Pertunangan Di Bawah Undang-undang Syariah di Malaysia

(Sumber: @hazim.akmal di Instagram, dikongsikan di dalam artikel ini dengan izin)

          Pertunangan adalah ikatan perjanjian yang dibuat antara seorang lelaki dan seorang perempuan untuk berkahwin dan menjadi suami isteri.  Dalam Islam, pertunangan terjadi apabila seorang lelaki melamar seorang perempuan untuk berkahwin dengannya.  Lamaran tersebut boleh dibuat oleh lelaki tersebut sendiri atau melalui orang tengah.  Lamaran juga boleh dibuat kepada bapa atau wali mujbir perempuan tersebut.  Apabila lamaran lelaki itu diterima, maka ikatan perjanjian untuk berkahwin mengikat pasangan lelaki dan perempuan tersebut.

         Antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak lelaki sebelum melamar seorang perempuan adalah memastikan tiada halangan untuk berkahwin dengan perempuan tersebut i.e. perempuan tersebut bukan mahram, bukan dalam tempoh iddah, dan bukan tunangan orang lain.  Pihak lelaki juga dianjurkan untuk memilih pasangan sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah S.A dalam hadis Riwayat Imam Bukhari No. 4700-

“Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, daripada Nabi S.A., baginda bersabda: “Wanita itu dinikahi kerana empat hal, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya.  Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung.”

Pertunangan Adalah Kontrak

      Ikatan pertunangan secara dasarnya adalah sebuah kontrak yang mengikat pihak-pihak.  Setiap pihak hendaklah menghormati ikatan tersebut dan melaksanakan kontrak yang dipersetujui iaitu untuk berkahwin dengan satu sama lain.  Tuntutan untuk melaksanakan tanggungjawab berdasarkan perjanjian dan kontrak ini sememangnya termaktub dalam kitab suci Al-Quran, di mana Allah berfirman-

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (Surah Al-Maidah:1)

 

(Sumber: @hazim.akmal di Instagram, dikongsikan di dalam artikel ini dengan izin)

        Walau bagaimanapun, berlaku situasi di mana salah seorang memutuskan pertunangan tanpa sebab yang sah atau munasabah dan menyebabkan kerugian kepada pihak satu lagi.  Dalam hubungan ini, sepertimana kontrak biasa, sekiranya salah satu pihak memungkiri tanggungjawabnya di bawah kontrak, maka pihak satu lagi berhak untuk mendapat ganti rugi yang dialaminya akibat kemungkiran tersebut.

Pertunangan di bawah Undang-undang Syariah di Malaysia

Peruntukan berkenaan pertunangan ada diperuntukkan dalam undang-undang syariah di Malaysia. Misalnya, Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) memperuntukkan-

“Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.”

            Peruntukan yang sama juga ada diperuntukkan dalam undang-undang keluarga Islam negeri-negeri lain di Malaysia seperti Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Kelantan) 2002, dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008.

            Jika dirujuk kepada peruntukan berkenaan pertunangan dalam undang-undang keluarga Islam di atas, adalah didapati bahawa pertuntukan tersebut adalah berkenaan situasi di mana salah satu pihak memungkiri janji untuk berkahwin dengan pihak satu lagi tanpa sebab yang sah.  Dalam hal ini, pihak satu lagi tersebut boleh membuat tuntutan terhadap pihak yang mungkir janji bagi kerugian yang dialami oleh sebab kemungkiran tersebut.  Tuntutan ini boleh dibuat di Mahkamah Syariah yang berkuat kuasa.

            Tuntutan yang boleh dibuat terhadap pihak yang mungkir janji adalah antaranya untuk memulangkan pemberian pertunangan seperti cincin atau barangan kemas.  Selain itu, undang-undang juga membenarkan tuntutan untuk membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati untuk persediaan perkahwinan.  Ini adalah termasuk tetapi tidak terhad kepadakos tempahan baju pengantin, tempahan dewan dan pelamin, dan kos membaiki rumah bagi persediaan perkahwinan.

          Dalam kes Aisyah v Jamaluddin (1978), pihak lelaki telah memutuskan pertunangan dengan pihak perempuan.  Pihak perempuan kemudian telah membuat tuntuan bayaran sebanyak RM25.00 sebagai maskahwin, RM800.00 untuk perbelanjaan kahwin yang dikeluarkan dan menuntut untuk menyimpan cincin yang diberikan oleh pihak lelaki semasa pertunangan.  Kadi Besar Kedah dalam kes ini memerintahkan pihak lelaki membayar pihak perempuan sepertimana tuntutan dan pihak perempuan diberikan hak untuk menyimpan cincin yang diberikan.  Sebagai tambahan, Kadi Besar Kedah jua memerintahkan pihak lelaki untuk membayar kepada pihak perempuan kos baju kahwin dan juga RM400.00 sebagai kos yang dikeluarkan oleh pihak perempuan untuk membaiki rumah sebagai persediaan perkahwinan. Dalam kes Salbiah Othman v Haji Ahmad Abdul Ghani (2002), pihak lelaki dalam kes ini juga telah memutuskan pertunangan dan mungkir janji untuk berkahwin dengan pihak perempuan.  Pihak perempuan telah menuntut ganti rugi keaiban sebanyak RM 200,000.00 akibat putus tunang tersebut.  Selain itu, pihak perempuan jua menuntut ganti rugi bagi perbelanjaan yang dikeluarkan bagi persiapan pertunangan dan perkahwinan sebanyak RM 9,677.00.  Mahkamah Syariah dalam kes ini menolak tuntutan ganti rugi keaiban dan membenarkan tuntutan pihak perempuan bagi sebahagian tuntutan untuk persiapan pertunangan dan perkahwinan sebanyak RM 6,277.10 iaitu kos baju pengantin, tempahan persalinan pengantin, tempahan langsir dan cadar, deposit khemah dan katil, serta kos jemputan yang merangkumi barangan runcit dan barangan basah.

        Walau bagaimanapun, dalam kes Hussin v Moh (1980), Mahkamah Kadi Jajahan Pasir Mas memerintahkan pihak lelaki untuk membayar sebanyak RM350.40 sebagai ganti rugi kepada pihak perempuan untuk kos perbelanjaan perkahwinan yang dikeluarkan oleh pihak perempuan.  Akan tetapi, semasa rayuan, Mahkamah memutuskan bahawa perjanjian untuk berkahwin tersebut dimungkiri oleh pihak perempuan dan bukanlah pihak lelaki.  Oleh itu, pihak perempuan tidak layak mendapat ganti rugi yang dituntut.  Berdasarkan kes ini, ganti rugi bagi putus pertunangan hanya layak diberikan kepada pihak yang dimungkir janji.

Kesimpulan

       Pertunangan adalah suatu ikatan perjanjian yang hendaklah dihormati dan dijaga oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan.  Walau bagaimanapun, dalam situasi yang tidak dapat dielakkan, adakala pertunangan yang dibina terputus di tengah jalan.  Sekiranya pertunangan yang putus tersebut adalah disebabkan oleh salah seorang yang mungkir janji tanpa alasan yang sah, maka pihak satu lagi boleh membuat tuntutan terhadap pihak yang mungkir tersebut di Mahkamah Syariah yang berkuat kuasa.

Disediakan oleh,
Nur Syaheerah
Tetuan Misyail Othman & Co.

Share:

More Posts

DATIN SERI ROSMAH BT MANSOR V PUBLIC PROSECUTER [2021] MLJU 2394 COURT OF APPEAL (PUTRAJAYA) Stay Proceedings in Criminal Cases Facts of the case 1.   

NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7

  NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7 Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam Pengisytiharan Keluar Agama Islam Fakta kes 1.    Plaintif iaitu NBR telah dilahirkan pada

Send Us A Message