ZZ lwn DRSB [2020] J53 BHG. 2

ZZ lwn DRSB [2020] J53 BHG. 2

MAHKAMAH TINGGI SYARIAH (SEREMBAN)

RAYUAN TUNTUTAN PENGESAHAN LAFAZ CERAI

Fakta Kes 1.  Ketika perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah (MRS), Hakim MRS telah memutuskan lafaz cerai takliq Defendan (Perayu) telah sabit dan mengarahkan Plaintif (Responden) untuk beriddah secara bain kubro selama 3 kali suci.

2.  Perayu kemudiannya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah (MTS) berhubung perintah yang telah dikeluarkan oleh MRS itu.

3.  Perayu telah memfailkan rayuan atas alasan-alasan yang berikut –

(a) Tuan Hakim telah khilaf dalam berpendapat bahawa telah lengkap rukun ketiga perceraian iaitu qasad dengan merujuk kepada perbuatan menceraikan secara lafaz cerai takliq pada 5.2.2019 iaitu “kalau abang pinjam ceti atau main judi lagi akan jatuh talaq kat Diana” di kediaman mereka.

(b) Tuan Hakim telah khilaf dalam berpendapat bahawa telah lengkap rukun ketiga perceraian iaitu qasad dengan merujuk kepada perbuatan menceraikan secara lafaz cerai takliq pada 23.5.2019 iaitu “kalau kau ketuk kepala aku lagi, jatuh talaq satu kat kau”.

(c) Tuan Hakim telah khilaf dengan tidak mempertimbangkan status pihak-pihak apabila mensabitkan gugur cerai talak raj’ie kali ketiga bagi lafaz takliq pada 23.5.2019 dalam keadaan pihak-pihak bukan lagi suami isteri apabila lafaz cerai takliq pada 5.2.2019 telah sabit.

4. Untuk rekod, Perayu dan Responden pernah bercerai talak satu pada 7.12.2013.  Kemudian mereka telah merujuk semula pada 12.2.2014 di Pejabat Agama Daerah Seremban.

Isu-isu 1. Sama ada lafaz cerai takliq Perayu pertama iaitu “kalau abang pinjam ceti atau main judi lagi akan jatuh talaq kat Diana” pada 5.2.2019 adalah sabit.

2. Sama ada lafaz cerai takliq Perayu kedua iaitu “kalau kau ketuk kepala aku lagi, jatuh talaq satu kat kau” pada 23.5.2019 adalah sabit.

Alasan Penghakiman 1.Sama ada lafaz cerai takliq Perayu pertama iaitu “kalau abang pinjam ceti atau main judi lagi akan jatuh talaq kat Diana” pada 5.2.2019 adalah sabit.

(a) Merujuk kepada alasan rayuan 3(a), Perayu membangkitkan alasan Hakim Bicara MRS telah khilaf kerana mensabitkan talak 2 raj’ie pada lafaz takliq pertama pada 5.2.2019.

(b) Perayu berhujah bahawa beliau tidak berniat untuk melafazkan  takliq tersebut dan mendakwa bahawa ia berbentuk kinayah.  Ini kerana, niat asal Perayu semasa melafazkannya bertujuan untuk meredakan perasan Responden pada ketika itu.

(c) Walau bagaimanapun, Perayu mengakui telah melafazkan takliq kepada Responden dengan lafaz “kalau abang pinjam ceti atau main judi lagi akan jatuh talaq kat Diana”.

(d) Hakim MRS juga telah menerangkan kepada Perayu bahawa lafaz tersebut adalah lafaz soreh dan bukannya lafaz kinayah di dalam Rekod Rayuan pada muka surat 8.

(e) Justeru itu, maksud Perayu adalah jelas jika dia meminjam duit daripada ceti dan bermain judi lagi, maka terjatuhlah talak ke atas Responden.

(f)  MRS telah merujuk kepada kitab al-Syarqani al-Tharit Juzuk 2 pada muka surat 302 yang bermaksud –

“sesiapa yang membuat takliq dengan satu sifat atau lafaz maka jatuh talak dengan satu talak dengan adanya perbuatan atau sifat seperti mana bentuk lafaz takliq yang dibuat itu”.

(g) MRS juga merujuk kepada kitab I’aanah at-Talibin Juzuk 4 pada muka surat 27 yang bermaksud –

“Harus bertakliq talak seperti mana membebaskan hamba dengan syarat dan tidak harus menarik balik sebelum wajib sifat dan tidak berlaku talak sebelum wujudnya syarat”.

(h) Berdasarkan nas di atas, sebarang bentuk lafaz takliq yang dilakukan tidak boleh ditarik balik dan talak terjatuh dengan talak satu apabila syarat lafaz takliq itu dilanggar.

 

2. Sama ada lafaz cerai takliq Perayu kedua iaitu “kalau kau ketuk kepala aku lagi, jatuh talaq satu kat kau” pada 23.5.2019 adalah sabit.

(i) Hakim MTS telah merujuk kepada alasan 3(b) dan 3(c), di mana Perayu membangkitkan hujahan bahawa Hakim MRS telah terkhilaf kerana mensabitkan talak 3 secara bain kubro pada lafaz takliq kedua pada 23.5.2019 kerana tidak menjalankan siasatan yang menyeluruh mengenai tempoh iddah Responden pada ketika itu.  Ketika lafaz takliq kedua dilafazkan, status Responden tidak diketahui sama ada beliau berada di dalam iddah atau bukan.  Ini kerana, tempoh lafaz pertama dan lafaz kedua masing-masing telah melebihi 3 bulan.

(j) MTS juga tidak mendapati sebarang rekod siasatan yang dilakukan oleh MRS.  Tambahan lagi, Respoden tidak menyatakan tarikh dan waktu yang tepat semasa beliau melanggar syarat lafaz takliq tersebut.

(k) Berdasarkan Hukum Syarak, setiap isteri yang diceraikan perlu mengira tempoh iddahnya.  Ini kerana setiap penceraian yang berlaku bebeza tempoh iddahnya.  Al-Quran telah memberi saranan di dalam tuntutan pengiraan tempoh iddah ini di dalam Surah at-Talaq ayat 1 yang bermaksud –

Wahai Nabi! Apabila kamu hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya, dan hitunglah masa iddah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu.  Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata…”

(l)  Di dalam Islam, hikmah pensyariatan iddah kepada perempuan yang diceraikan itu adalah –

(i)  Untuk memastikan kekosongan rahim daripada benih suami terdahulu.  Ia bertujuan untuk mengelakkan percampuran benih.

(ii) Bagi talak raj’ie ia dapat memberi peluang kepada suami isteri yang bercerai untuk berfikir semula tindakan yang diambil agar tidak merugikan mana-mana pihak selepas berlakunya penceraian.

(iii) Bagi penceraian yang berlaku disebabkan kematian suami, isteri dapat mendalami nikmat berkahwin dahulu sambil mendekatkan diri kepada Allah di samping menjaga hak dan tanda pengzahiran kesetiaan isteri yang kematian suami.

(m) Untuk lafaz takliq kedua ini, MTS mendapati ada beberapa aspek penting yang tidak dititik-beratkan oleh Hakim MRS sebelum mensabitkan lafaz takliq tersebut.  Aspek-aspek itu ialah –

(i) Hakim MRS tidak melakukan siasatan adakah telah berlaku rujuk ataupun tidak pada lafaz takliq pertama.

(ii) Hakim MRS tidak menyiasat tempoh masa di antara sabitan pertama dan sabitan kedua, adakah Responden masih di dalam tempoh iddah ataupun tidak.

(iii) Hakim MRS tidak menentukan tarikh dan masa yang tepat semasa Responden melanggar lafaz takliq yang dibuat oleh Perayu.

(n)  MTS telah mendengar dan menerima alasan ketiga Perayu.

 Keputusan 1. MTS telah menerima rayuan Perayu.

2. MTS memerintahkan kes ini dibicarakan semula oleh MRS.

Kesimpulan 1. Lafaz takliq adalah lafaz cerai yang diikat dengan syarat tertentu yang apabila syarat tersebut dilanggar, akan gugur talak.

2. Lafaz takliq tidak boleh ditarik balik dan apabila syarat yang diikat itu dilanggar maka akan jatuh talak satu.

Share:

More Posts

Send Us A Message