MTSK v SNAMH [2020] JH 53 BHG. 1

MTSK v SNAMH [2020] JH 53 BHG. 1

Mahkamah Tinggi Syariah (Johor Bahru)

Pengesahan Lafaz Cerai

Fakta Kes 1.  Perayu telah melafazkan cerai kepada Responden melalui pesanan suara (voice note) yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp (aplikasi tersebut).

2. Hakim Mahkamah Rendah Syariah (MRS) telah memutuskan bahawa lafaz talak yang diucapkan tersebut adalah berbentuk soreh kerana Perayu telah melafazkannya menggunakan kemudahan pesanan suara pada aplikasi tersebut.

3.  Perayu telah memfailkan rayuan terhadap keputusan MRS tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah (MTS).

4.  Alasan-alasan rayuan yang dikemukakan oleh Perayu adalah –

(a) Hakim MRS telah khilaf dalam memutuskan status lafaz talak itu sebagai soreh dan bukannya kinayah kerana ia telah dilafazkan dan bukan dalam bentuk tulisan.

(b) Hakim MRS telah khilaf apabila mengasingkan lafaz talak Perayu dan menganggap lafaz tersebut berbeza dalam satu ungkapan yang sama sekaligus berbeza dengan niat asal Perayu.

(c) Hakim MRS telah khilaf dari sudut undang-undang dan fakta apabila gagal meneliti yang lafaz talak tersebut telah dilakukan dengan menggunakan aplikasi tersebut.

(d) Hakim MRS telah khilaf di dalam mensabitkan lafaz tersebut tanpa memberi perhatian kepada niat Perayu semasa melafazkan talak tersebut.

(e) Hakim MRS telah khilaf apabila gagal memberikan peluang dan masa kepada Perayu mengemukakan bukti bagi menunjukkan niat sebenar Perayu.

(f) Hakim telah khilaf apabila gagal memberikan masa kepada Perayu mengemukakan bukti dan dokumen untuk penilaian penuh Hakim.

(gHakim telah khilaf apabila gagal dan/atau enggan memberikan pertimbangan wajar terhadap keseluruhan kes.

Isu – isu 1.  Sama ada Hakim MRS khilaf di dalam memahami isu utama.

2. Sama ada Hakim MRS khilaf di dalam mensabitkan lafaz soreh pada lafaz yang dibuat melalui aplikasi WhatsApp.

3. Sama ada Hakim MRS khilaf kerana tidak mengambil kira niat Perayu semasa melafazkan talak tersebut dan tidak memberikan peluang untuk Perayu membuktikan niatnya.

Alasan Penghakiman 1. Sama ada Hakim MRS khilaf di dalam memahami isu utama

(a) Hakim MTS telah merujuk kepada alasan rayuan 4(c) di mana Perayu berpendapat Hakim khilaf kerana tidak peka dan menimbulkan keraguan seolah-oleh Hakim MRS tidak tahu situasi yang tepat semasa lafaz talak tersebut dilafazkan.

(b) Bagi menjawab alasan ini, Hakim Bicara MTS telah merujuk kepada Nota Keterangan dan memutuskan bahawa Hakim MRS tidak khilaf dan mengetahui bahawa lafaz talak yang dibuat oleh Perayu adalah melalui aplikasi tersebut. Ini dapat dirujuk di dalam Nota Keterangan yang berbunyi –

Defendan mengaku ada mengirim pesanan suara talak terhadap Plaintif melalui pesanan suara WhatsApp”

Hakim MRS juga ada mengulas mengenai kedudukan lafaz talak menggunakan aplikasi WhatsApp berpandukan Hukum Syarak.

(c) Oleh itu, Hakim MTS berpuas hati bahawa Hakim MRS tidak terkhilaf dalam memahami isu yang berbangkit.

 

2. Sama ada Hakim MRS khilaf di dalam mensabitkan lafaz soreh pada lafaz yang dibuat melalui aplikasi WhatsApp

(d) Hakim MTS telah merujuk kapada alasan rayuan 4(a) di mana Hakim MRS telah mensabitkan lafaz yang dibuat oleh Perayu sebagai lafaz yang soreh.  Hal ini kerana Perayu telah melafazkan perkataan talak tersebut dan bukan menulisnya.  Perayu beranggapan Hakim MRS telah khilaf kerana mensabitkan lafaz tersebut padahal ia telah dilakukan dengan aplikasi WhatsApp.  Perayu beranggapan bahawa setiap perkataan talak yang melalui aplikasi tersebut adalah berbentuk kinayah.

(e)  Perayu telah merujuk kepada artikel di dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan di https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2967-al-kafi-1014-cerai-menggunakan-aplikasi-whatsapp.Perayu juga telah mendatangkan rujukan kes yang hampir serupa iaitu kes MSAMY lwn NELM [2018] 3 LNS 4; [2018] 3 SHLR 41.

(f)   Walau bagaimanapun, Hakim MTS mendapati jawapan di dalam artikel tersebut adalah merujuk kepada tulisan, bukan merujuk kepada perkataan.  Artikel tersebut menyatakan –

…kami katakan bahawa lafaz cerai tersebut termasuk di dalam bahagian kinayah bukannya soreh.  Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya melalui faksimili, SMS, emel dan sebagainya merupakan talak kinayah dan ianya sah sekiranya disertai dengan niat.”

(g)  Dalam kes MSAMY lwn NELM, si suami telah menghantar satu mesej bertulis dan dua mesej pesanan suara mengandungi talak.  Hakim Bicara dalam kes ini memutuskan bahawa mesej berbentuk tulisan yang dihantar oleh suami tersebut adalah berbentuk lafaz kinayah, manakala dua lafaz talaq menerusi pesanan suara yang dibuat itu tidak sah memandangkan suami melafazkannya dalam keadaan marah.

(h) Di dalam kes yang dibincangkan ini, Perayu telah mengakui melafazkan perkataan talak yang soreh kepada Responden dan bukan menulisnya.  Oleh hal yang demikian, Hakim MRS telah mensabitkan talak tersebut dengan talak soreh.  Hakim MTS berpuas hati bahawa Hakim MRS tidak terkhilaf di dalam hal ini.

 

3. Sama ada Hakim MRS telah khilaf kerana tidak mengambil perhatian kepada niat Perayu semasa melafazkan talak tersebut dan tidak memberikan masa dan peluang untuk Perayu membuktikan niatnya

(c)  Hakim MTS juga telah merujuk kepada alasan rayuan 4(d), 4(e) dan 4(f) di mana Perayu berpendapat Hakim MRS telah khilaf dari segi fakta kerana mensabitkan lafaz talak tanpa memberikan perhatian kepada niat Perayu.  Perayu juga berpendapat Hakim MRS tidak memberikan masa dan peluang untuk Perayu mengemukakan bukti dan dokumen dalam menyiasat niat Perayu semasa melafazkan lafaz talak tersebut.

(d) Selepas mengambil kira keputusan Hakim MRS, Hakim MTS berpendapat bahawa Perayu tidak perlu lagi mengemukakan bukti dan dokumen untuk membuktikan niat semasa melafazkan lafaz tersebut.  Hal ini kerana Hakim MRS telah mensabitkan lafaz tersebut sebagai lafaz soreh.  Lafaz yang soreh tidak memerlukan kepada niat suami bagi mensabitkannya.  Hal ini selari dengan hadith Nabi S.A.W yang bermaksud –

Tiga perkara jika yang dilakukan secara bersungguh-sungguh akan berlaku, dan jika dilakukan secara main-main juga akan berlaku: nikah, talaq dan rujuk”

Rujukan juga dibuat kepada petikan daripada Kitab Mughni al-Muhtaj berkenaan hal ini –

“…Jatuh talaq daripada suami yang muslim dan kafir dengan lafaz soreh…”

(e)  Seterusnya, Hakim MTS berpendapat Perayu telah diberi masa yang mencukupi untuk memfailkan pembelaan bertulis dan pembelaan secara lisan mengikut kepada saman bertarikh 21.9.2020 yang menyatakan –

Dan ambil perhatian bahawa jika anda ingin membela diri terhadap tuntutan ini, anda hendaklah memfailkan di Mahkamah ini dan menyampaikan kepada Plaintif suatu pembelaan dalam borang yang ditetapkan sebelum tarikh yang tersebut di atas atau hadir di Mahkamah pada tarikh itu.”

(f) Pada tarikh pendengaran tersebut, Perayu tidak memfailkan pembelaan dan tidak pula memohon penangguhan untuk memfailkan pembelaan.  Malah Perayu melepaskan haknya untuk melantik Peguam Syarie bagi membela dirinya.  Dalam pada itu, Perayu juga telah gagal menyatakan di dalam rayuan ini berkenaan identiti saksi dan dokumen yang hendak dikemukakan.  Oleh itu, Perayu disifatkan tidak mempunyai sebarang bantahan atas Pernyataan Tuntutan Responden.

(g) Merujuk kepada alasan rayuan 4(b) dan 4(g), Hakim Bicara MTS telah mendapati Perayu tidak mengemukakan hujahan.  Telah menjadi prinsip asas di dalam kes rayuan bahawa alasan  yang tidak dihujahkan tidak dipertimbangkan.

Keputusan 1. Hakim MTS menetapkan bahawa rayuan Perayu ditolak.

2.Hakim MTS menetapkan bahawa Perintah dan Penghakiman Hakim Bicara MRS Johor Bahru dikekalkan dengan maksud lafaz talak Perayu kepada Responden adalah bersifat soreh dan sabit.

3.Kos sebanyak RM15,000.00 diberikan kepada Responden dan Perayu hendaklah membayar kos tersebut dalam tempoh masa 30 hari.

Kesimpulan 1.Lafaz talak merupakan lafaz yang memutuskan kontrak perkahwinan walaupun diucapkan dalam apa jua keadaan.  Di dalam kes ini, lafaz talak secara voice note telah diputuskan sebagai lafaz soreh.

2.Setiap alasan rayuan yang dikemukakan perlu disokong dengan hujahan bagi mengelakkan alasan rayuan tersebut tidak dipertimbangkan.

Share:

More Posts

Send Us A Message