibahkan oleh pemberi hibah.  Dalam keputusan kes ini, Yang Arif Hakim bersetuju dengan permohonan untuk pelaksanaan hibah manfaat takaful.  Merujuk kepada keputusan yang dicapai dalam mesyuarat ke-34 Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM), Hakim dalam kes ini memutuskan bahawa hibah manfaat takaful ini sejajar dengan konsep hibah ruqba.

Salmah Binti Osman lwn. CIMB Islamic Trustee (14700-044-0150-2013) (Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur)

Dalam kes ini, Som Binti Abdullah telah melaksanakan pemindahan hak milik harta miliknya melalui kaedah hibah kepada pemohon, iaitu Salmah Binti Osman dan Minah Binti Osman, yang merupakan anak angkatnya.  Pemindahan ini dilakukan melalui surat cara hibah yang didasarkan kepada konsep hibah ruqba.  Surat hibah tersebut telah dipersetujui dan ditandatangani oleh Som Binti Abdullah, dan diakui oleh kedua penerima hibah tersebut.  Selepas itu, Minah Binti Osman meninggal dunia sebelum kematian Som Binti Abdullah.

Berdasarkan prinsip hibah ruqba, apabila berlaku kematian salah satu pihak, harta yang dihibahkan hendaklah dikembalikan kepada pihak yang masih hidup.  Sesuai dengan tindakan pemberi hibah dalam kes ini yang mengambil semula harta tersebut dan memberikannya kepada pemohon, iaitu Salmah Binti Osman.

Menurut penghujahan hakim dalam kes ini, harta hibah tersebut dikira harta wasiat berikutan berlakunya kematian kerana syarat itu terikat dengan perpindahan harta selepas berlakunya kematian Minah Binti Osman. Oleh yang demikian, Som Binti Abdullah mendapat harta wasiat daripada Minah Binti Osman dengan kadar satu pertiga daripada bahagian yang diperolehi daripada harta yang dihibahkan itu manakala dua pertiga menjadi milik waris-waris Minah Binti Osman mengikut pembahagian secara pusaka. Justeru, harta hibah yang diberikan oleh Som Binti Abdullah kepada Salmiah Binti Osman hanyalah setakat satu pertiga bahagian sahaja.

KESIMPULAN

Para fuqaha berbeza pendapat mengenai pelaksanaan hibah ruqba.  Bertitik tolak daripada itu, dalam menentukan sama ada pelaksanaan hibah secara ruqba ini diterima pengaplikasiannya di Malaysia maka perkara sebegini perlulah dirujuk kepada Mahkamah Syariah memandangkan hanya Mahkamah Syariah sahaja yang berbidang kuasa dalam menentukan keesahan sesuatu hibah.  Pada masa kini kebanyakan Hakim Syarie telah mula menerima pengaplikasian hibah ruqba dalam penghakiman mereka memandangkan terdapat sumber rujukan yang sahih mengenai keharusan hibah ruqba. Dapat dilihat bahawa pada masa kini di Malaysia, pemberian hibah dengan syarat ruqba telah diterapkan secara meluas oleh masyarakat Malaysia dan dijadikan sebagai komponen penting dalam perancangan serta pengurusan harta orang Islam di mana amalan hibah ruqba juga sering digunakan dalam kalangan ahli keluarga terdekat melalui dokumen pengisytiharan hibah yang telah dibuat melalui khidmat dan produk yang ditawarkan oleh firma guaman mahupun syarikat-syarikat perancangan dan pengurusan harta orang Islam di Malaysia.

Disediakan oleh,

Misyail binti Othman

Principal Partner

Aiman Izzuddin Bin Jamaluddin

Paralegal

Share:

More Posts

DATIN SERI ROSMAH BT MANSOR V PUBLIC PROSECUTER [2021] MLJU 2394 COURT OF APPEAL (PUTRAJAYA) Stay Proceedings in Criminal Cases Facts of the case 1.   

NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7

  NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7 Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam Pengisytiharan Keluar Agama Islam Fakta kes 1.    Plaintif iaitu NBR telah dilahirkan pada

Send Us A Message