Jamin

Pengenalan

 

Undang-undang jenayah adalah undang-undang yang berkaitan hak sesuatu komuniti dan hak individu.  Sebagaimana ia berperanan melindungi dan mempertahankan keadilan awam, sebegitu juga ia melindungi hak tertuduh (“OKT”).  Pentadbiran undang-undang jenayah bertujuan menjaga hak semua pihak terlibat dan ia diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah (“Akta 593”) atau akta tatacara jenayah syariah negeri.

 

Bagi seorang OKT, haknya terpelihara selagi mana belum disabitkan kesalahan. Ini berdasarkan prinsip bahawa seseorang tertuduh adalah dianggap tidak bersalah selagi belum dibuktikan sebaliknya dan ia merupakan sebahagian dari undang-undang jenayah.  Prinsip ini juga selari dengan prinsip dalam perundangan jenayah syariah di mana asal seseorang itu adalah bebas dari sebarang tanggungan atau “al-Aslu Bara-atu az-Zimmah”.

 

Dalam pentadbiran kes jenayah, sekiranya seseorang ditangkap dan tiada pendakwaan ke atasnya, polis boleh membebaskan individu tersebut dengan suatu jaminan dan mengkehendaki individu tersebut untuk hadir ke balai sekiranya perlu.  Manakala sekiranya terdapat pertuduhan, individu tersebut yang kini dikenali sebagai OKT, boleh dibebaskan dengan jaminan Mahkamah sementara menanti keputusan kes dengan syarat tertentu.  Artikel ini akan merujuk kepada yang kedua, iaitu jaminan dari Mahkamah.

 

Jaminan secara amnya adalah perintah Mahkamah yang mengkehendaki sejumlah wang didepositkan bagi membebaskan OKT dari tahanan sementara kesnya dibicarakan.  Wang tersebut akan didepositkan oleh penjamin yang akan menjamin bagi pihak OKT, ia boleh jadi kaum keluarga atau rakan-rakan dan tidak mustahil kita boleh berada dalam situasi di mana OKT adalah kaum keluarga atau rakan kita sendiri.

 

Undang-undang jenayah di Malaysia merangkumi aspek jenayah, kuasi-jenayah dan jenayah syariah.  Jenayah adalah merujuk kepada kesalahan yang membawa kepada hukuman berbentuk pemenjaraan, sebatan, denda dan lain-lain.  Kuasi jenayah pula merujuk kepada tindakan yang bukan bersifat jenayah (seperti pengurusan syarikat, kewangan atau tatacara Mahkamah), namun boleh dihukum dengan pemenjaraan, denda dan lain-lain.  Jenayah syariah pula merujuk kepada kesalahan dan hukuman di bawah enakmen atau akta jenayah syariah negeri bagi yang beragama Islam sahaja.

 

Sehubungan dengan itu, kaedah dan proses jamin ini juga berbeza dalam aspek jenayah tertentu.  Walau bagaimanapun secara amnya, proses jamin bagi jenayah dan kuasi-jenayah adalah diperuntukkan dalam Akta 593 manakala bagi jenayah syariah adalah diperuntukkan dalam enakmen atau akta negeri masing-masing.

 

1.  Jenayah dan Kuasi-Jenayah.

 

Untuk memudahkan bacaan, jenayah dan kuasi-jenayah selepas ini akan dirujuk secara kolektif sebagai (“Jenayah Sivil”).  Proses jaminan bagi jenayah sivil ada diperuntukkan dalam Bahagian IX Seksyen 387, 388 dan 389 Akta 593.

 

Seksyen 387 memperuntukkan hak OKT mendapat jaminan bagi kategori kesalahan yang boleh jamin.  Di bawah Seksyen ini, perintah jaminan hendaklah diberikan kepada OKT. Seksyen 388 pula memperuntukkan keadaan di mana Mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk membebaskan OKT dengan jaminan bagi kategori kesalahan tidak boleh jamin.

 

Sama ada sesuatu kesalahan itu adalah kesalahan boleh jamin atau tidak boleh jamin, rujukan boleh dibuat dalam Seksyen 2 Akta 593. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa kesalahan boleh jamin adalah merujuk kepada kesalahan yang dikategorikan sebagai boleh jamin dalam Jadual Pertama Akta 593, manakala kesalahan tidak boleh jamin adalah kesalahan yang dikategorikan sedemikian dalam Jadual yang sama.  Secara amnya, kesalahan boleh jamin adalah yang membawa kepada hukuman ringan seperti pemenjaraan tidak lebih dari 3 tahun, manakala kesalahan tidak boleh jamin adalah yang membawa kepada hukuman lebih berat seperti pemenjaraan bagi tempoh lebih dari 5 tahun.

 

Berdasarkan kategori kesalahan, sekiranya OKT didakwa atas kesalahan boleh jamin maka jaminan hendaklah diberikan kepadanya secara hak, manakala sekiranya OKT didakwa bagi kesalahan tidak boleh jamin maka jaminan adalah budi bicara Mahkamah.

 

Kuasa budi bicara Mahkamah untuk memberi jamin adalah berpandukan kepada prinsip-prinsip yang telah diakui dan diguna pakai.  Dalam kes PP v Zulkifflee Bin Hassan[i], Mahkamah Agung dalam penghakimannya berkenaan jamin-

 

“It is established that the courts have to consider the seriousness of the charge, the nature of the evidence, the severity of the punishment prescribed for the offence, and in some instances, the character, means and status of the accused.”

 

Justeru, dalam melaksanakan kuasa budi bicara di bawah Seksyen 388, Mahkamah akan mengambil kira faktor-faktor yang dinyatakan dalam kes di atas, serta faktor-faktor lain yang berkaitan.

 

Selain itu, terdapat kategori kesalahan di mana jamin tidak akan diberikan sama sekali.   Mahkamah tidak mempunyai budi bicara melainkan menolak jaminan.  Ini berlaku sekiranya pertuduhan ke atas OKT adalah di bawah akta-akta tertentu yang menafikan hak jaminan seperti Akta Dadah Berbahaya dan Akta Senjata Api, atau pertuduhan yang membawa kepada hukuman penjara seumur hidup atau mati mandatori.

 

Sekiranya Mahkamah berpendapat bahawa jaminan boleh diberikan sama ada di bawah Seksyen 387 atau 388 di atas, maka soal kedua ialah jumlah jaminan yang diperlukan.  Dalam hal ini, Seksyen 389 Akta 593 diperuntukkan bagi menentukan jumlah jaminan.  Seksyen 389 terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama adalah arahan kepada Mahkamah bahawa jumlah jaminan adalah sekadar munasabah dan memadai untuk memastikan kehadiran OKT pada proses seterusnya, manakala bahagian kedua pula memberi kuasa kepada Mahkamah untuk memberi arahan supaya OKT dibebaskan dengan jaminan serta kuasa untuk mengurangkan atau menaikkan jumlah jaminan.

 

Budi bicara Mahkamah dalam menentukan jumlah jaminan adalah tidak berbelah bagi ‘unfettered’, ia bergantung kepada fakta setiap kes.  Dalam Kes PP v Soo Shiok Liong[ii], Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menyenaraikan antara faktor-faktor yang diambil kira oleh Mahkamah dalam menentukan jumlah jaminan-

 

  1. Jenis dan tahap kesalahan dan hukuman.
  2. Jumlah lebih tinggi bagi kategori kesalahan tidak boleh jamin.
  3. Kebarangkalian OKT melarikan diri.
  4. Pelaksanaan syarat-syarat lain sekiranya ada, seperti serahan paspot.
  5. Tahap kerjasama OKT dalam siasatan.

 

Dalam kes yang sama, Mahkamah menyatakan yang berikut:

 

“The quantum of bail should not be set to prohibitively high as to have effect of incarcerating the accused before he is convicted of the crime”

 

Ini kerana pada peringkat ini, OKT masih belum didapati bersalah atas pertuduhan.  Justeru jumlah jaminan tidak sepatutnya memberi kesan sebagai hukuman kepada OKT, memadai untuk memastikan kehadiran OKT dalam proses berikutnya.

 

Setelah perintah jamin diberikan, OKT memerlukan seorang penjamin bagi menyempurnakan urusan jamin seterusnya.  OKT tidak boleh menjadi penjamin bagi dirinya sendiri, justeru penjamin mestilah individu lain yang berusia 18 tahun ke atas.  Mahkamah juga boleh meletakkan syarat tertentu bagi penjamin seperti seorang warganegara atau dalam kedudukan tertentu jika difikirkan perlu.

 

Setelah urusan jamin lengkap, OKT akan dibebaskan tertakluk kepada syarat-syarat lain sekiranya ada seperti perlu melapor diri di balai dsb.  Nama individu yang menjamin akan direkodkan dan tanggungjawab bagi memastikan OKT hadir dalam setiap prosiding Mahkamah akan mula berkuatkuasa ke atas penjamin sebaik sahaja Jaminan dibayar.

 

2.  Jenayah Syariah

 

Undang-undang Syariah menurut Perlembagaan Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa Negeri, disebabkan itu peruntukan undang-undang adalah berbeza bagi setiap Negeri.  Bagi memudahkan bacaan, artikel ini akan merujuk kepada Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (“Akta 560”) berkenaan pentadbiran, prosedur dan tatacara pendakwaan jenayah syariah dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Seksyen 185 Akta 560 mempunyai peruntukan berkenaan jaminan dan ia hampir menyamai peruntukan dalam Seksyen 387 Akta 593 bagi Jenayah Sivil di atas.  Sekiranya OKT bersedia untuk memberikan jaminan berserta penjamin, OKT boleh dibebaskan sementara menanti prosiding dan keputusan Mahkamah Syariah ke atasnya.

 

Perbezaan di antara Jenayah Sivil dan Jenayah Syariah ialah tiada pengkelasan kesalahan boleh jamin dan tidak boleh jamin.  Ini bermakna perintah jaminan akan diberikan bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

 

Sekiranya Mahkamah Syariah berpendapat bahawa pembebasan OKT akan mengganggu maslahat umum, maka syarat-syarat yang ketat boleh dikenakan seperti tidak boleh mendekati mangsa dalam jarak tertentu, atau meningkatkan jumlah jaminan.  Dalam menentukan jumlah jaminan, Seksyen 185 Akta 560 memperuntukkan kuasa budi bicara yang sama dengan Mahkamah Sivil iaitu berpandukan fakta kes dan tidak berlebihan.  Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa untuk mengurangkan atau meninggikan jumlah jaminan.

 

Dalam kes Pendakwa Syarie lwn Muhammad Fauzullah bin Ahmad Basheer[iii], OKT didakwa atas tindakan zina dan seterusnya mengaku salah.  Kes ditangguhkan bagi Mahkamah membuat keputusan dan OKT dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM2000 beserta seorang penjamin warganegara.  Pengakuan salah OKT dalam kes tersebut menjadi salah satu faktor yang dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah dalam menentukan jumlah jaminan.

 

Syarat bagi menjadi penjamin di Mahkamah Syariah, individu hendaklah beragama islam dan cukup umur, mempunyai pertalian keluarga dengan OKT dan menetap di dalam negeri yang sama dengan OKT[iv].

 

Bagi menyimpulkan perkara-perkara di atas, OKT adalah dianggap tidak bersalah selagi belum disabitkan bersalah, justeru Mahkamah boleh membebaskan OKT sementara menanti keputusan ke atasnya. Melainkan bagi kesalahan Jenayah Sivil yang serius, Mahkamah boleh menjalankan budi bicaranya untuk memberi perintah jamin dengan syarat-syarat yang difikirkan perlu.  Bagi kesalahan Jenayah Syariah, perintah jamin akan diberikan dalam mana-mana pertuduhan.

 

Lazimnya, perintah jaminan akan diberikan melainkan dalam perkara-perkara tertentu bagi menjaga hak pihak-pihak yang terlibat termasuk OKT.  Mahkamah Agung dalam kes PP v Dato’ Mat[v] menyatakan-

 

the outcome of such detention can often be misconstrued as an oppressive privation of his personal liberty especially so when at the end of a prolonged detention and trial the person detained is found to be not guilty. The court has always leaned in favour of admitting an accused person to bail.”

 

Peguam anda,

Misyail Othman

Ezryl Azlyzan (Pelatih Dalam Kamar)

 

…………

[i] [1987] 2 MLJ 527 FC

[ii] [1993] 2 MLJ 381

[iii] [2013] 2 SHLR 27

[iv] Siti Zubaidah Ismail, 2016, Dewan Bahasa dan Pustaka, Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah

[v] [1991] 2 MLJ 186

Share:

More Posts

Send Us A Message