Tuntutan Harta Sepencarian

PENDAHULUAN

Harta sepencarian ialah suatu harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat- syarat yang ditentukan oleh hukum Syarak.  Harta itu juga termasuklah harta yang diperoleh sebelum mereka berkahwin tetapi telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan hasil usaha bersama atau sumbangan bersama mereka.

Allah S.W.T berfirman di dalam Surah An-Nisa’ ayat 32 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain, kerana bagi lelaki ada bahagian yang diusahakannya dan perempuan pula ada bahagian yang mereka usahakan.  Mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurniaNya. Seseungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Harta sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu akad perkongsian (al-syarikah).  Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui perkongsian hasil suami dan isteri.  Akad nikah hanya bertujuan untuk menghalalkan pergaulan antara suami isteri sahaja.

Pada dasarnya tiada sebarang dalil khusus di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan kedudukan harta sepencarian dalam Islam.  Pemakaiannya diambil dari segi kaedah ‘uruf.  Dalam perundangan Islam, apabila sesuatu ‘uruf diakui kebaikannya dan diberi pengiktirafan undang-undang, maka ia bertukar menjadi suatu peraturan yang mesti diikuti.

Di dalam kaedah fiqh atau “al-qawaid al-Fiqhiyyah” ia dikenali dengan kaedah “al-Adat Muhakkamah”.  Adat yang juga dikenali dengan ‘urf menurut jumhur fuqaha’ telah ditakrifkan sebagai sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi suatu perkara yang lumrah, sama ada ‘urf itu qauli atau amali, am atau khas, sahih atau fasid.

 

BIDANGKUASA MAHKAMAH DAN PERUNTUKAN

Bagi tujuan artikel ini, rujukan akan dibuat kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAIS) berkaitan harta sepencarian dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (EUUKIS). Harta sepencarian EPAIS adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

            “(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—

                        (a)…

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan  semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding  itu adalah berhubungan dengan—

            (i)…

            (ii)…

            (iii)…

                        (iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;”

Seksyen 122 EUUKIS pula memperuntukkan Mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintah pembahagian harta sepencarian berdasarkan takat sumbangan pihak-pihak sepanjang tempoh perkahwinan sama ada sumbangan secara langsung ataupun sumbangan secara tidak langsung.

“(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian  untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh  pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau  supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

 

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1),  Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang-

 

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja  bagi memperolehi            aset-aset itu;

(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama  mereka;

 

(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari  perkahwinan itu, jika ada, dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu,  Mahkamah             hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

 

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu  pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3),  Mahkamah hendaklah memberi perhatian  kepada—

 

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;

(b) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

 

dan tertakluk kepada pertimbangan pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi,             Walau             bagaimanapun, pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.”

Arahan Amalan No. 14 Tahun 2006 Mahkamah Syariah turut memperuntukkan bahawa bidang kuasa membicarakan kes poligami, pengisytiharan peruntukan, pembahagian harta sepencarian dan perkara-perkara lain yang berkaitan dibawah Seksyen 23 Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri hendaklah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah.

 

TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN

Tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan dalam 3 keadaan-

            (1)       Selepas perceraian (Seksyen 122 EUUKIS);

            (2)       Semasa dalam perkahwinan (poligami atau tukar agama); dan

            (3)       Selepas kematian salah satu pasangan.

  • Selepas perceraian

            Seksyen 122 EUUKIS 2003 memperuntukkan bahawa Mahkamah mempunyai     bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian            apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian.

 

  • Semasa dalam perkahwinan.

Seksyen 23(10)(b) EUUKIS 2003 memperuntukan bahawa isteri boleh  memohon perintah daripada Mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan.

Arahan Amalan No 14 Tahun 2006 Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia membolehkan tuntutan harta sepencarian dilakukan semasa perkahwinan iaitu ketika berlakunya permohonan poligami dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah.[1]

            Malah Seksyen 119(11)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan seseorang itu keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan.

                        “Seksyen 119. Keluar daripada Agama Islam

 

          (11) Sebelum Mahkamah mengiytiharkan bahawa orang itu telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya, Mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai perkara yang berikut:

 

                                    (b) pembahagian harta sepencarian;”

  • Selepas kematian

            Meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya berlakunya kematian, namun Arahan Amalan No. 5 Tahun 2003 Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia membolehkan tuntutan harta sepencarian dilakukan semasa dalam perkahwinan, selepas perceraian dan selepas kematian salah seorang dari   pasangan.

            Tambahan lagi, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 18 April 2005 yang diwartakan pada 23 Jun 2005 menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta  sepencarian.  Intipati-intipati fatwa tersebut ialah-

  • Di negeri Selangor, harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan boleh dibahagikan kepada suami dan isteri sebelum difaraidkan, termasuk selepas dilepaskan tanggungan si mati.
  • Pembahagian harta sepencarian tersebut hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua belah pihak.
  • Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah mahkamah.

KADAR PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN

Pihak-pihak perlu membuktikan kepada Mahkamah takat sumbangan masing-masing dalam memperolehi harta sepencarian yang dituntut.  Sumbangan boleh berlaku dalam tiga bentuk[2]

            (a)       Pengumpulan harta atau modal;

            (b)       Usaha ke arah menambah harta yang sedia ada; dan

            (c)       Sumbangan lain seperti pandangan, nasihat dan dorongan.

Seksyen 122(1) EUUKIS diperuntukkan untuk sumbangan secara langsung kepada suami isteri.  Sumbangan secara langsung ini wujud apabila suami isteri sama-sama bekerja atau berusaha untuk mendapatkan pemilikan sesuatu harta atau aset[3].

Seksyen 122(3) EUUKIS diperuntukkan untuk sumbangan secara tidak langsung kepada suami isteri.  Khusunya kepada isteri yang tidak bekerja, terdapat beberapa kadar pembahagian seperti 1/2, 1/3, 1/4 dan 2/3, bergantung kepada takat sumbangan tidak langsung yang diusahakan[4].  Sungguhpun begitu, undang-undang tetap mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh isteri dalam memperolehi hak dalam harta sepencarian.[5]

 

ISU MENGENAI HARTA SEPENCARIAN

Antara isu utama yang sering dibincangkan mengenai harta sepencarian adalah berkaitan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).  Wang KWSP bukanlah harta sepencarian, tetapi harta pusaka.  Maka, pasangan suami isteri tidak boleh menuntut wang KWSP sebagai harta sepencarian.  Ramai orang tidak mengetahui akan hal ini dan sering berpendapat bahawa KWSP boleh dituntut dan dijadikan harta sepencarian.

Merujuk kepada Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada tahun 2005, telah diputuskan bahawa wang caruman KWSP tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian dan menetapkan wang tersebut sebagai harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid.

HARTA YANG TIDAK TERMASUK DALAM KATEGORI HARTA SEPENCARIAN

(1)       Harta yang difaraidkan;

(2)       Harta yang dihibahkan sama ada sebelum atau selepas perkahwinan;

(3)       Saham syarikat serta faedahnya[6];

(4)       Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); dan

(5)       Harta yang mempunyai penama. Contohnya:

            (i)         Insurans dan polisi Takaful; dan

            (ii)        Harta yang terlarang dalam Islam.

PENUTUP

Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu.  Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagian daripada Undang-Undang Islam di Malaysia.

Konsep harta sepencarian dianggap dapat menjaga kepentingan pihak bekas isteri.  Ini kerana tidak semua isteri bekerja.  Walau bagaimanapun sumbangan yang diberikan oleh mereka dalam pembentukan sebuah keluarga satu pekerjaan yang mulia di sisi Allah S.W.T.  Justeru itu, adalah sewajarnya mereka diberikan pengiktirafan atas sumbangan yang telah diberikan dalam perkahwinan.

Disediakan oleh,

Nur Syaheerah binti Razailani

Nurul Sarah Jasmina binti Zamri

Tetuan Misyail Othman & Co

RUJUKAN

[1] Poligami: Antara Izin Dan Hak Pihak-Pihak Menurut Undang-Undang Syariah [2017] 4 ShLR i

[2] Mohammad Aizat Jamaludin, M. A. R. M. N. M. H. (2012). Elemen Sumbangan Dalam Pembahagian Harta Sepencarian: Pengalaman Kaum Wanita Melayu Di Malaysia. , 6–10. https://www.researchgate.net/profile/Mohd-Anuar-Ramli/publication/251652399_Elemen_Sumbangan_Dalam_Pembahagian_Harta_Sepencarian_Pengalaman_Kaum_Wanita_Melayu_Di_Malaysia/links/02e7e51f15c3c30d7e000000/Elemen-Sumbangan-Dalam-Pembahagian-Harta-Sepencarian-Pengalaman-Kaum-Wanita-Melayu-Di-Malaysia.pdf

[3] Muhammad Asri Abdullah (2001), Tarbiah Kekeluargaan Islam. Perak: Jabatan Kehakiman Syariah Perak.

[4] Mohammad Aizat Jamaludin, M. A. R. M. N. M. H. (2012). Op cit.

[5] Ibid.

[6] Ahmad, M. A. R. (2021). Permasalahan Tuntutan Harta Sepencarian Dalam Pembahagian Harta Pusaka: The Issues of Jointly Acquired Property Claims in the Division of Estate. Journal of Fatwa Management and Research24(2), 118-131. https://doi.org/10.33102/jfatwa.vol24no2.352.

Share:

More Posts

DATIN SERI ROSMAH BT MANSOR V PUBLIC PROSECUTER [2021] MLJU 2394 COURT OF APPEAL (PUTRAJAYA) Stay Proceedings in Criminal Cases Facts of the case 1.   

NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7

  NBR LWN MAIS [2018] SLRHU 7 Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam Pengisytiharan Keluar Agama Islam Fakta kes 1.    Plaintif iaitu NBR telah dilahirkan pada

Send Us A Message