Kedudukan Anak Tidak Sah Taraf: Suatu Perspektif Undang-Undang

 

  1. PENDAHULUAN

Sejak kebelakangan ini, fenomena anak luar nikah atau dalam bahasa undang-undangnya ialah anak tidak sah taraf menjadi semakin tenat dan sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita.

Seksyen 2 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) mentafsirkan anak tidak sah taraf sebagai anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah[1].

Apakah yang membezakan kedudukan seorang anak tidak sah taraf dari segi hukum syarak?  Pertama ialah berhubung penentuan nasab anak tersebut.  Secara umumnya, terdapat tiga kaedah utama untuk menentukan nasab seseorang itu iaitu melalui perkahwinan, keterangan saksi dan juga pengakuan (ikrar).  Dalam situasi di mana anak tidak dapat ditentukan nasabnya melalui kaedah di atas ini, maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapanya dan dikenali sebagai anak tidak sah taraf.  Selain itu, anak tidak sah taraf ini tidak dapat diwalikan oleh bapanya dan tidak dapat mewarisi harta pusaka bapanya.

  1. PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG

            Terdapat beberapa peruntukan di bawah Akta 303 berhubung siapakah yang boleh dianggap sebagai anak tidak sah taraf.  Seksyen 110 Akta 303 memperuntukkan-

“Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara lian atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.[2]

Berdasarkan peruntukan di atas, dapatlah difahami bahawa sekiranya seorang anak dilahirkan oleh seorang wanita hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki –

  • selepas enam bulan qamariah perkahwinan; atau
  • dalam masa empat tahun qamariah selepas perceraian,

maka anak yang lahir dalam jangka masa yang tersebut dianggap sebagai anak sah taraf, melainkan si bapa menafikan nasab anak tersebut di Mahkamah Syariah yang berkuat kuasa.  Ini bermakna, sekiranya anak tersebut dilahirkan luar dari tempoh yang dinyatakan di atas, contohnya selepas empat bulan perkahwinan, maka anak tersebut akan dianggap sebagai anak tidak sah taraf dan tidak boleh dinasabkan ie. dibin atau dibintikan kepada bapanya.

            Seksyen 111 Akta 303 turut menjelaskan bahawa jika seorang anak telah lahir selepas empat tahun qamariah daripada tarikh pernikahan ibunya  dibubarkan (iaitu sama ada disebabkan kematian atau perceraian), maka lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika lelaki itu atau mana-mana warisnya menegaskan bahawa anak itu adalah anak lelaki itu[3].

Sekiranya seorang anak lahir selepas tamat tempoh iddah, Seksyen 112 Akta 303, memperuntukkan:

 

“Jika seorang perempuan, yang tidak berkahwin semula, membuat satu pengakuan bahawa tempoh ‘iddahnya telah tamat sama ada ‘iddah itu adalah oleh sebab kematian atau perceraian dan perempuan itu kemudiannya melahirkan seorang anak, maka suami perempuan itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika anak itu telah dilahirkan kurang daripada empat tahun qamariah dari tarikh perkahwinan itu dibubarkan oleh sebab kematian suaminya itu atau oleh sebab perceraian.”[4]

 

Manakala bagi persetubuhan syubhah antara seorang lelaki dengan perempuan, anak yang dilahirkan dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan adalah dianggap sebagai  anak kepada lelaki itu (Seksyen 113 Akta 303)[5].

  1. PENGAKUTERIMAAN ANAK SAH TARAF

Seksyen 114 Akta 303 memperuntukkan syarat-syarat bagi pengakuterimaan anak sah taraf.  Jika seseorang lelaki mengaku seorang lain, sama ada dengan nyata atau dengan tersirat, sebagai anaknya yang sah, lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu jika syarat-syarat yang berikut dipenuhi, iaitu-

  • tiada seseorang lain disifatkan sebagai bapa anak itu;
  • perbezaan antara umur lelaki itu dengan umur anak itu memunasabahkan pertalian antara mereka sebagai bapa dan anak;
  • jika anak itu telah akil baligh, di mana dia boleh membuat keputusan, anak itu telah mempersetujui tentang dia diakui sebagai anak;
  • lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada masa pembenihan;
  • pengakuterimaan itu bukannya semata-mata mengakui anak itu sebagai anaknya, tetapi mengakui anak itu sebagai anak sah tarafnya;
  • lelaki itu adalah berkeupayaan membuat kontrak;
  • pengakuterimaan itu dibuat dengan tujuan semata-mata untuk memberi taraf kesahtarafan;
  • pengakuterimaan itu adalah jelas maksudnya dan anak itu adalah diakui sebagai anak kandungnya.

Jika syarat-syarat ini tidak dipenuhi maka pengakuterimaan tersebut adalah tidak sah di sisi undang-undang dan anak tersebut tidak boleh dianggap sebagai anak sah taraf lelaki tersebut.

 

  1. HAK ANAK TIDAK SAH TARAF

 

  • Nasab dan nama

 

Seorang anak tidak sah taraf hendaklah dinasabkan kepada ibunya.    Manakala bagi pendaftaran nama pula adalah berdasarkan undang-undang, garis panduan atau fatwa yang diwartakan di negeri tempat tinggal ibu tersebut.  Sebagai contoh-

  • Pulau Pinang telah mewartakan pada 27 Oktober 2005 bahawa anak tak sah taraf sama ada diikuti dengan perkahwinan pasangan itu atau tidak hendaklah dibinkan atau dibintikan kepada “Abdullah”[6]; dan
  • Wilayah Persekutuan pula telah mewartakan pada tahun 2017 bahawa anak yang tak sah taraf dinisbahkan kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdu seperti “bin Abdul Ghani”, “bin Abdul Rahman”, atau “bin Abdul Latif”[7].

 

Perkara berhubung penamaan anak tidak sah taraf yang dilahirkan oleh seorang wanita Islam juga telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia.  Pada 13 Februari 2020, Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kes Jabatan Pendaftaran Negara & Ors v. Seorang Kanak-Kanak & Ors; Majlis Agama Islam Negeri Johor (Pencelah)[8], dengan keputusan majoriti 4-3 telah memutuskan bahawa seorang anak tidak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan dengan bapa kandungnya tetapi bolehlah dibin atau dibintikan dengan 99 nama Allah.

Mahkamah Persekutuan dalam kes di atas mendapati bahawa ibu dan bapa anak itu adalah orang Islam, maka mereka ini tertakluk atau terikat dengan undang-undang Syariah di negeri tempat tinggal mereka iaitu Johor.  Dalam hubungan ini, anak tidak sah taraf tersebut tidak boleh dinasabkan dan dibinkan kepada bapanya kerana bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Syariah di Johor.

Walau bagaimanapun, Mahkamah juga mendapati bahawa anak tersebut dibinkan dengan nama Abdullah.  Penamaan ini adalah menurut keputusan oleh  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam kali pertama yang bersidang pada 28-19 Januari 1981, yang mana telah diputuskan bahawa semua anak tidak sah taraf hendaklah dibin atau dibintikan kepada ʿAbdullah’.  Namun demikian, fatwa ini tidak diwartakan di negeri Johor.  Oleh hal yang demikian, Mahkamah mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada nama anak itu dan mengekalkan namanya sahaja.

  • Nafkah

 

Berdasarkan Seksyen 80 Akta 303, nafkah anak tidak sah taraf adalah ke atas ibunya melainkan seorang anak yang dilahirkan hasil daripada perbuatan rogol.

 

  • Pusaka

 

Anak tidak sah taraf boleh mewarisi ibunya dan begitu jua ibunya boleh mewarisi harta pusaka anak tidak sah taraf tersebut.  Walau bagaimanapun, anak tersebut tidak boleh mewarisi bapa kandungnya.

 

  • Perwalian dan penjagaan

 

Ibu kandung anak tidak sah taraf bertanggungjawab ke atas hak penjagaan anak tersebut.  Malahan, hak perwaliannya juga diserahkan kepada ibu kandungnya.  Dalam keadaan anak tidak sah taraf tersebut adalah seorang perempuan, apabila ia mahu berkahwin, maka walinya adalah wali hakim kerana kedudukannya adalah sebagai seorang yang tidak mempunyai wali nasab lelaki.

 

  • Perkahwinan

 

Tiada halangan untuk seorang anak tidak sah taraf berkahwin dengan pasangan pilihannya dengan syarat perkahwinan tersebut memenuhi rukun dan syarat sah nikah.

 

  • Hubungan mahram

 

Anak tidak sah taraf mempunyai hubungan mahram dengan akhli keluarga sebelah ibunya sahaja dan tidak dengan ahli keluarga sebelah bapa.

 

  • Kematian

 

Seorang anak tidak sah taraf yang meninggal dunia sebelum baligh adalah menurut agama ibunya.

 

 

  1. KES MAHKAMAH BERKAITAN KESAHTARAFAN ANAK

Kes Ismail Bin Ishak lwn Kalam Binti Mamat (1995)[9] adalah sebuah kes untuk pengisytiharan bahawa seorang anak yang dilahirkan oleh Defendan adalah bukan anak Plaintif.  Plaintif juga memohon Mahkamah mengisytiharkan bahawa memandangkan anak tersebut bukan anaknya, maka nafkah anak itu bukanlah tanggungjawab Plaintif.

Dalam kes ini, pihak-pihak telah bercerai pada 28 September 1985.  Kemudian pada 23 September 1989, Defendan telah melahiran seorang anak yang mana menurut dakwaan Defendan adalah anak Plaintif. Dakwaan ini adalah berdasarkan alasan bahawa pihak-pihak telah ruju’ dan bersama dalam tempoh Defendan ber’iddah. Walau bagaimanapun, dakwaan ini disanggah dan dinafikan oleh Plaintif.

Mahkamah dalam kes ini memutuskan-

  • Anak tersebut lahir selepas empat tahun dari tarikh perceraian. Oleh itu, berdasarkan hukum syarak, anak itu tidak boleh dinasabkan kepada Plaintif.
  • Menurut Mazhab Shafi’i, seorang suami yang ingin meruju’ isterinya hendaklah berbuat demikian dengan melafazkan ruju’ tersebut. Walau bagaimanapun, Defendan tidak dapat membuktikan bahawa ruju’ itu telah berlaku dalam tempoh iddah. Maka anak itu tidak boleh dinasabkan kepada Plaintif.
  • Oleh kerana anak itu bukan anak Plaintif, maka Plaintif tidak bertanggungjawab ke atas nafkah anak itu.

Seterusnya dalam kes Wan Azmi lawan Nik Salwani (1990) [10], pada 29 Jun 1987 Wan Azmi dan Nik Salwani telah berkahwin.   Walau bagaimanapun, pada 21 Disember 1987 mereka telah bercerai di Mahkamah Kadi, Jajahan Tumpat, Kelantan.  Tidak lama kemudian, pada 18 Mac 1988 Nik Salwani telah melahirkan seorang anak yang didakwa adalah anak kepada Wan Azmi.

Nik Salwani selanjutnya telah memfailkan tuntutan nafkah anak dan nafkah mengandung di Mahkamah Kadi, Jajahan Kota Bharu terhadap Wan Azmi.  Walau bagaimanapun, Wan Azmi memohon Mahkamah mengeluarkan perintah pengisytiharan bahawa anak itu bukanlah anaknya.

Mahkamah dalam kes ini memutuskan bahawa anak tersebut sememangnya anak yang sah taraf dan dinasabkan kepada Wan Azmi sebagai bapa.  Permohonan Wan Azmi telah ditolak oleh Mahkamah berdasarkan alasan seperti berikut:

  • Terdapat keterangan yang membuktikan Wan Azmi telah menyetubuhi Nik Salwani dan hasil persetubuhan tersebut, seorang anak telah dilahirkan selepas enam bulan persetubuhan itu.
  • Penafian oleh Wan Azmi bahawa anak itu bukan anaknya hanya dibuat selepas Nik Salwani menuntut nafkah.

 

Selanjutnya dalam kes Fatimah binti Abdullah dan Seorang Lagi lwn Mat Zin bin Kassim (1999)[11], Plaintif Pertama (Fatimah binti Abdullah) telah berkahwin dengan Defendan pada 1 November 1976 dan bercerai pada 11 Disember 1976.  Dalam tempoh perkahwinan tersebut, pihak-pihak telah bersama selama lebih dari lima kali.  Pada 26 November 1977, Plaintif Pertama telah melahirkan seorang anak Bernama Zainal Abidin bin Mat Zin, Plaintif Kedua.   Isu bagi kes ini adalah sama ada Plaintif Kedua adalah anak kepada Defendan.  Defendan menafikan Plaintif Kedua adalah anaknya dan mendakwa bahawa sepanjang perkahwinannya dengan Plaintif Pertama, mereka tidak pernah bersama.

Mahkamah dalam kes ini telah memutuskan dan mensabitkan nasab Plaintif Kedua kepada Defendan dengan mengambil kira bahawa sepanjang perkahwinan Plaintif Pertama dan Defendan selama 41 hari, ada berlakunya persetubuhan antara Plaintif Pertama dan Defendan sebanyak 5 kali, dan Plaintif Kedua dialahiran lebih enam bulan dari tarikh persetubuhan tersebut.

 

 

  1. KESIMPULAN

Sebagai penutup, isu berkenaan nasab dan kesahtarafan anak bukanlah suatu isu yang boleh diambil ringan.  Islam sangat menitikberatkan isu berkenaan nasab dan kesahtarafan anak kerana hak seorang anak yang tidak sah taraf sama sekali tidak sama dengan anak yang sah tarafnya.  Kesahtarafan anak juga memberi kesan yang besar terhadap seseorang anak itu terutamanya dalam isu perwalian dan pusaka.

Disediakan oleh,

Nur Syaheerah & Nurul Sarah Jasmina

TETUAN MISYAIL OTHMAN & CO

 

 

[1] Seksyen 2 Akta 303

[2] Seksyen 110 Akta 303

[3] Seksyen 111 Akta 303

[4] Seksyen 112 Akta 303

[5] Seksyen 113 Akta 303

[6] Warta Pulau Pinang, 2005 (Pg. P.U. 19, Jil. 94 No. 22).

[7] Warta Wilayah Persekutuan, 2017.

[8] [2020] 2 MLRA

[9] (1995) 10 JH 41

[10] (1990) 19 JH 192-194

[11] (1999) 14 JH II 225-234

Share:

More Posts

DATIN SERI ROSMAH BT MANSOR V PUBLIC PROSECUTER [2021] MLJU 2394 COURT OF APPEAL (PUTRAJAYA) Stay Proceedings in Criminal Cases Facts of the case 1.   

NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7

  NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7 Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam Pengisytiharan Keluar Agama Islam Fakta kes 1.    Plaintif iaitu NBR telah dilahirkan pada

Send Us A Message