NI v NZS & Ors [2019] 1 ShLR 32

 

NI v NZS & Ors [2019] 1 ShLR 32

Mahkamah Rayuan Syariah

Harta Sepencarian Menurut Undang-Undang Islam

Fakta

  1. Kes ini melibatkan tuntutan Harta Sepencarian yang difailkan oleh Perayu selaku balu kepada allahyarham terhadap adik-beradik allahyarham selaku Responden-Responden berikutan kematian allahyarham pada 30 Mei 2009.

  2. Perkahwinan Perayu dan allahyarham telah berlangsung sejak 23 November 1994 dan sepanjang tempoh perkahwinan tersebut mereka tidak mempunyai zuriat.

  3. Dari segi ekonomi rumahtangga, allahyarham pernah bekerja di Kilang Sony sebelum menamatkan perkhidmatan secara sukarela pada 31 Januari 2005 melalui skim VSS manakala Perayu pula meneruskan kerjaya di Kilang Hitachi sambil menjalankan perniagaan sampingan menjahit dan berniaga pinggan mangkuk.

  4. Perayu menuntut hak ke atas enam aset peninggalan allahyarham di Mahkamah Tinggi Syariah termasuk sebuah apartment, sebuah flat, tanah dan rumah di Sungai Merab Kajang, dua buah kenderaan serta wang simpanan dalam akaun bank.

  5. Mahkamah Tinggi Syariah hanya membenarkan tuntutan Perayu ke atas tanah dan rumah di Sungai Merab Kajang dengan menetapkan nisbah 30% bagi Perayu dan 70% bagi allahyarham.

  6. Penetapan kadar tersebut dibuat atas alasan Perayu tidak berjaya mengemukakan bukti dokumentasi yang mencukupi bagi menyokong dakwaan sumbangan kewangan untuk pengubahsuaian rumah dan pembayaran ansuran bulanan.

  7. Perayu tidak berpuas hati dengan penetapan kadar tersebut dan memfailkan rayuan pada 25 November 2016 dengan menghujahkan bahawa Hakim Bicara gagal menilai keterangan dan bukti yang telah dikemukakan secara menyeluruh.

Isu-Isu

  1. Sama ada Hakim Bicara terkhilaf dalam menentukan kadar pembahagian Harta Sepencarian sebanyak 30% kepada Perayu dan 70% kepada allahyarham.

Alasan Penghakiman

Isu Pertama: Sama ada Hakim Bicara terkhilaf dalam menentukan kadar pembahagian Harta Sepencarian sebanyak 30% kepada Perayu dan 70% kepada allahyarham.

  1. Mahkamah memutuskan bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf dalam menetapkan kadar pembahagian Harta Sepencarian tersebut kerana gagal menilai keterangan saksi-saksi Perayu secara menyeluruh dan teliti.

  2. Tiga orang saksi Perayu telah memberikan keterangan yang membuktikan bahawa allahyarham menghadapi kesukaran kewangan yang serius selepas kehilangan pekerjaan melalui skim VSS dan kegagalan perniagaan yang diusahakan, namun keterangan penting ini tidak diambil kira oleh Hakim Bicara dalam membuat keputusan.

  3. Saksi kedua dan ketiga turut mengesahkan bahawa beban tanggungan rumahtangga allahyarham telah beralih sepenuhnya kepada bahu Perayu sejak allahyarham berhenti bekerja, termasuk pembayaran ansuran rumah dan penyelesaian hutang-hutang yang tertunggak sehinggalah ke hari kematian allahyarham.

  4. Mahkamah turut berpendapat bahawa situasi kewangan allahyarham yang tidak stabil serta kerugian perniagaan yang ditanggungnya boleh dijadikan sebagai qarinah bagi menyokong dakwaan Perayu bahawa beliau telah menanggung sebahagian besar perbelanjaan rumahtangga termasuk bayaran utiliti, cukai pintu dan ansuran bulanan rumah tersebut.

  5. Keupayaan kewangan Perayu untuk menanggung perbelanjaan tersebut turut disokong oleh keterangan saksi kedua yang mengesahkan bahawa Perayu mempunyai pendapatan tetap di Kilang Hitachi serta pendapatan sampingan yang maju daripada perniagaan menjahit dan berniaga pinggan mangkuk.

  6. Mahkamah juga mengiktiraf sumbangan tidak langsung Perayu sebagai isteri yang taat dan setia dalam menunaikan tanggungjawab rumahtangga sepanjang tempoh perkahwinan sebagai elemen yang perlu diambil kira dalam menentukan kadar pembahagian Harta Sepencarian.

  7. Mahkamah merujuk kepada kes A lwn ZA [1982] 4 JH 73 yang telah digunapakai dalam kes NA lwn OJ & Yang Lain, JH 26 Bhg 1 yang menggariskan bahawa pembahagian Harta Sepencarian hendaklah ditentukan berdasarkan keterangan yang membuktikan takat sumbangan masing-masing pihak.

  8. Mahkamah turut merujuk kepada al-Bughyah al-Mustarsyidin yang menjelaskan bahawa apabila harta suami isteri bercampur dan tidak dapat dibezakan milik masing-masing selepas berlakunya perceraian atau kematian, maka sebarang tindakan ke atas harta tersebut tidak boleh dilakukan sehingga dapat dibezakan atau diselesaikan melalui pendamaian.

  9. Mahkamah jugak merujuk kepada al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siasah al-Syariyyah karangan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah yang menegaskan bahawa pemilikan harta tidak boleh disandarkan semata-mata kepada nama yang didaftarkan dalam dokumen harta tersebut kerana pendaftaran nama sahaja tidak memadai sebagai bukti pemilikan yang mutlak.

  10. Mahkamah berpendapat adalah wajar sumpah syarie dilaksanakan ke atas Perayu berhubung dengan dakwaan sumbangan sebanyak RM 60,000 dalam pemerolehan rumah tersebut.

  11. Perayu telah bersumpah secara syarie bahawa dakwaannya berhubung dengan sumbangan dalam pemerolehan rumah tersebut sebanyak rm 60,000 adalah daripada wangnya sendiri.

  12. Mahkamah berpuas hati bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf apabila memutuskan kadar pembahagian 30% kepada Perayu dan 70% kepada allahyarham dan Mahkamah berpendapat bahawa jumlah sumbangan Perayu adalah lebih banyak berbanding sumbangan allahyarham terhadap rumah tersebut.

Keputusan

  1. Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa rayuan Perayu diterima.

  2. Perenggan 5 Perintah Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 November 2016 pada Tahun 2010 diubah dengan menetapkan kadar pembahagian Harta Sepencarian sebuah rumah di Sungai Merab, Kajang Selangor sebanyak 60% kepada Perayu dan 40% kepada allahyarham.

Dapatan Utama

  1. Kekhilafan Hakim Bicara menilai keterangan saksi-saksi secara menyeluruh merupakan suatu kekhilafan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan dalam mengubah kadar pembahagian Harta Sepencarian yang telah ditetapkan.

  2. Situasi kewangan allahyarham yang tidak stabil akibat kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan boleh dijadikan qarinah bagi membuktikan bahawa beban tanggungan rumahtangga telah beralih kepada Perayu termasuk pembayaran ansuran rumah dan penyelesaian hutang-hutang yang tertunggak.

  3. Sumbangan tidak langsung isteri dalam menunaikan tanggunjawab rumahtangga dengan penuh taat sepanjang tempoh perkahwinan adalah elemen yang perlu diambil kira dalam menentukan kadar pembahagian Harta Sepencarian.

  4. Pendaftaran nama dalam dokumen harta semata-mata tidak memadai sebagai bukti pemilikan yang mutlak dan kadar pembahagian Harta Sepencarian hendaklah ditentukan berdasarkan takat sumbangan sebenar setiap pihak.

Penghakiman penuh boleh didapati daripada Lexisadvance.

 

 

Share:

More Posts

KABI v NAKBNRS [2024] 4 ShLR 85

  KABI v NAKBNRS [2024] 4 ShLR 85 Mahkamah Rayuan Syariah (Shah Alam) Harta Sepencarian Menurut Undang-Undang Islam Fakta Kes Pemohon dan Responden adalah pasangan

NCN v KCJ [2023] 5 MLRA 247

NCN v KCJ [2023] 5 MLRA 247 Federal Court (Putrajaya)  The prior leave from the winding-up Court is mandatory before commencing legal proceedings against a

Send Us A Message