Adakah anda berhasrat untuk menjual hartanah anda tetapi tidak pasti boleh atau tidak memandangkan anda masih mempunyai hutang dengan pihak Bank? Perlukah anda menyelesaikan dahulu hutang tersebut sebelum menjual hartanah itu?
Sebenarnya, tidak langsung menjadi masalah sekiranya anda berhasrat untuk menjual hartanah anda meskipun masih mempunyai hutang dengan pihak Bank atau Geran Asal hartanah anda masih digadaikan kepada Bank. Ini kerana, terdapat satu proses yang disebut sebagai “Tebus Hutang” hartanah yang mana ia merupakan proses yang perlu dilakukan pada peringkat awal urusan jual beli.
Apakah yang dimaksudkan dengan Tebus Hutang?
Tebus Hutang ialah suatu proses di mana hutang semasa dan/atau gadaian semasa akan diselesaikan melalui pembayaran berdasarkan jumlah yang dinyatakan dalam Penyata Baki Hutang yang dikeluarkan oleh Bank Pemegang Gadaian (“Bank Penjual”) dan jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah harga jualan hartanah tersebut.
Kebiasaannya, selaku Penjual, anda tidak perlu melantik peguam berasingan untuk menguruskan proses Tebus Hutang ini. Proses ini boleh diuruskan oleh Peguam Jual Beli yang sama yang pernah dilantik untuk menguruskan pembelian hartanah, di mana Peguam ini dengan kebenaran anda, akan memohon Penyata Baki Hutang dari Bank Penjual beserta akujanji pemulangan dokumen – dokumen asal gadaian dan geran asal yang masih berada dalam simpanannya sebelum ia boleh diserahkan kepada Bank Pembiaya Pembeli atau Pembeli sendiri (sekiranya Pembeli membeli hartanah secara tunai) untuk tujuan pembayaran/penebusan.
Jumlah yang dinyatakan di dalam Penyata Baki Hutang kebiasaannya telah mengambil kira keseluruhan jumlah baki keseluruhan hutang beserta faedah dan caj-caj lain[1] yang dibenarkan dan tertakluk kepada Perjanjian Pinjaman asal anda. Jadi, keberangkalian jumlah yang dinyatakan dalam Penyata Baki Hutang akan menjadi sedikit berbeza berbanding dengan jumlah keseluruhan baki pinjaman yang anda ketahui.
Hanya selepas penyelesaian/pembayaran penuh dibuat oleh Pembeli atau bank Pembeli, pihak bank anda akan memulangkan dokumen – dokumen asal gadaian beserta geran asal kepada pihak Peguam bagi urusan seterusnya yang dikenali sebagai “Pelepasan Gadaian”.
Berapakah tempoh masa yang diambil untuk proses Tebus Hutang ini selesai? Adakah proses Tebus Hutang ini termasuk dalam tempoh penyelesaian Perjanjian Jual Beli yang pernah ditandatangani?
Secara praktikalnya, tiada satu tempoh yang ditetapkan bagi proses Tebus Hutang ini kerana ia bergantung kepada masa yang diambil oleh pihak bank anda untuk mengeluarkan Penyata Baki Hutang. Seterusnya, ia juga berkait dengan masa yang diambil oleh Peguam dan bank Pembeli untuk menyelesaikan bayaran Penyata Baki Hutang tersebut kepada bank anda. Selain itu, masa yang diambil untuk pemulangan dokumen – dokumen asal gadaian serta geran asal juga memberi kesan kepada keseluruhan tempoh masa untuk menyelesaikan proses Tebus Hutang ini. Tebus Hutang ini juga sudah semestinya dikira sebagai sebahagian daripada proses jual beli dan termasuk dalam tempoh penyelesaian Perjanjian Jual Beli memandangkan ia telah menjadi syarat dan kewajipan anda selaku Penjual untuk melepaskan dan menjual hartanah anda dalam keadaan ianya bebas dari sebarang beban dan tanggungan.
Tahukah anda, selain Proses Tebus Hutang ini wujud dalam urusan jual beli hartanah, proses yang sama juga boleh didapati dalam Pembiayaan Semula hartanah dan sebarang kes-kes yang melibatkan pelepasan hutang semasa hartanah anda. Perlukan info dan maklumat lanjut? Hubungi sahaja kami bagi membolehkan kami membantu anda seterusnya!
Disediakan oleh,
Nur Hafizah Binti Abdullah
Legal Associates
[1] (7 Masalah Proses Tebus Hutang, 2020) retrived from https://www.propertyguru.com.my/bm/panduan-hartanah/7-masalah-proses-tebus-hutang-39527