Proses Jamin

Lanjutan daripada artikel sebelum ini, Jenayah Sivil dan Jenayah Syariah adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah yang berbeza.  Oleh itu, prosedur jaminan juga adalah berbeza menurut amalan Mahkamah masing-masing.

 

1.  Mahkamah Jenayah Sivil

 

Setelah perintah jaminan diberikan dan individu bersedia untuk menjadi penjamin, proses seterusnya adalah untuk mendepositkan jumlah jaminan ke Mahkamah.  Pada tahun 2020, Mahkamah telah memperkenalkan aplikasi e-Jamin.  Aplikasi ini membolehkan penjamin membuat bayaran jaminan menggunakan transaksi atas talian tanpa perlu pengeluaran tunai di Bank.

 

Pelancaran aplikasi ini adalah merupakan satu penambahbaikan pentadbiran Mahkamah berbanding kaedah konvensional di mana penjamin perlu mengeluarkan tunai dari Bank.  Hal ini mengakibatkan kesusahan kepada penjamin, khususnya bagi Mahkamah yang terletak di luar bandar dan jauh dari Bank serta Mahkamah di negeri Johor dan Kedah yang beroperasi pada hari Ahad.  Oleh yang demikian, penambahbaikan ini memudahkan urusan bayaran jaminan dengan hanya menggunakan transaksi atas talian.

 

Kaedah bayaran melalui e-Jamin adalah seperti berikut:

 

  1. Selepas perintah jaminan dikeluarkan, penjamin perlu bersedia dengan nama penuh OKT, no. kad pengenalan OKT dan hadir ke kaunter jamin Mahkamah (rujuk jurubahasa, polis Mahkamah atau papan kenyataan Mahkamah berkenaan lokasi kaunter).

 

  1. Dapatkan pengesahan no kes dan amaun jaminan daripada pegawai Mahkamah yang bertugas (proses ini mungkin mengambil masa bergantung kepada situasi dan keadaan pada ketika itu).

 

  1. Setelah mendapat pengesahan maklumat, layari laman sesawang e-jamin.my melalui carian google. Penjamin tidak perlu mendaftar akaun dengan e-Jamin, hanya perlu mengisi maklumat berkaitan.

 

  1. Di halaman pertama, isi maklumat penjamin dan OKT di bahagian kanan laman tersebut. Kemudian tekan “Hantar”. (Pastikan alamat emel adalah tepat, resit rasmi akan dihantar melalui emel).

 

  1. Di halaman kedua, isi maklumat No. kes dan amaun jaminan (yang telah disahkan oleh pegawai Mahkamah) dan tekan “Hantar”.

 

  1. Di halaman seterusnya, isikan maklumat akaun penjamin. (Bayaran perlu dibuat dari akaun penjamin sendiri dan maklumat akaun yang dimasukkan adalah merupakan nombor akaun yang digunakan untuk membayar wang jaminan.  Ini kerana wang jaminan hanya boleh dipulangkan (jika ada) ke akaun penjamin yang sama).

 

  1. Seterusnya, buat bayaran secara atas talian melalui perbankan atas talian penjamin.

 

  1. Resit bayaran rasmi daripada e-Jamin akan dihantar ke alamat emel penjamin yang telah diisi. Kemukakan resit tersebut kepada pegawai Mahkamah di kaunter bagi tujuan pengesahan.

 

  1. OKT akan dibawa oleh pihak polis untuk berjumpa dengan pegawai Mahkamah bagi tujuan taklimat jaminan, bersama-sama dengan penjamin.

 

  1. Setelah selesai taklimat, OKT akan dibenarkan pulang dengan penjamin dan proses jaminan selesai.

 

Bayaran melalui e-Jamin adalah selamat dan dikawal selia oleh FPX (Payments Malaysia Network Sdn Bhd), anak syarikat kepada Bank Negara Malaysia.

 

2.  Mahkamah Jenayah Syariah

 

Tidak ada perbezaan ketara dalam pengurusan jamin dalam Mahkamah Syariah.  Setelah perintah diberikan, Penjamin yang berkelayakan perlu membuat bayaran wang jaminan kepada Mahkamah.  Setakat ini tiada aplikasi bagi membuat bayaran secara atas talian, justeru bayaran adalah secara tunai.

 

Penjamin perlu mengesahkan maklumat berkaitan di kaunter jamin Mahkamah sebelum membuat bayaran.  Setelah bayaran dibuat, OKT dan penjamin perlu melalui satu sesi taklimat berkenaan syarat-syarat jaminan dari pegawai Mahkamah.  Setelah selesai, OKT akan dibenarkan pulang bersama penjamin.

 

3.  Tanggungjawab dan Hak Penjamin

 

Urusan penjamin belum selesai walaupun OKT telah dibebaskan. Penjamin adalah bertanggungjawab bagi memastikan kehadiran OKT dalam semua prosiding Mahkamah dan mematuhi syarat-syarat jaminan sekiranya ada.  Tindak tanduk OKT sepanjang tempoh Jaminan adalah dipertanggungkan ke atas penjamin.

 

Dalam kes Datuk Haji Harun bin Haji Idris v PP[i], Mahkamah Persekutuan memberi amaran kepada penjamin mengenai tanggungjawab penjamin-

 

“Orang awam sepatutnya sedar bahawa menjadi penjamin bagi seseorang adalah tanggungjawab yang besar dan tidak sepatutnya dipandang remeh. Sekiranya penjamin gagal memastikan tertuduh hadir ke Mahkamah, penjamin seharusnya sedar bahawa kesan yang serius akan dikenakan ke atasnya.”

 

Sekiranya penjamin gagal memastikan kehadiran OKT atau pematuhan OKT terhadap syarat-syarat ditetapkan, jaminan mungkin ditarik balik dan wang jaminan boleh dlilucut hak kepada Kerajaan.  Namun demikian, penjamin akan diberi peluang terlebih dahulu bagi menjelaskan sebab pelanggaran jamin tersebut dan adalah budi bicara Mahkamah untuk menerimanya atau tidak.

 

Sekiranya penjamin berpendapat bahawa jaminan ini akan memudaratkan dirinya sendiri, penjamin boleh pada bila-bila masa memohon kepada Mahkamah untuk membatalkan jaminan. Pembatalan tersebut serta-merta melepaskan penjamin daripada tanggungjawab dan liabiliti terhadap OKT.  OKT kemudiannya akan ditahan semula dan dikehendaki untuk mengemukakan penjamin yang baru.

 

Sehubungan dengan itu, menjadi penjamin adalah perkara yang wajar bagi memastikan hak pihak-pihak terlibat sentiasa terjaga. Namun ia datang dengan tanggungjawab.  Oleh itu, sama ada menjadi penjamin atau tidak bukanlah persoalan undang-undang semata-mata, tetapi ia melibatkan soal pertimbangan, tujuan dan niat individu itu sendiri.

 

Peguam anda,

Misyail Othman

Ezryl Azlyzan (Pelatih Dalam Kamar)

……….

[i] [1978] 1 MLJ 240

Share:

More Posts

Send Us A Message