PENDAHULUAN
Nusyuz menerusi Kamus Dewan edisi keempat boleh ditafsirkan sebagai keingkaran isteri mentaati perintah (yang diharuskan Allah) suami. Nusyuz menurut istilah boleh diterjemahkan sebagai penolakan taat pasangan suami isteri terhadap satu sama lain dalam menunaikan hak. Fuqaha Mazhab Syafi’e mentafisrkan nusyuz apabila terkeluarnya seorang isteri daripada garis ketaatan terhadap suaminya seperti keluar ke suatu tempat tanpa kerelaan suaminya tanpa ada alasan yang munasabah. Nusyuz juga berupa penolakan isteri terhadap kemahuan suaminya ataupun mempamerkan wajah masamnya bila berdepan dengan suami sedangkan pada hakikatnya sebelumnya ini wajahnya berseri-seri bila berdepan dengan suaminya. Selain daripada itu juga berkemungkinan dia bersikap kasar terhadap suaminya sama ada dengan pertuturan yang diungkapkan kepada suaminya. Artikel ini mengkhususkan perbicangan seterusnya berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 (“Enakmen No.2 Tahun 2003”).
JENIS-JENIS KELAKUAN NUSYUZ
Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 “(Enakmen No. 2 Tahun 2003)” memperuntukkan seperti berikut:
Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain—
(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
Kelakuan nusyuz yang diklasifikasikan oleh Islam menurut Hukum Syara’ adalah seperti berikut:
- Tindakan isteri keluar rumah tanpa izin suami.
- Menghalang suami memasuki rumah.
- Menghalang suami untuk bersama.
- Tidak mentaati suami.
KUASA UNTUK MENSABITKAN NUSYUZ
Kuasa untuk mensabitkan nusyuz diberikan kepada Mahkamah berdasarkan seksyen 130 Enakmen No.2 Tahun 2003 yang memperuntukkan seperti berikut:
“Seseorang perempuan yang bersengaja tidak menurut sesuatu perintah yang diberi oleh suaminya yang sah mengikut Hukum Syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ratus ringgit atau, bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudiannya, denda tidak melebihi lima ratus ringgit”.
BAGAIMANA UNTUK MEMBUAT SABITAN NUSYUZ
Kebiasaannya suami yang mendapati isterinya nusyuz akan membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah untuk satu perintah Mahkamah agar isteri tersebut kembali taat kepada suami. Seandainya isteri tersebut akur kepada perintah tersebut dan bertubat maka isteri tersebut tidak boleh disabitkan sebagai nusyuz, berdasarkan kepada Seksyen 59 (3) Enakmen No.2 Tahun 2003 yang memperuntukkan seperti berikut:
“(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz”
KESAN NUSYUZ TERHADAP PERKAHWINAN
Secara amnya, nusyuz memberikan kesan-kesan berikut kepada sesebuah institusi perkahwinan:
- Mendorong kepada berlakunya shiqaq iaitu pertelingkahan di antara pasangan suami sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Surah al-Nisa ayat 35.
- Hak nafkah seorang isteri boleh digugurkan apabila Mahkamah mensabitkan isteri tersebut nusyuz berdasarkan kepada Seksyen 60 (2) Enakmen No.2 Tahun 2003 yang memperuntukkan seperti berikut:
“Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya”.
- Hilang hak penggiliran isteri seandainya suami berpoligami sehingga isteri tersebut kembali taat.
CONTOH KES BERKAITAN NUSYUZ DI MAHKAMAH SYARIAH
Zaidi Bin Sapuri lwn Zurada Binti Mohammad [2013] 2 ShLR
Plaintif di dalam kes ini merupakan Zaidi Bin Sapuri manakala Defendan di dalam kes ini ialah Zurada Binti Mohammad. Di dalam kes ini, Plaintif dan Defendan telah bernikah pada Januari 2002 di Marang Terengganu Darul Iman. Pernikahan tersebut telah berwalikan bapa kandung kepada Defendan itu sendiri. Mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata dalam tempoh perkahwinan. Pada 15 Januari 2009, pihak Plaintif telah menfailkan tuntutan pensabitan nusyuz kepada Defendan di sebuah Mahkamah. Defendan telah memasukkan Pembelaannya dengan mengakui segala fakta yang terdapat di dalam Penyata Tuntutan Plaintif. Defendan juga mengakui terlibat dalam hubungan sulit dengan Mohd Khairil bin Mohd Sazali, seorang lelaki yang bukan suaminya. Walaupun Plaintif telah menasihatinya untuk mengakhiri hubungan sulit tersebut dengan pihak ketiga, Defendan enggan memutuskannya dan terus melibatkan diri dalam perhubungan dengan lelaki tersebut.
Di dalam kes ini Mahkamah memutuskan bahawa Defendan secara sah dianggap sebagai seorang isteri yang menunjukkan kelakuan nusyuz terhadap Plaintif apabila meninggalkan tempat tinggal kelamin tanpa mendapatkan keizinan daripada Plaintif sejak 17 April 2007. Selain itu, Mahkamah juga menghukum gugur hak nafkah Defendan terhadap Plaintif bermula dari 17 April 2007 sehingga 15 Oktober 2009. Pada masa yang sama, Mahkamah memerintahkan Defendan untuk kembali patuh kepada Plaintif. Hak nafkah Defendan akan terus gugur sehingga dia mematuhi perintah Mahkamah tersebut atau jika terdapat keadaan lain yang membatalkan hak nafkah tersebut, sepanjang tempoh yang ditetapkan.
YAM Tengku Muhammad Fakhry Ibn Sultan Ismail Petra lwn Manohara Odelia Pinot [2010] 1 ShLR 30.
Plaintif bagi kes ini merupakan Tengku Muhammad Fakhry Ibn Sultan Ismail Petra manakala Defendan bagi kes ini ialah Manohara Odelia Pinot. Kes ini merupakan tuntutan (taat balik) yang dibuat oleh pihak Plaintif ke atas pihak Defendan. Plaintif dan Defendan merupakan sepasang suami isteri yang sah mengikut Hukum Syarak. Mereka telah bernikah pada 26 Ogos 2008 bersamaan 25 Sya‘ban 1429H di Istana Mahkota Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan dan tidak dikurniakan sebarang zuriat. Sejak berkahwin sehingga bulan Mei 2009, Plaintif dan Defendan telah hidup bahagia sama seperti pasangan lain. Namun, pada 31 Mei 2009, rumahtangga pasangan ini mula bergolak apabila Defendan telah melarikan diri daripada Plaintif semasa mereka berdua berada di Singapura. Pasangan ini ke Singapura atas alasan ingin melawat serta menziarahi ayahanda baginda yang gering di sebuah hospital di sana.
Pada masa tersebut, Defendan secara tiba-tiba melarikan diri dari Plaintif dengan kembali ke Indonesia tanpa sebarang pengetahuan atau izin, walaupun pada ketika itu Plaintif telah memberikan layanan yang baik kepada Defendan dan memenuhi tanggungjawabnya tanpa sebarang cacat cela. Tiada sebarang tindakan penderaan yang berlaku. Selain itu, Plaintif juga didakwa membuat beberapa kenyataan yang bersifat fitnah ke atas Defendan melalui media massa Indonesia.
Pada 26 Jun 2009, Plaintif telah mengadakan sidang media dan memerintahkan agar Defendan kembali taat kepadanya, menjalankan tugas sebagai isteri, serta melaksanakan peranan sebagai Cik Puan Temenggong Kelantan sebelum 2 Julai 2009. Namun, Defendan tidak mematuhi perintah tersebut. Oleh itu, Plaintif melalui peguamnya, telah pada 5 Julai 2009 mengemukakan tuntutan taat balik di Mahkamah terhadap Defendan. Tuntutan ini adalah berdasarkan alasan bahawa Defendan telah pulang ke Indonesia tanpa pengetahuan dan izin Plaintif, meskipun Plaintif telah memberikan layanan yang baik, melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna, dan tidak ada sebarang penderaan yang berlaku.
Pada peringkat akhir perbicaraan serta setelah mendengar dan meneliti segala keterangan, saksi dan dokumen serta penggulungan hujah daripada Plaintif, Mahkamah telah memutuskan bahawa Mahkamah berpuas dan mensabitkan Defendan telah nusyuz dan Defendan hendaklah kembali taat kepada Plaintif dalam masa 14 hari. Sekiranya Defendan gagal untuk mematuhi perintah taat balik ini, maka Mahkamah memutuskan bahawa Defendan adalah seorang yang nusyuz dan hak Defendan terhadap nafkah adalah gugur.
KESIMPULAN
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kelakuan nusyuz tidak boleh semata-mata disandarkan kepada dakwaan si suami atau isteri tetapi memerlukan kepada pembuktian iaitu pengemukaan keterangan termasuk saksi dan dokumen kepada pihak Mahkamah. Hanya Mahkamah Syariah yang merupakan pihak yang berautoriti untuk mensabitkan dakwaan nusyuz. Hukum Syarak amat menitik berat pembuktian dalam mensabitkan nusyuz kerana sabitan nusyuz tersebut memberi kesan jangka panjang yang mendalam terhadap pasangan terbabit, perkahwinan mereka serta keluarga masing-masing.
Walau apapun kedudukan undang-undang berkenaan nusyuz, adalah lebih wajar sekiranya pihak-pihak memahami dahulu peranan & tanggungjawab masing-masing dan berikhtiar untuk memperbaiki diri dan keadaan serta mencari jalan perdamaian demi kemaslahatan rumah tangga itu sendiri.
Disediakan oleh,
Misyail Binti Othman
Principal Partner
Aiman Izzuddin Bin Jamaluddin
Paralegal