MAIPP v ALH & Anor [2018] 2 ShLR 15

 

MAIPP v ALH & Anor [2018] 2 ShLR 15

Mahkamah Tinggi Malaya (Pulau Pinang)

Pengesahan Wakaf Menurut Undang-Undang Islam

Fakta

  1. Plaintif adalah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang manakala Defendan Pertama (D1) adalah pentadbir harta pusaka Si Mati dan Defendan Kedua (D2) adalah sebuah syarikat bukan Islam yang membeli tanah daripada D1.

  2. Asas tuntutan Plaintif bermula daripada dua dokumen lama iaitu surat ikatan bertarikh 6 September 1882 dan indentur bertarikh 5 Jun 1908 yang menunjukkan bahawa seorang bernama Hj D telah menyerahkan tanah kepada Si Mati untuk dipegang atas amanah bagi tujuan masjid dan tanah perkuburan Islam di Bayan Lepas Pulau Pinang.

  3. Berasaskan dua dokumen tersebut, Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah mengeluarkan fatwa yang menetapkan bahawa tanah tersebut adalah tanah wakaf dan fatwa tersebut telah diwartakan setelah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong di bawah seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 (“EPAIPP 2004”).

  4. D1 yang tidak mengetahui status wakaf tanah tersebut telah mendapatkan surat pentadbiran harta pusaka Si Mati daripada Mahkamah Tinggi Malaya di mana tanah tersebut disenaraikan sebagai aset Si Mati.

  5. Seterusnya, tanah tersebut telah dipindah milik daripada nama Si Mati kepada nama D1 selaku pentadbir pada 12 April 2013 (di mana pindahan hakmilik ini kini dicabar oleh Plaintif sebagai tidak sah, terbatal dan patut diketepikan).

  6. Sebelum pindahan hakmilik tersebut didaftarkan, D1 terlebih dahulu telah menandatangani perjanjian jual beli dengan D2 bertarikh 7 Mac 2013 serta turut memberikan surat wakil kuasa kepada D2.

  7. Bagi menyempurnakan jualan tersebut, D1 kemudiannya telah memperolehi perintah mahkamah bertarikh 9 April 2013 yang memberikan kebenaran kepadanya untuk menjual dan memindah milik tanah tersebut kepada D2 (di mana perintah kebenaran ini juga kini dituntut oleh Plaintif untuk dibatalkan dan diketepikan).

  8. Pada April 2014, Plaintif telah diberitahu oleh seorang peguam tentang kewujudan surat ikatan dan indentur asal yang melibatkan tanah tersebut dan seterusnya menjalankan siasatan sendiri yang mengesahkan status wakaf tanah tersebut.

  9. Setelah mengetahui status wakaf tanah tersebut, Plaintif dengan segera memasukkan kaveat ke atas tanah tersebut dan memfailkan tindakan ini dalam tempoh dua setengah bulan bagi mengisytiharkan tanah tersebut sebagai tanah wakaf yang terletak haknya kepada Plaintif, membatalkan semua urusan yang melibatkan tanah tersebut oleh D1 dan D2 serta memerintahkan agar nama Plaintif didaftarkan sebagai pemilik tanah tersebut.

  10. D1 dan D2 menentang tuntutan Plaintif atas alasan bahawa Mahkamah Sivil tidak berbidang kuasa mendengar isu berkaitan wakaf dan fatwa, tuntutan Plaintif telah luput had masa dan kedua-dua Defendan mempunyai hakmilik tidak boleh disangkal di bawah seksyen 340 Kanun Tanah Negara (“KTN”) di mana D2 khususnya menghujahkan bahawa beliau adalah pembeli bona fide untuk nilai yang dilindungi oleh subseksyen 340(3) KTN.

Isu-Isu

  1. Sama ada Mahkamah Tinggi Malaya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes berkaitan wakaf dan fatwa memandangkan salah satu pihak dalam kes ini adalah bukan Islam.

  2. Sama ada tanah tersebut adalah tanah wakaf berdasarkan surat ikatan bertarikh 1882 dan indentur bertarikh 1908 yang dilaksanakan oleh Hj D serta fatwa yang telah diwartakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang adalah sah dan mengikat pihak-pihak.

  3. Sama ada tuntutan Plaintif telah luput had masa di bawah Akta Had Masa 1953 (“AHM 1953”) memandangkan wakaf tersebut telah dibuat lebih daripada 100 tahun yang lalu.

  4. Sama ada D1 dan D2 boleh bergantung kepada seksyen 340 KTN berkaitan hakmilik tidak boleh disangkal berhubung tanah wakaf tersebut.

Alasan Penghakiman

Isu Pertama: Sama ada Mahkamah Tinggi Malaya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes berkaitan wakaf dan fatwa memandangkan salah satu pihak dalam kes ini adalah bukan Islam.

  1.  Mahkamah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Malaya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini.

  2. Mahkamah mendapati bahawa isu bidang kuasa yang dibangkitkan oleh D1 telah pun diputuskan dalam prosiding pembatalan terdahulu oleh Pesuruhjaya Kehakiman WTM dan keputusan tersebut adalah mengikat semua pihak serta tidak boleh dibuka semula berdasarkan doktrin res judicata.

  3. Mahkamah dalam perkara ini merujuk kepada kes Asia Commersial Finance (M) Bhd v Kawal Teliti Sdn Bhd [1995] 3 MLJ 189 yang menjelaskan bahawa apabila sesuatu perkara telah diputuskan oleh Mahkamah yang berbidang kuasa, pihak-pihak tidak dibenarkan untuk memperdebatkan semula perkara yang sama kerana keputusan Mahkamah adalah kebenaran antara pihak-pihak.

  4. Mahkamah turut mendapati bahawa memandangkan D2 tidak termasuk dalam definisi Muslim dan isu yang perlu diputuskan melibatkan seorang Muslim dan seorang bukan Islam, maka bidang kuasa untuk membicarakan kes ini terletak pada Mahkamah Sivil dan bukan Mahkamah Syariah.

  5. Mahkamah menegaskan bahawa tiada isu Mahkamah ini melebihi bidang kuasa Mahkamah Syariah berkaitan wakaf kerana fatwa yang telah diwartakan telahpun memutuskan bahawa tanah tersebut adalah wakaf dan keputusan fatwa tersebut kekal sah serta tidak dipertikai oleh mana-mana pihak di Mahkamah Syariah.

Isu Kedua: Sama ada tanah tersebut adalah tanah wakaf berdasarkan surat ikatan bertarikh 1882 dan indentur bertarikh 1908 yang dilaksanakan oleh Hj D serta fatwa yang telah diwartakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang adalah sah dan mengikat pihak-pihak.

  1. Mahkamah memutuskan bahawa tanah tersebut adalah tanah wakaf dan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang adalah sah dan mengikat pihak-pihak dalam kes ini.

  2. Mahkamah mendapati bahawa D1 gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa surat ikatan dan indentur tersebut adalah dokumen tidak tulen. Sebaliknya Plaintif Berjaya membuktikan bahawa dokumen-dokumen tersebut adalah sah dibuat dan dilaksanakan oleh Hj D.

  3. Mahkamah berpandangan bahawa surat ikatan dan indentur tersebut dengan jelas menunjukkan hasrat Hj D dan isterinya untuk menyerahkan tanah tersebut kepada Si Mati untuk dipegang atas amanah bagi tujuan masjid dan tanah perkuburan Islam.

  4. Mahkamah dalam perkara itu menegaskan bahawa Mahkamah ini bukan forum yang sesuai untuk mempertikaikan kesahan wakaf atau fatwa dan sekiranya D1 tidak berpuas hati dengan keputusan fatwa tersebut, D1 sepatutnya mencabar perkara tersebut di Mahkamah Syariah. Memandangkan D1 tidak berbuat sedekimian, fatwa yang menyatakan tanah tersebut adalah wakaf kekal sah.

  5. Mahkamah merujuk seksyen 49 EPAIPP 2004 yang memperuntukan bahawa fatwa yang diterbitkan dalam warta adalah mengikat setiap orang Islam di Negeri Pulau Pinang sebagai tuntutan agamanya dan hendaklah diiktirafkan oleh semua Mahkamah di negeri tersebut.

  6. Berdasarkan penelitian seksyen 89 dan seksyen 90 bagi Enakmen yang sama, difahami bahawa Plaintif adalah pemegang amanah yang tunggal bagi semua harta wakaf di Negeri Pulau Pinang dan semua harta wakaf tersebut terletak haknya kepada Plaintif secara automatik tanpa memerlukan sebarang pindahan atau penyerahan hak.

Isu Ketiga: Sama ada tuntutan Plaintif telah luput had masa di bawah Akta Had Masa 1953 memandangkan wakaf tersebut telah dibuat lebih daripada 100 tahun yang lalu.

  1. Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan Plaintif tidak luput had masa dan telah difailkan dalam masa yang ditetapkan.

  2. Mahkamah berpendapat bahawa kausa tindakan Plaintif bagi tujuan pengiraan had masa hendaklah bermula dari tarikh Plaintif mengetahui tentang status wakaf tanah tersebut iaitu pada April 2014 dan bukan dari tarikh wakaf tersebut dibuat memandangkan tiada keterangan dikemukakan untuk membuktikan bahawa Plaintif mengetahui tentang status wakaf tanah tersebut sebelum tarikh tersebut.

  3. Mahkamah merujuk kepada kes Seberang Baru Sdn Bhd v Majlis Ugama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai [2011] MLJU 1553; [2011] 1 LNS 1768 yang menegaskan bahawa adalah tidak munasabah untuk menghendaki Plaintif mengesan dan mengenal pasti setiap wakaf di negeri tersebut yang dibuat di bawah sistem surat ikatan sebelum tahun 1996 yang hanya boleh dilakukan secara manual.

Isu Keempat: Sama ada D1 dan D2 boleh bergantung kepada seksyen 340 KTN berkaitan hakmilik tidak boleh disangkal berhubung tanah wakaf tersebut.

  1. Mahkamah memutuskan bahawa D1 dan D2 tidak boleh bergantung kepada seksyen 340 KTN berkaitan hakmilik tidak boleh disangkal berhubung tanah wakaf tersebut.

  2. Mahkamah telah merujuk kepada perenggan 4(2)(e) KTN yang secara terang memperuntukan bahawa KTN tidak terpakai kepada tanah wakaf dan melalui operasi seksyen 89 dan seksyen 90 EPAIPP 2004 nyata bahawa tanah tersebut secara automatik terletak hak kepada Plaintif. Justeru itu mana-mana perintah yang memberikan hakmilik tanah tersebut kepada mana-mana pihak lain selain Plaintif adalah tidak sah, terbatal dan perlu diketepikan.

  3. Mahkamah turut memutuskan bahawa persoalan sama ada D2 merupakan pembeli bona fide untuk nilai adalah tidak releven kerana D1 tidak mempunyai kapasiti sah untuk menjual tanah tersebut kepada D2 sejak awal lagi.

  4. Sebarang hak atau kepentingan yang diperoleh oleh D2 berkaitan tanah tersebut adalah diperoleh melalui instrumen yang tidak sah dan boleh disangkal di bawah perenggan 340(2)(b) KTN dan peruntukan subseksyen 340(3) KTN tidak terpakai kepada mana-mana Defendan dalam kes ini.

Keputusan

  1. Mahkamah Tinggi Malaya membenarkan tuntutan Plaintif tanpa ganti rugi dan mengisytiharkan bahawa tanah tersebut adalah terletak hak kepada Plaintif serta memerintah agar nama Plaintif didaftarkan sebagai pemilik tanah tersebut menggantikan nama D2.

  2. Perintah bertarikh 9 April 2013 yang membenarkan D1 menjual dan memindah milik tanah tersebut kepada D2 adalah dibatalkan dan diketepikan.

  3. Pemindahan hakmilik tanah tersebut bertarikh 12 April 2013 daripada nama Si Mati kepada D1 adalah tidak sah, terbatal dan diketepikan.

  4. Perjanjian jual beli dan surat wakil kuasa yang melibatkan tanah tersebut antara D1 dan D2 adalah diketepikan dan dibatalkan.

  5. Kaveat persendirian yang didaftarkan oleh D2 ke atas tanah tersebut adalah dibatalkan dan dibuang.

  6. Tuntutan balas D1 ditolak dan kos tindakan sebanyak RM10,000 diperintahkan untuk dibayar oleh Defendan-Defendan kepada Plaintif.

Dapatan Utama

  1. Apabila isu bidang kuasa telah diputuskan dalam prosiding terdahulu, maka pihak-pihak adalah dihalang untuk membangkitkan semula isu yang sama berdasarkan doktrin res judicata dan keputusan tersebut adalah mengikat semua pihak serta tidak boleh dibuka semula.

  2. Sekiranya salah satu pihak dalam pertikaian adalah bukan Islam, maka bidang kuasa untuk membicarakan kes tersebut terletak pada Mahkamah Sivil dan bukan Mahkamah Syariah walaupun kes tersebut melibatkan isu undang-undang Islam seperti wakaf dan fatwa.

  3. Fatwa yang telah diwartakan adalah mengikat setiap orang Islam di negeri tersebut sebagaimana diperuntukan oleh seksyen 49 EPAIPP 2004 dan sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan fatwa tersebut, pihak berkenaan hendaklah mencabar kesahannya di Mahkamah Syariah.

  4. Berdasarkan seksyen 89 dan seksyen 90 EPAIPP 2004, semua harta wakaf di Negeri Pulau Pinang terletak haknya kepada Plaintif secara automatik tanpa memerlukan sebarang pemindahan atau penyerahan hak.

  5. Perenggan 4(2)(e) KTN memperuntukan bahawa KTN tidak terpakai kepada tanah wakaf, justeru pihak-pihak tidak boleh bergantung kepada seksyen 340 KTN berkaitan hakmilik tidak boleh disangkal berhubung tanah wakaf.

Penghakiman penuh boleh didapati daripada Lexisadvance.

 

Share:

More Posts

AHH v SK & Ors [2017] 2 ShLR 13

AHH v SK & Ors [2017] 2 ShLR 13 Mahkamah Rayuan Syariah (Shah Alam) Bidang Kuasa Mahkamah bagi Permohonan Pembatalan Sijil Faraid Fakta Kes ini

Send Us A Message