SAR lwn ARM & YANG LAIN [2021] SLRHU 10

 

SAR lwn ARM & YANG LAIN [2021] SLRHU 10

Mahkamah Tinggi Syariah, Kuantan

Pengesahan Hibah

Fakta Kes

1.    Plaintif merupakan seorang anak kandung kepada si mati yang telah meninggal dunia pada 12 Mei 2018 iaitu (“Si mati”).  Defendan Pertama adalah suami si mati dan Defendan Kedua hingga Defedan Keenam adalah anak kandung kepada si mati.

2.    Plaintif telah mendakwa bahawa si mati pada 13 September 2017 telah menghibahkan harta iaitu sebidang tanah dengan no Hakmilik PM1131, No Lot 3315, Mukim Pontian, Daerah Rompin, Negeri Pahang berkeluasan 1.482 hektar kepada Plaintif, Defendan Pertama dan Defendan Kelima.

3.    Plaintif telah memohon kepada Mahkamah untuk mengesahkan suatu pemberian atau hibah oleh Si mati kepada penerima hibah iaitu Plaintif, Defendan pertama, Defendan Ketiga dan Defendan Kelima.

4.    Pemberian atau hibah ini telah dibuat melalui suatu dokumen yang dinamakan sebagai “Surat Pemberian Hidup.”  dan disaksikan oleh dua orang saksi.

Isu 1.    Apakah rukun-rukun yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu hibah itu dapat disahkan oleh Mahkamah Syariah?
Alasan Kehakiman 1.   Rukun pertama: Pemberi Hibah (al-Wahib) dan Penerima Hibah (al-Mawhab Lahu).

(a)   Rukun yang pertama ini menetapkan supaya pemberi hibah mestilah mempunyai milikan yang penuh terhadap harta yang dihibahkannya.  Ini dapat dirujuk di dalam kitab al-Iqna’ Fi Hal Akfaz Abi Suja’:

“Maka disyaratkan kepada orang yang memberi hibah itu mestilah memiliki harta tersebut, dan mempunyai pegangan yang mutlak terhadap hartanya, maka tidak sah memberi harta yang hilang”

(b)   Di dalam kes ini, Mahkamah mendapati bahawa Si mati pemilik mutlak harta yang ingin dihibahkan.   Oleh itu dari segi status pemilikan, si mati memenuhi syarat penghibah. Antara syarat-syarat lain ke atas pemberi hibah iaitu bebas memegang harta tersebut dan merujuk di dalam kes ini adalah jelas bahawa si mati memiliki syarat tersebut yang mana ketika hibah dibuat si mati adalah seorang dewasa dan berkelayakan

(c)   Manakala syarat ke atas penerima hibah juga mestilah seorang mukallaf dan berkeupayaan untuk menguruskan apa yang dihibahkan selari dengan nukilan di dalam kitab Al-Iqna’ Fi Hal Al-Alfaz Abi Suja’, jilid 2, hlm 17:

“Dan disyaratkan juga kepada penerima hibah hendaklah orang itu berkeahlian untuk mengurus dan memiliki harta yang dihibahkan kepadanya seorang yang mukallaf, dan orang yang tidak mukallaf walinya akan menerima bagi pihaknya, maka tidak sah hibah kepada anak yang berada di dalam kandungan.”

(d)   Penerima hibah adalah terdiri daripada suami dan anak-anak si mati.  Justeru, berdasarkan keterangan Plaintif, saksi-saksi serta keterangan dokumentar Mahkamah percaya kesemua penerima hibah adalah mukallaf dan berkelayakan memiliki harta semasa hibah tersebut dibuat.

2.    Rukun Kedua: Akad Hibah melalui Ijab dan Kabul

(a)    Mahkamah telah merujuk kepada k karangan Wahbah al Zuhaily dalam kitabnya Fiqh Islami wa Adillatuhu jilid 5 hlm 8 Cetakan Ketiga 1989, Dar Fikr Beirut, Lubnan:

Bermaksud: “Segala perkara yang dituntut dalam ijab berupa perkataan atau perbuatan seperti lafaz hadiah, hibah, pemberian dan seumpama dengannya Ijab sama ada secara terus terang seperti kata pemberi, ‘Aku berikan barang ini kepadamu’, atau ijab secara tidak terus terang seperti kata pemberi, ‘Aku telah menyerahkan hakmilik kepadamu’, ‘Aku telah jadikan barang ini untukmu’ atau ‘Dia untukmu’, atau ‘Aku telah berikannya’, ‘Aku telah serah untuknya’, atau ‘Aku hadiahkan untuknya’, atau ‘Aku berikan makanan ini untuknya’ atau ‘Aku bawa kamu di atas tunggang ini’ dan berniat barang itu sebagai pemberian. Ini kerana menyerahkan barang pemberian atau menjadikan barang pemberian itu untuk si penerima tanpa perlu mengganti adalah makna sebenar kepada hibah dan kerana lafaz-lafaz yang lain mengikut keadaan ‘uruf manusia’ atau penggunaan mereka sudah cukup membawa makna memindah hakmilik.”

(b)    Si mati telah mengakadkan hibah kepada Plaintif, Defendan Pertama, Defendan Ketiga dan Defendan Kelima secara lisan yang dibaca berdasarkan satu dokumen dinamakan “Surat Pemberian Hidup (Hibah)” pada 13 September 2017 di perkarangan Mahkamah Syariah Kuantan.

3.    Adanya Barang/Harta yang Dihibahkan itu (Al-Mawhub)

(a) Dalam kes ini, Mahkamah turut berpuas hati bahawa harta yang dihibahkan adalah memenuhi ciri-ciri yang digariskan oleh syara’ iaitu wujud, bernilai dan merupakan milik pemberi hibah

(b) Mahkamah dapati adanya unsur-unsur harta yang dihibahkan oleh si mati telah dikuasai oleh penerima-penerima hibah seperti mengusahakan tanah ini dengan telah pergi ke tanah tersebut beberapa kali dan menguruskan pembelian baja.

 

 

Keputusan

1.    Mahkamah mengesahkan hibah si mati pada 13 September 2017  berkeluasan 1.482 hektar adalah hibah yang sah.

2.    Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan kes ini boleh memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah ini.

 

Kesimpulan

1.    Mahkamah perlu memastikan bahawa si mati, sebagai pemberi hibah, telah memenuhi syarat milikan penuh terhadap tanah yang dihibah. Dalam kes ini, si mati memenuhi syarat ini kerana memiliki hak milik mutlak terhadap tanah yang dihibahkan. Selain itu, Mahkamah juga perlu memastikan bahawa penerima hibah adalah mukallaf dan berkelayakan untuk mengurus harta tersebut. Penerima hibah, dalam kes ini juga iaitu suami dan anak-anak si mati, diakui sebagai mukallaf dan berkelayakan menguruskan harta..

2.    Kedua, Mahkamah juga perlu meneliti proses akad hibah melalui ijab dan kabul. Dalam kes ini, Mahkamah merujuk kepada dokumen “Surat Pemberian Hidup” dan mendapati bahawa si mati secara lisan telah mengakadkan hibah kepada penerima-penerima hibah pada 13 September 2017 di Mahkamah Syariah Kuantan.

3.    Ketiga, Mahkamah memastikan bahawa barang atau harta yang dihibahkan memenuhi ciri-ciri syariah, iaitu wujud, bernilai, dan merupakan milik pemberi hibah.

 

Share:

More Posts

Send Us A Message