Tips Jika Berlaku Kemalangan

Tahukah anda bahawa bagi kes kemalangan yang mengakibatkan kematian, di bawah Seksyen 7  Akta Undang-undang Sivil 1956 (Pindaan 1987) ,waris berhak menuntut pampasan kedukacitaan  sebanyak RM30,000.00 dan kehilangan sumbangan pendapatan serta lain-lain tuntutan khas seperti kos pengkebumian dan pampasan gantirugi lain termasuk kos kehilangan kenderaan “total loss”.

PANDUAN RINGKAS SEKIRANYA BERLAKU KEMALANGAN.

    A. TINDAKAN SEGERA !

  1. Bertenang.
  2. Hidupkan lampu kecemasan.
  3. Ambil gambar sebagai bahan bukti.
  4. Ambil gambar kejadian kemalangan dan kedudukan kenderaan-kenderaan yang terlibat.
  5. Alih kenderaan ke tempat yang selamat dan tidak mengganggu lalu-lintas.
  6. Jika anda cedera teruk, minta bantuan orang sekeliling untuk membantu anda mengambil gambar dan bagi menghubungi pihak-pihak yang berkenaan untuk bantuan lanjut.
  7. Ambil nombor telefon orang yang membantu anda. (Mereka boleh menjadi saksi bebas untuk kes tuntutan anda).
  8. Segera ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di Bahagian Kecemasan. (Isu lewat mendapatkan rawatan akan mencacatkan kes anda).
  9. Maklumkan majikan anda untuk proses cuti sakit dan proses tuntutan Perkeso sekiranya melibatkan kecederaan.

 

     B.  JANGAN !

  1. Jangan Panik!
  2. Jangan mengaku bersalah.
  3. Jangan bersetuju denga apa-apa tawaran untuk penyelesaian.
  4. Jangan tanda tangan apa-apa dokumen.
  5. Usah terpedaya dengan tarwaran pihak-pihak yang tidak dikenali.
  6. Sekiranya anda bersetuju dengan perbincangan dan penyelesaian “tepi” pastikan nilai pampasan yang ditawarkan kepada anda adalah berbaloi dan pastikan tawaran penyelesaian tersebut boleh dipercayai “genuine offer for settlement”.

      C. KUMPULKAN BUKTI

  1. Ambil gambar kejadian kemalangan dan kedudukan kenderaan -kenderaan yang terlibat.
  2. Ambil gambar sisi kerosakkan kenderaan dan gambar kecederaan jika ada.
  3. Catatkan lokasi dan masa kemalangan.
  4. Bertukar maklumat dengan pihak terlibat dengan mendapatkan butir-butir seperti –
  1. nama penuh;
  2. nombor kad pengenalan;
  3. nombor telefon;
  4. jenis model dan warna kenderaan;
  5. nombor pendaftaran kenderaan;
  6. nombor lesen memandu;
  7. tarikh tamat cukai jalan;
  8. alamat tempat tinggal; dan
  9. nama insurans pihak ketiga, nombor polisi atau sijil insurans (jika  ada).
  1. Ambil gambar sumber maklumat-maklumat di atas sekiranya boleh.Contohnya ambil gambar nombor plat pendaftaran kenderaan, gambar pelekat cukai jalan dan gambar salinan lesen memandu pihak yang melanggar anda. (Kebiasaanya maklumat dan nombor syarikat insurans ada pada pelekat cukai jalan yang ditampal pada cermin hadapan kereta).
  1. Analisa dan cuba fahami apa yang belaku dengan melihat kepada lokasi kemalangan. Contohnya garisan berkembar, lampu isyarat, keadaan pemandu yang melanggar anda dan kondisi jalan raya.

      D.     DAPATKAN BANTUAN

  1. Hubungi syarikat insurans anda sekiranya kenderaan anda mengalami kerosakkan teruk yang memerlukan perkhidmatan tunda.
  2. Perkhidmatan tunda juga disediakan secara percuma oleh pihak penyelenggara lebuhraya contohnya PIhak Plus.
  3. Dapatkan maklumat nama pemandu dan nombor pendaftaran trak tunda untuk mengelakkan sebarang penipuan.
  4. Dapatkan kad peniagaan “call card” trak tunda jika ada.

       E.      BUAT LAPORAN POLIS

  1. Buat laporan Polis dalam masa 24 jam di balai polis yang berhampiran.
  2. Saman dan denda boleh dikenakan terhadap anda jika anda lambat membuat laporan Polis.
  3. Sekiranya anda mengalami kecederaan teruk, ahli keluarga boleh membuat laporan polis bagi pihak anda agar pihak polis boleh memulakan siasatan.
  4. Pastikan isi kandungan laporan Polis anda menunjukkan anda tidak bersalah dan anda adalah di pihak yang benar.
  5. Pihak Polis akan melantik pegawai penyiasat yang akan mengambil gambar kenderaan , gambar lokasi tempat kejadian dan akan menyediakan pelan lakar “sketch plan” kawasan kemalangan.
  6. Anda boleh mendapatkan kesemua laporan Polis , laporan hasil siasatan, pelan lakar dan lain-lain dokumen daripada pihak Polis dengan memohon sendiri atau melalui peguam anda atau melalui agen syarikat insurans anda.

 

    F.     HANTAR KENDERAAN ANDA KE BENGKEL PANEL SYARIKAT INSURANS

  1. Minta senarai bengkel panel daripada syarikat insurans anda atau syarikat insurans pihak ketiga (yang mengakibatkan kemalangan).
  2. Pihak penilai “Adjuster” akan mentafsir kerosakan dan kerugian anda.

   G.      MAKLUMKAN SYARIKAT INSURANS

  1. Maklumkan syarikat insurans tentang tuntutan anda dalam tempoh masa tujuh (7) hari dari tarikh kemalangan –
  1. Syarikat Insurans pihak ketiga jika kemalangan BUKAN berpunca daripada anda
  2. (jadi “non-claim discount “( NCD ) anda tidak terjejas).
  3. Syarikat insurans anda sendiri jika kerosakan atau kemalangan tidak melibatkan lain-lain pihak atau lain-lain kenderaan / apabila kerosakkan yang dialami adalah  berpunca daripada anda sendiri

 

    H.     PERKARA YANG BOLEH DITUNTUT

  1. Ganti rugi kerosakan kenderaan.
  2. Ganti rugi kehilangan pengunaan kenderaan (kiraan harian).
  3. Lain-lain kerugian seperti kerugian pendapatan harian.
  4. Kos membaik-pulih kenderaan.
  5. Kos rawatan perubatan sekiranya ada .
  6. Kos berulang alik ke hospital untuk rawatan .
  7. Kos rawatan susulan .
  8. Pampasan dalam tempoh pembaikan kenderaan.
  9. Kos pengkebumian dan pampasan bagi kemalangan maut (jika berkenaan).
  10. Waris berhak menuntut pampasan kedukacitaan atau kehilangan sumbangan dan sumber pendapatan dan lain-lain tuntutan khas. Seksyen 7(1) Akta Undang-Undang Sivil 1956 (pindaan 1987)memperuntukkan-

 

“Setiap kali kematian seseorang disebabkan oleh tindakan salah, abai atau ingkar, dan tindakan, abai atau ingkar tersebut akan, sekiranya kematian tidak berlaku, melayakkan pihak tercedera untuk mengambil tindakan dan mendapat ganti rugi berkenaan dengannya, pihak yang akan bertanggungan sekiranya kematian tidak berlaku hendaklah bertanggungan bagi suatu tindakan untuk ganti rugi, tanpa mengira kematian orang tercedera, dan walaupun kematian telah disebabkan di bawah keadaan-keadaan tersebut menjadi suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.”

  11.  Mahkamah dengan mengambil kira beberapa faktor seperti umur, jantina, status (berkahwin atau bujang), anggota badan yang tercedera (setiap anggota badan mempunyai kesan dan nilai harga yang berbeza).

Mahkamah juga akan menentukan liabiliti pihak-pihak berdasarkan kepada fakta kes dan punca kemalangan.

Sekiranya perlu, sila dapatkan khidmat nasihat peguam untuk keterangan yang lebih jelas dan bagi membantu anda memfailkan tuntutan di Mahkamah .

 

 

Disediakan oleh,

Siti Saliah Salim

TETUAN MISYAIL OTHMAN & CO

Share:

More Posts

Send Us A Message