Ketahui Hak Anda Sebagai Pekerja- Hari Kelepasan Am (Cuti Umum)

KETAHUI HAK ANDA SEBAGAI PEKERJA-HARI KELEPASAN AM (CUTI UMUM)

A.     Ponteng kerja : Absent without leave “AWOL”

Tahukah anda, ponteng sebelum atau selepas cuti umum boleh mengakibatkan anda hilang   kelayakan cuti umum?.

Seksyen 60D(2) Akta Kerja 1955 (Akta 265) antara lain memperuntukkan bahawa jika pekerja tidak hadir bekerja TANPA ALASAN MUNASABAH atau TANPA KEBENARAN di mana hari berikutnya atau hari sebelumnya adalah hari cuti umum, maka pekerja tidak layak mendapatkan bayaran cuti umum.

Akta Kerja 1955 adalah tidak terpakai –

(a) di Sabah dan Sarawak (yang mempunyai Ordinan khas masing-masing), atau;

(b) sekiranya terdapat perjanjian kontrak kerja yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak sebelum pekerja menyertai dan memulakan tugasnya di sesebuah syarikat.

B.     Hari Kelepasan Am (Cuti Umum)

Di Malaysia terdapat banyak Hari kelepasan Am (cuti umum) yang diwartakan di bawah Akta Hari Kelepasan  1951 (Akta 369), namun di bawah Seksyen 60D(1A) Akta 265, majikan TIDAK DIWAJIBKAN memberikan cuti pada setiap Cuti Umum yang diwartakan tersebut.

Majikan diberi kebebasan untuk memilih sebelas (11) hari sahaja sebagai cuti berbayar dalam satu tahun  (yang wajib dimaklumkan kepada pekerja melalui notis sebelum bermulanya tahun takwim kalendar yang baru) , di mana Seksyen 60D(1)(a) Akta 265 menyenaraikan Cuti Umum wajib iaitu-

(a) Lima (5) hari CUTI UMUM YANG WAJIB DIBERIKAN dan TIDAK BOLEH DIGANTIKAN DENGAN HARI LAIN iaitu-

(i) Hari Kebangsaan;

(ii) Hari Keputeraan YDP Agong;

(iii) Hari Keputeraan Raja/YDP Pertua Negeri atau Hari Wilayah bagi Wilayah Persekutuan;

(iv) Hari Pekerja;

(v) Hari Malaysia ; dan

(b) Baki enam (6) lagi Cuti Umum boleh dipilih oleh majikan mengikut budi bicara mereka.

Berdasarkan proviso Seksyen 60D(1)(b) Akta 265, jika hari Cuti Umum  jatuh pada hari rehat, atau apa-apa Cuti Umum selain sebelas (11) Cuti Umum yang dinyatakan  di atas (Cuti Umum bertindih), maka hari kerja yang berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am sebagai ganti.

Bagi sebarang kerja lebih masa untuk mana-mana lima (5) hari Cuti Umum wajib tersebut, majikan wajib membayar upah tambahan tiga kali (3x) ganda daripada upah  biasa pekerja tersebut.

Walau bagaimanapun, proviso bagi Seksyen 60D (1A) Akta 265 memperuntukkan, pihak majikan dan pekerja melalui suatu perjanjian bolehlah menggantikan hari atau beberapa hari lain bagi tiga (3) cuti atau lebih daripada baki enam (6) lagi Cuti Umum yang dipilih oleh majikan dan, majikan juga boleh memberikan hari lain sebagai Cuti Umum berbayar sebagai ganti untuk Cuti Umum yang sama kepada pekerja terlibat.

Dalam keadaan sekiranya pekerja berkenaan diarahkan oleh majikannya untuk bekerja lebih masa pada masa-masa enam (6) lagi Cuti Umum yang dipilih oleh majikan tersebut, maka menurut Seksyen 60D(3)(a) Akta 265 pekerja tersebut hendaklah dibayar upah tambahan tiga (3x) kali ganda daripada kadar upah biasa.

Cuti umum tambahan (Cuti mengejut yang diumumkan Kerajaan)

Cuti mengejut adalah cuti yang belum diwartakan dan yang diumumkan oleh Kerajaan atas peristiwa tertentu selaras dengan  Seksyen 60D(1)(b) Akta 265 dan Seksyen 8  Akta Hari Kelepasan 1951(Akta 369).

Cuti Khas ini wajib diberikan oleh majikan pada tarikh khas yang diisytiharkan sebagai hari cuti berkenaan atau majikan boleh menggantikan tarikh cuti khas tersebut kepada mana-mana tarikh lain yang sesuai.

Secara amnya,  Akta 265 hanyalah sebagai panduan dan merupakan syarat minima sahaja, di mana majikan mempunyai budi bicara untuk  memberikan faedah cuti yang lebih dari sebelas (11) hari cuti umum dalam tempoh satu tahun calendar.  Walau bagaimanapun, majikan adalah digalakkan untuk  memberikan cuti bagi kesemua hari-hari kelepasan am yang diisytiharkan oleh Kerajaan.

Disediakan oleh,

Siti Saliah Salim

TETUAN MISYAIL OTHMAN & CO

Share:

More Posts

Send Us A Message