Konsep Perundangan Hak Cipta

thief, copyright, idea-6804514.jpg

thief, copyright, idea-6804514.jpg

Konsep Perundangan Hak Cipta

Hak cipta adalah suatu konsep undang-undang yang mengiktiraf dan melindungi hasil kerja individu. Konsep ini berkuat kuasa di Malaysia di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) (selepas ini dirujuk sebagai “Akta”). Menurut Penyata Rasmi Parlimen semasa Akta ini dibentangkan, Kerajaan berhasrat untuk memperbaiki hak-hak pemunya karya supaya mereka benar-benar dapat mengecapi hasil merekai dan pampasan- pampasan yang memadai akan dibayar kepada tuan punya hak cipta sekiranya terdapat pelanggaran terhadap hak cipta.

Justeru, siapa pemunya hak cipta? Bagaimana sesuatu pelanggaran berlaku? Dan apakah pampasan-pampasan yang dimaksudkan?

 

Pengenalan Undang-Undang Hak Cipta

Tiada tafsiran khusus hak cipta dalam Akta, namun secara amnya ia adalah suatu hak eksklusif yang bersangkutan terhadap sesuatu karya. Karya yang diiktiraf dan boleh diberikan hak cipta adalah karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan siaraniii. Manakala bagi melayakkan sesuatu karya itu dilindungi oleh hak cipta, pelaku atau peciptanya hendaklah orang yang berkelayakan dan karya tersebut hendaklah diterbitkan, dipancar dari atau terletak di Malaysiaiv. Orang berkelayakan bermaksud seorang warganegara Malaysia. Dalam kata lainnya, sekiranya apa- apa karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan siaran dicipta oleh mana- mana warganegara Malaysia, karya tersebut adalah diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang dan terletakhak ke atas penciptanya bagi memastikan hasil dan manfaat daripada penghasilan karya dapat dikecapi. Namun demikian, harus diberi perhatian bahawa hak ke atas karya ini bukanlah bersifat kekal, ia mempunyai had masa bermula dari waktu penciptaannya. Hak ini akan terhenti selepas tamat tempoh had masa yang ditetapkan di dalam Akta.

Secara lazimnya, hak cipta terletak hak ke atas sesuatu karya dan pencipta apabila menepati ciri-ciri kelayakan yang diperuntukkan di dalam Akta seperti yang dinyatakan di atas. Undang-undang tidak mewajibkan hak cipta didaftar, namun pencipta karya boleh membuat pendaftaran secara sukarela. Ini bertujuan agar suatu rekod hak cipta dapat diadakan bagi memudahkan sebarang urusan tuntutan pelanggaran hak cipta di kemudian hari. Pencipta boleh membuat suatu pemberitahuan hak cipta ke atas sesuatu karya ciptaannya kepada Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia menerusi platform atas talian MyIPO. Pendaftaran boleh dibuat dengan bayaran tertentu bergantung kepada jenis karya yang ingin didaftarkan. Kaedah pemberitahuan sukarela ini boleh dirujuk dalam Peraturan (Pemberitahuan Sukarela) Hak Cipta 2012vi. Selain dari pemberitahuan sukarela, pencipta boleh membuat keterangan dalam bentuk akuan bersumpah di bawah Aktavii bagi membuktikan hak cipta sekiranya terdapat pertikaian.

 

Pelanggaran Hak Cipta

 Pelanggaran terhadap hak cipta berlaku apabila seseorang yang tidak mempunyai hak cipta ke atas sesuatu karya telah menyalahgunakan karya tersebut bagi tujuan komersil atau apa-apa tujuan lain selain untuk kegunaan peribadi. Hatta mengedarkan salinan karya bukan bagi tujuan komersil juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Aktaviii. Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Akta bergantung kepada jenis kesalahan yang mana hukumannya boleh mencapai denda sehingga tidak melebihi RM250,000.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Selain dari hukuman, pencipta juga boleh merujuk aduan kepada Tribunal Hak Cipta atau mana-mana Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa bagi mendapatkan pampasan ke atas pelanggaran tersebut. Sekiranya pencipta membuat tuntutan pelanggaran di Mahkamah, Mahkamah boleh memberikan relif dalam bentuk suatu perintah tegahan (Injunksi), ganti rugi am, ganti rugi statutori yang tidak melebihi RM25,000.00 bagi setiap karya atau apa-apa perintah lain yang Mahkamah fikirkan patutix. Perkara ini adalah bertepatan dengan niat Parlimen untuk memastikan bahawa pampasan-pampasan sewajarnya dapat diberikan kepada pencipta karya.

Dalam kes Mohd Syamsul bin Md Yusof & Ors v Elias bin Idrisx, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa sesuatu pelanggaran boleh dibuktikan dengan memberi keterangan kepada Mahkamah bahawa-

“1.There is sufficient degree of objective similarity between the two works; and

 

  1. There is causal connection between the copyright work and the alleged infringing work.”

 

Berdasarkan kes di atas, selepas milikan hak cipta dibuktikan, Plaintif hendaklah membuktikan selanjutnya bahawa terdapat persamaan dan hubungan yang ketara antara karya asal di bawah hak cipta dengan karya tiruan. Beban pembuktian ini terletak pada Plaintif dan penilaiannya adalah di bawah budi bicara Mahkamah.

 

Pampasan

 Sekiranya pencipta merujuk pelanggaran kepada Mahkamah, Mahkamah boleh memberikan pampasan dalam bentuk ganti rugi. Kiraan ganti rugi adalah berpandukan prinsip-prinsip perundangan sedia ada yang digunapakai dalam undang-undang tort berhubung pelanggaran hak cipta.

Memandangkan prinsip hak cipta adalah berasal dari Common Law yang digunapakai dalam kalangan negara-negara Komanwel, Seksyen 3 Akta Undang-

Undang Sivil 1956 membenarkan pemakaiannya dalam Malaysia selagi mana ia tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada. Dalam kes General Tyre and Rubber Co. v. Firestone Tyre & Rubber Coxi, House of Lord di Britain memutuskan-

“The successful plaintiff in an infringement action is entitled to restitutio in integrum, by way of compensation for any harm, caused to him, which flows directly and naturally from the tortious act.” 

Restitutio in integrum adalah perkataan Latin yang bermaksud mengembalikan sesuatu kepada keadaan asalnya. Dalam hal ini, pencipta boleh menuntut pampasan ke atas segala kerugian yang berpunca daripada pelanggaran hak cipta, bermula dari waktu perlanggaran tersebut berlaku sehingga waktu tuntutan dibuat.

Bagi menentukan kadar gantirugi, Mahkamah akan mempertimbang-

  1. susut nilai karya hak cipta yang disebabkan oleh pelanggaranxii;
  1. tahap kecederaan reputasi atau fitnah yang timbul terhadap pemilik hak cipta dan karyanyaxiii; atau
  1. kesan terhadap kadar jualan karya akibat daripada pelanggaranxiv.

Namun demikian, perkara-perkara di atas adalah tidak terhad. Mahkamah mempunyai budi bicara yang luas bagi memberikan pampasan yang difikirkan wajar berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan.  Seperti yang dinyatakan di atas, beban pembuktian adalah terletak di atas Plaintif atau pencipta untuk membuktikan kerosakan yang dihadapinyaxv. Sebagai contoh, dalam kes Mokhtar Hj. Jamaludin vs. Pustaka Sistem Pelajaranxvi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hanya memberikan pampasan sebanyak RM2,500.00 kepada Plaintif kerana kekurangan bukti atas kerugian yang dialaminya. Mengikut kadar semasa, kos guaman sahaja sudah mencecah lebih dari nilai pampasan tersebut.

Lesen

Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang berhasrat untuk menggunakan karya milik orang lain, individu tersebut boleh membuat permohonan lesen bagi penggunaanya. Lesen ini adalah suatu pengesahan bertulis yang membenarkan mana-mana individu untuk menggunakan karya tersebut. Permohonan ini boleh dibuat kepada mana-mana badan perlesenan yang diberi mandat oleh pencipta karya. Oleh itu, semakan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.

Untuk makluman, artikel ini bertujuan untuk memberi maklumat am berkenaan undang-undang hak cipta di Malaysia. Namun begitu, pemakaiannya adalah berbeza dan tertakluk kepada fakta sesuatu keadaan. Justeru, sekiranya terdapat persoalan berkaitan permasalahan hak cipta, adalah disarankan untuk merujuk persoalan tersebut kepada peguam yang bertauliah.

 

Peguam anda,

Tetuan Misyail Othman & Co.

 

 

RUJUKAN

i 8804, Penyata Rasmi Parlimen, Parlimen Ketujuh, Penggal Pertama, 20 Mac 1987 DR20031987

ii 8798, ibid

iii S.7(1) Akta Hak Cipta 1987

iv S.10 Ibid

v S.2 Ibid

vi PU (A) 160/2012

vii S.42 Ibid

viii S.27AA Ibid

ix S. 37(1) Ibid

x Mohd Syamsul bin Md Yusof & Ors v Elias bin Idris [2019] 4 MLJ 788

xi General Tyre and Rubber Co. v. Firestone Tyre & Rubber Co [1976] RPC 197 HL.

xii Sutherland Publishing Co Ltd v Caxton Publishing Co Ltd [1936] Ch 323

xiii Hansfstaengl v. W.H. Smith & Sons [1905] 1 Ch. 519 HC

xiv Prior v Lansdowne Press Pty Ltd [1977] VR 65

xv Modern Law of Copyright and Designs [2000] para 39.40 p.1793

xvi Mokhtar Hj. Jamaludin vs. Pustaka Sistem Pelajaran [1985] CLJ Rep 595

Share:

More Posts

Send Us A Message