Isu-Isu Berkenaan Hak Penjagaan Kanak-Kanak (Hadanah) Selepas Perceraian Di Malaysia

 

MUKADIMAH

Penjagaan kanak-kanak bagi kes ibu bapa yang telah bercerai merupakan isu yang sering kali dibangkitkan di media massa di Malaysia.  Bagi pasangan yang bercerai dan mempunyai anak-anak yang masih kecil, perebutan hak penjagaan anak-anak sering tercetus dan pihak-pihak perlu menyelesaikan pertikaian dan perebutan hak penjagaan anak-anak ini di Mahkamah Tinggi Syariah yang berbidang kuasa untuk membuat keputusan berkenaan perkara ini.

Hak ke atas kanak-kanak ini dapat dibahagikan kepada tiga kategori; Pertama, hak hadanah, iaitu kuasa pengasuhan anak yang diutamakan penyerahan hak tersebut kepada pihak Wanita, terutama ibu; kedua, hak penjagaan terhadap diri yang diletakkan di bawah tanggungjawab lelaki, khususnya bapa; dan ketiga hak penjagaan ke atas kanak-kanak, sekiranya kanak-kanak mempunyai harta. Tanggungjawab menjaga harta tersebut tertanggung ke atas pihak lelaki, terutamanya bapa.[1]

 

DEFINISI HADANAH

Hadanah merujuk kepada jagaan fizikal dan asuhan diri kanak-kanak yang dilaksanakan oleh pengasuh (hadin atau hadinah). Pengasuh bertanggungjawab mengasuh kanak-kanak atau seseorang yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri, iaitu mengasuhnya dengan apa-apa yang mendatangkan kebaikan dan melindunginya dari sesuatu yang memudaratkan.[2] Pengasuhan juga merangkumi pengasuhan orang gila dan orang dungu walaupun dia telah dewasa.[3]

Oleh kerana hadanah berkait rapat dengan kepentingan kanak-kanak, ibu dan bapa maka dari segi kedudukan hak, hadanah bukanlah hak eksklusif mana-mana individu.  Bahkan, ia membabitkan hak ketiga-tiga individu yang berkaitan, iaitu hak pengasuh, hak kanak-kanak dan juga hak bapa sebagai penjaga hakiki atau mana-mana orang yang berperanan sebagai bapa jika bapa tiada atau meninggal dunia.  Jika hak semua individu tersebut dapat disatukan dan dilaksanakan dengan serentak, ia wajib disatukan.  Namun, jika terdapat pertentangan hak, maka hak kanak-kanak diutamakan daripada yang lain.[4]

Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia memperuntukkan tempoh hadanah bagi kanak-kanak lelaki tamat apabila cukup umur tujuh (7) tahun dan sembilan (9) tahun bagi kanak-kanak perempuan, dan tempoh ini boleh dilanjutkan oleh mahkamah atas permohonan pengasuh sehingga sebelas (11) tahun bagi kanak-kanak perempuan dan sembilan (9) tahun bagi lelaki.[5] Perbezaan tempoh antara kanak-kanak lelaki dan perempuan adalah mengambil kira secara umumnya keperluan kanak-kanak perempuan tinggal lebih lama bersama ibu untuk diasuh keperibadian serta adab sopan sebagai seorang perempuan dan juga bagi membiasakan diri mereka dengan tugas-tugas pengurusan rumahtangga. Anak lelaki sebaliknya dianggap perlu lebih awal berada di bawah pengawasan bapa bagi mempelajari tugas-tugas sebagai seorang lelaki yang hanya layak diajar oleh golongan lelaki.[6]

Oleh itu, apabila tamat tempoh Hadanah, mengikut prinsip biasa, penjagaan kanak-kanak diturunkan kepada bapa.  Namun, sekiranya pada peringkat umur tersebut kanak-kanak telah mumaiyiz, maka dia berhak memilih untuk tinggal sama ada bersama ibu atau bapa melainkan jika mahkamah memerintah selainnya.[7] Prinsip ini dikemukakan atas anggapan kanak-kanak mumaiyiz berkeupayaan menilai siapakah di antara ibu atau bapa yang lebih rapat, mesra serta memberi perhatian terhadap diri mereka.  Pemilihan kanak-kanak untuk tinggal bersama ibu atau bapa boleh dianggapkan bahawa orang yang dipilih itu lebih menyayangi dan mengasihi kanak-kanak, dengan sebab itu dia dipilih. [8]

Hak keutamaan ibu terhadap hadanah, sejajar dengan kejadian semula jadi perempuan yang dikurniakan Allah (s.w.t) dengan sifat-sifat penyayang dan penyabar dalam melayan kerenah anak kecil.[9]

Keutamaan ibu di dalam hadanah juga telah didasarkan kepada surah al-Baqarah, ayat 233 yang bermaksud-

            “ janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan juga

              seorang bapa kepada anaknya”.[10]

 

Dalam tafsirannya, al-Jassas[11] menjelaskan ayat ini sebagai dalil ibu lebih berhak mengasuh anak yang masih kecil sama ada yang menyusu atau tidak menyusu.  Walaupun sudah tidak perlu lagi menyusu kepada ibu, anak yang masih kecil masih memerlukan pengasuhan ibu yang lebih mengasihani anaknya.  Dalam tempoh tersebut, hadanah adalah hak ibu, dan pada masa yang sama hak anak yang masih memerlukan sentuhan kasih sayang seorang ibu.[12]

     

HADANAH DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA

Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia memperuntukkan secara khusus hak hadanah diberikan keutamaan kepada ibu berbanding dengan pihak lain, termasuk bapa yang diperuntukkan dalam Seksyen 81 (1), Akta 303 bahawa ibu adalah orang yang paling berhak berbanding orang lain bagi menjaga anak kecilnya sama ada dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan atau selepas perceraian.

Antara penjaga yang dilantik melalui wasiat dengan ibu, hak ibu adalah diutamakan. Ini terbukti dalam penghakiman yang diberikan oleh hakim di dalam kes di Kedah, iaitu Rosnah lwn Mohamaed Nor.[13] Fakta kes menyebut selepas kematian bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan, bapa saudaranya telah mengambil kanak-kanak dari jagaan ibunya yang mendakwa bapa kanak-kanak tersebut telah melantiknya sebagai penjaga dan pemegang amanah kepada kanak-kanak.  Ibu mengemukakan permohonan hak jagaan ke mahkamah.

Mahkamah memutuskan bahawa ibu berhak terhadap hadanah kanak-kanak tersebut.  Penghakiman merujuk kepada kitab fiqh yang menyatakan, jika terdapat pertikaian  antara pihak lelaki dengan pihak perempuan, keutamaan akan diberikan kepada ibu, kemudian kepada nenek sebelah ibu hingga ke atas.  Bapa saudara merayu ke Mahkamah Rayuan tetapi telah ditolak.

ISU-ISU BERBANGKIT DARI HADANAH

Terdapat beberapa isu pertikaian yang berbangkit dari hak hadanah. Antarannya ialah-

  • Nafkah Sara Hidup, Pendidikan dan Pelajaran Anak

Tanggungjawab seorang bapa atau penjaga untuk memastikan keperluan anak-anak seperti perbelanjaan bulanan untuk diri dan pendidikan anak-anak tersebut perlulah terjaga dan disediakan secukupnya.

Walaupun peruntukan bagi persekolahan dan pelajaran anak-anak tidak dinyatakan dengan khusus oleh fuqaha, namun aspek ini boleh dikaitkan dengan tanggungjawab bapa dalam soal pendidikan anak-anak (ta’dib).[14]

 Wujud juga perasaan dendam dan sakit hati antara ibu dengan bapa yang telah bercerai menjadi faktor penyebab keengganan bapa memberi nafkah kepada anak yang tinggal dengan ibu atau keluarga ibu. Contohnya dalam kes N lwn IJ, [15] bapa mengaku kewajipan bapa menanggung nafkah anak-anak. Tetapi beliau tidak memberi nafkah kerana beliau tidak mampu dan juga beliau merasa sakit hati terhadap keluarga mertua.

  • Penentuan Agama

Sering timbul persoalan siapa yang berhak menentukan pegangan agama untuk anak-anak dalam kes ibu atau bapa yang pada asalnya berkahwin mengikut upacara bukan Islam dan kemudian salah seorang daripada mereka , sama ada ibu atau bapa memeluk agama Islam dan kemudiannya menuntut hak jagaan anak.

  Kedudukan ibu bapa sebagai pihak yang berkuasa menentukan pegangan agama kanak-kanak diperuntukkan dalam Perkara 12(4), Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang berumur kurang dari lapas belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya. Hak ini juga diperuntukkan dengan jelas di dalam Seksyen 3, Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961(Pindaan 1999) (Akta 351) yang menyebut penjaga adalah berhak kepada pemeliharaan dan bertanggungjawab terhadap tanggungan atau saraan, kesihatan dan pendidikan.

Di dalam kes Indira Ghandi A/P Mutho [2018][16], Mahkamah Persekutuan   memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang. Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny,21 tahun, Karan Dinish,20 tahun dan Prasana Diksa 9 tahun, kepada agama Islam.

  Mahkamah Persekutuan, memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf. Pihak Mahkamah berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan kuasa penyeliaannya bagi memutuskan aduan yang dibuat oleh Perayu terhadap tindakan pentadbiran Pendaftar Mualaf dalam mengeluarkan Sijil Perakuan Memeluk Islam itu.

Mahkamah juga mendapati bahawa Pendaftar Mualaf tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Sijil Perakuan Memeluk Islam kerana tidak mematuhi Seksyen 96 (1) dan 106 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004.  Mahkamah juga mendapati bahawa Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan tanpa persetujuan Perayu dengan demikian melanggar Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 5 dan 11 Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961.  Sijil penukaran itu tidak sah dan mesti diketepikan.

Pada 30 Disember 2015 lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan majoriti 2-1 untuk mengembalikan semula sijil penukaran agama tiga anak itu yang dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum itu.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu ditukarkan agama kepada Islam oleh bapa mereka Muhammad Ridhuan Abdullah, 48 pada April 2009 tanpa keizinan Indira Gandhi selepas beliau memeluk Islam. Kanak-kanak berkenaan ketika itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan. Hakim Mahkamah Persekutuan Yang Arif Zainun Ali (beliau pada ketika itu) berkata, dalam keadaan agama dan pendidikan agama menjadi isu, pertimbangan utama bagi mahkamah adalah untuk melindungi kebajikan kanak-kanak terbabit dengan mengambil kira semua hal serta keadaan kes ini.

 

KESIMPULAN

Hak Hadanah seperti yang diperuntukkan menurut Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam bertujuan untuk menjaga kebajikan anak-anak supaya terjaga dan terpelihara. Ini bagi memastikan pembesaran mereka dibuat dengan penuh tanggunjawab oleh ibu bapa atau penjaga mereka. Anak-anak memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian secukupnya daripadai ibu dan bapa mereka terutamanya bag masalah lain di kemudian hari terutamanya masalah sosial di kalangan anak-anak.

Disediakan oleh,

Suhaimi Saad

Tetuan Misyail  Othman & Co.

Rujukan

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2006. (Akta 303)

Al Kafi #621 : Hak Jagaan Anak Setelah bercerai, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bertarikh 19 Mei 2017.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002

Https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penghakiman-bersejarah-persetujuan-kedua-ibu-bapa -perlu-bagi-pertukaran-agama-anak-kepada-Islam, bertarikh 29 Januari 2018. Diakases pada 26 Januari 2022.

Perlembagan Persekutuan, Cetakan Semula setakat 1 November 2010, Jabatan Peguam Negara.

Zanariah Noor, Isu-Isu Berbangkit Dari Hak Hadanah dan Hak Pewalian Anak, Kertas Kerja yang dibentangkan di International Seminar on Muslim Women (SEWANI 2005) anjuran Pusat Pengajian Islam dan Pembagunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia pada 2-3 April 2005.

Zanariah Noor, Aplikasi Prinsip Kebajikan Kanak-Kanak Dalam Kes Hadanah, kertas kerja yang pernah dibentangkan di Simposium Kebangsaan Kebajikan Kanak-kanak anjuran Jabatan Kerja Sosial , Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia pada 21-22 Julai 2004.

[1]     Pembahagian bentuk penjagaan kepada tiga kategori ini berdasarkan klasifikasi Zakariyya al-Barri, Ahkam

      al- Awlad fi al-Islam (al-Qahirah: al-Maktabah al-‘Arabiyyah,1964), 75.

[2]    Zanariah Noor, Isu-Isu Berbangkit Dari Hak Hadanah dan Hak Perwalian Anak, Jurnal Syariah, Jil.20, Bil.1

      (2012) 123-144

[3]    Ibn Shihab al-Din al-Ramli,  Nihayah ai-Muhtaj ila Sharh al-Minhaj (Misr:Maktabah al-Babi al-Halabi,  7 vols.,

      1938), 214; Muhammad al-Khatib al-Sharbini, Mughni al-Muhtaj ‘ila Ma ani alfaz al- Minhaj (n.np: Dar al

      Fikr. 3 vols.,1978),452

[4]  Zaki al-Din Sha ban, Al-Ahkam al-Shari ah li al-Ahwal al-Shakhiyyah, 1971,t.pt. Libya. Ed.ke-2,hlm.614,

[5]  Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2006. (Akta 303), seksyen 84 (1);

    Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003, seksyen 85; Enakmen Undang-Undang

    Keluarga Islam (Kelantan) 2002, seksyen 85.

[6]  Ibn al-Hummam, Kamal al-Din Muhammad bin Abd al-Wahid. t.th. Sharh fath al-qadir. Jil. 3, Mathba ah

    Mustafa Muhammad, Mesir, hlm.317; Ahmad Nasr al-Jundiy, al-Hadanah : al-Syar  wa al-qanun, Dar al-

    Kutub al-Qanuniyyah, Kaherah,1997,hlm.11; Shalabiy, Muhammad Mustafa.1977. Ahkam al-usrah fi

    Al-Islam, Ed. Ke 2, Beirut: Dar al-Nahdah al- Arabiyyah.hlm.762.

[7]   Akta 303,  seksyen 84 (2); Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, seksyen

     85 ; Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002, seksyen 85.

[8]   Abi Muhammad Abdi Llah bin Ahmad bin Muhammad Ibn Qudamah,1969.  Al-Mughni. Cairo: Maktabah al-

    Qahirah.jil 8, hlm 240

[9]  “ Fitrah Allah yang menciptakan manusia manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan ada fitrah Allah .”

      Aal-Qur’an, al-Rum 30:30.

[10]  Surah al-Baqarah, 2:233

[11]  Abi Bakr Ahmad bin ‘Ali al-Razi al-Jassas, Ahkam al-Quran (n.np: Dar al-Khilafah al-Aliyah, 1 vols., 1335/

     1996), 405.

[12]   Kedudukan keutaman ibu ini juga dapat dirujuk dalam keputusan bagi kes hadanah yang berlaku pada

      zaman sahabat. Al-Qasim bin Muhamad meriwayatkan bahawa ‘Umar al-Khattab telah menceraikan   isterinya seorang perempuan Ansar selepas melahirkan anak Umar yang bernama Asim. Pada suatu hari, ‘Umar terlihat Asim sedang  bermain-main, lantas dirangkul dan dinaikannya ke atas kenderaan. Apabila nenek sebelah ibu datang, dia meminta ‘Umar mengembalikan anak tersebut kepadanya.  Kedua belah pihak telah mendakwa mereka berhak terhadap hadanah.  Kes ini kemudian dikemukakan Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq.  Khalifah memutuskan supaya anak tersebut diserahkan kepada nenek. Abu Bakar memberitahu ‘Umar yang bermaksud, “Baunya,sentuhnya,sapuannya dan air liurnya adalah lebih baik dari madu di sisi engkau wahai ‘Umar”. Abi Dawud al- Sajistani, Sulayman bin Ashcath, Sunan,

     ‘Bab man ahaq bin al-walad’ (Kafur: Matba’ah al-Majidi, 1 vols., 1387/1968).

[13] (1975) 1 Jurnal Hukum (1) 42; (1978) Jurnal Undang-Undang 355

[14]  Siti Zalikhah Md Nor, ‘Pelindungan Terhadap Kanak-kank: Penjagaan, Pemeliharaan dan Nafkah’, Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Wanita dan Undang-Undang. Bangi: Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 24-26 Ogos 1981.

[15]  Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kes Mal 72/1997,

[16]  Indira Gandhi a/p Mutho v. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors [2018]

Share:

More Posts

DATIN SERI ROSMAH BT MANSOR V PUBLIC PROSECUTER [2021] MLJU 2394 COURT OF APPEAL (PUTRAJAYA) Stay Proceedings in Criminal Cases Facts of the case 1.   

NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7

  NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7 Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam Pengisytiharan Keluar Agama Islam Fakta kes 1.    Plaintif iaitu NBR telah dilahirkan pada

Send Us A Message