PENGELUARAN WANG DARI KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP) BAGI PEMBELIAN RUMAH
Umum mengetahui bahawa pembelian rumah memerlukan pembeli untuk mengeluarkan perbelanjaan yang besar lebih-lebih lagi harga rumah yang semakin meningkat naik dewasa ini. Dalam hubungan ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran Akaun 2 dilakukan oleh Ahli KWSP (“Ahli”) bagi tujuan membiayai pembelian rumah.
Syarat Kelayakan Permohonan
- Pemohon adalah Ahli KWSP.
- Pemohon belum mencapai umur 55 tahun semasa tarikh permohonan.
- Jumlah simpanan Pemohon dalam Akaun 2 adalah sekurang-kurangnya sebanyak RM500.
- Tujuan pengeluaran adalah untuk pembelian rumah kediaman.
(Rumah Kediaman adalah rumah jenis banglo/ teres / berkembar / apartment / kondominium / apartment studio / apartment servis / townhouse/ SOHO atau rumah kedai dengan unit kediaman di Malaysia)
- Pembelian rumah hendaklah sama ada pembiayaan sepenuhnya oleh Ahli secara tunai atau melalui pinjaman perumahan yang diluluskan oleh pemberi pinjaman yang dibenarkan seperti institusi kewangan berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) atau Akta Kewangan Islam 2013 (Akta 759), majikan Ahli, Koperasi / Syarikat Kerjasama berlesen yang diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia atau pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP.
- Perjanjian Jual Beli hendaklah tidak melebihi tiga (3) tahun daripada tarikh permohonan pengeluaran KWSP.
Ahli Tidak Layak Memohon
- Ahli membeli tanah atau lot tapak rumah sahaja.
- Ahli membaiki, mengubahsuai atau membuat penambahan kepada rumah sedia ada.
- Ahli mengambil pinjaman berbentuk overdraf.
- Pemilikan harta bukan melalui perjanjian jual beli.
- Pembelian rumah ketiga oleh Ahli.
- Pembelian rumah di luar negara.
Kategori Pengeluaran
Pengeluaran KWSP bagi pembelian rumah terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu –
- Pengeluaran individu oleh Ahli; atau
- Pengeluaran bersama pasangan/ahli keluarga Ahli.
Cara Permohonan & Dokumen Berkaitan
Ahli KWSP perlu ke pejabat KWSP untuk membuat urusan pengecaman dan pengesahan cap jari pemilik akaun KWSP. Permohonan pengeluaran wang perlu disertakan bersama dokumen-dokumen seperti berikut:-
- Borang Permohonan Pengeluaran iaitu Borang Pengeluaran KWSP 9C (AHL) (D5).
- Kad Pengenalan Ahli (Mykad).
- Dokumen pengenalan diri seperti pasport (sekiranya bukan pemegang Mykad).
- Perjanjian Jual Beli (tarikh perjanjian hendaklah tidak melebihi tiga (3) tahun).
- Bukti Hubungan / Pertalian seperti Sijil Kelahiran atau Sijil Perkahwinan (pembelian dengan pasangan / ahli keluarga seperti ibu bapa atau adik-beradik).
- Maklumat akaun bank Ahli (salinan buku akaun bank / salinan penyata akaun).
- Dokumen sokongan seperti di bawah & apa-apa dokumen tambahan yang diperlukan oleh pihak KWSP –
(a) Pembelian Melalui Pinjaman Perumahan
(i) Surat kelulusan pinjaman (sekiranya tarikh surat kelulusan melebihi satu (1) tahun, permohonan perlu disertakan dengan Perjanjian Pinjaman Perumahan/‘Deed of Assignment’/Borang Gadaian 16A/ Geran Hakmilik yang telah didaftarkan atas nama Ahli dan dicagarkan kepada pemberi pinjaman.
(b) Pembelian Melalui Pembiayaan Sendiri
(i) Bukti pembayaran yang tidak kurang 20% daripada harga rumah.
(ii) Surat pengesahan Pemaju berkenaan pembelian secara tunai yang mempunyai butiran hartanah.
(c) Sijil Arkitek / surat permintaan bayaran yang menunjukkan peringkat pembinaan adalah tidak kurang daripada 20% bagi rumah yang dalam pembinaan atau Sijil Layak Menduduki bagi rumah yang telah siap dibina.
Nota: Sekiranya pengeluaran melibatkan pembelian rumah kedua, Ahli perlu mengemukakan antara lain Perjanjian Jual Beli antara Ahli dan pemilik terbaharu/ Borang Pindahmilik 14A / Geran Hakmilik ke atas pemilik baharu atau apa-apa dokumen yang berkaitan sebagai bukti pelupusan rumah pertama.
Anda Berminat?
Sekiranya anda berminat untuk membuat pengeluaran KWSP bagi pembelian rumah, anda diingatkan untuk menyediakan dokumen yang lengkap dan teratur sebelum menghantar permohonan ke mana-mana cawangan KWSP untuk melancarkan proses permohonan tersebut. Sila rujuk senarai semak permohonan yang boleh diperolehi daripada laman web KWSP / di mana-mana cawangan KWSP berdekatan anda.
Walau bagaimanapun, Ahli KWSP adalah diingatkan untuk mematuhi Seksyen 58A Akta KWSP 1991 yang mengkehendaki Ahli untuk mengembalikan semula bayaran pengeluaran dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh pengeluaran sekiranya bayaran tersebut tidak digunakan untuk pembelian rumah / tujuan pengeluaran.
Sumber: Laman Web KWSP
Disediakan oleh,
Nur Hidayah Kamaruzaman
TETUAN MISYAIL OTHMAN & CO