Spind Malaysia v Justrade Marketing Sdn Bhd & Anor [2018] 4 MLJ

Spind Malaysia v Justrade Marketing Sdn Bhd & Anor [2018] 4 MLJ

Mahkamah Persekutuan (Putrajaya)

Penentuan skop perlindungan paten serta penilaian elemen kebaharuan dan langkah mereka cipta (inventive step) sesuatu reka cipta.

Fakta Kes

 

  1. Spind Malaysia Sdn Bhd (Plaintif/Perayu) merupakan sebuah syarikat reka bentuk dan pengeluar produk paip serta pemilik berdaftar paten Malaysia bertajuk “Improvement in and relating to floor trap” (MY-567), telah memfailkan saman terhadap Justrade Marketing Sdn Bhd (Responden Pertama) dan pengarah serta pemegang sahamnya (Responden Kedua) atas dakwaan pelanggaran paten, pelanggaran reka bentuk Perindustrian dan pecah maklumat sulit.
  2. Tindakan undang-undang ini berpunca daripada tindakan Responden Pertama yang memfailkan permohonan paten bertajuk “Top Accessible Drainage Floor Trap with built in control valve” pada 12 Mei 2011 dengan menamakan Responden Kedua sebagai penciptanya yang kemudian dikomersialkan sebagai produk PAZTEE Floor Gully/Trap.
  3. Perayu mendakwa produk PAZTEE tersebut adalah serupa dengan versi terbaharu produk SPIND Floor Gully/Trap (“SPIND”) milik mereka yang telah dilindungi di bawah paten MY-567 sejak 30 Ogos 2006.
  4. Responden-Responden turut memfailkan tuntutan balas bagi membatalkan paten MY-567 milik perayu atas alasan ia tidak baharu kerana telah diantisipasi oleh paten Amerika Syarikat terdahulu bertajuk “Drainage Trap” (USP-210 bertarikh 3 Julai 1962), serta tidak melibatkan sebarang langkah reka cipta (inventive step) yang ketara.
Isu-isu

 

  1. Sama ada mahkamah dikehendaki menggunakan dan melaksanakan ujian empat langkah dalam kes Windsurfing International Inc v Tabur Marine (Great Britain) Ltd [1985] RPC 59 bagi menentukan sama ada sesuatu reka cipta yang dipatenkan melibatkan langkah mereka cipta atau tidak bersifat ketara.
  2. Sama ada terdapat perbezaan antara menentukan ciri-ciri yang dituntut dalam tuntutan paten dengan menentukan konsep mereka cipta bagi reka cipta yang dipatenkan.
  3. Sama ada penilaian terhadap konsep mereka cipta sesuatu reka cipta perlu dihadkan kepada tuntutan paten sahaja atau ditafsirkan berdasarkan keseluruhan spesifikasi paten serta pengetahuan umum seseorang yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan.
Alasan Penghakiman

 

(1) Sama ada mahkamah dikehendaki menggunakan dan melaksanakan ujian empat langkah dalam kes Windsurfing International Inc v Tabur Marine (Great Britain) Ltd [1985] RPC 59 bagi menentukan sama ada sesuatu reka cipta yang dipatenkan melibatkan langkah mereka cipta atau tidak bersifat ketara.

(a) Mahkamah memutuskan bahawa ujian Windsurfing merupakan titik permulaan yang baik dalam menentukan isu langkah reka cipta kerana ujian tersebut menyediakan rangka kerja yang berguna, memudahkan analisis dan memastikan pendekatan yang konsisten.

(b) Walaupun ujian tersebut menjadi panduan yang berguna dalam kebanyakan kes, langkah-langkah yang terkandung di dalamnya tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang tetap atau diterapkan secara mekanikal khususnya dalam kes yang melibatkan fakta yang mudah dan tidak rumit.

(c) Mahkamah menegaskan bahawa persoalan utama di bawah seksyen 15 Akta Paten 1983 adalah sama ada reka cipta tersebut bersifat ketara kepada orang yang mempunyai kemahiran biasa dalam bidang tersebut dengan mengambil kira seni terdahulu.

(d) Dalam konteks undang-undang Malaysia, mahkamah mengekalkan kesederhanaan ujian Windsurfing asal dengan sedikit pengubahsuaian dari segi terminology bagi memastikan ia selaras dengan kehendak seksyen 15 Akta Paten 1983.

(2) Sama ada terdapat perbezaan antara menentukan ciri-ciri yang dituntut dalam tuntutan paten dengan menentukan konsep mereka cipta bagi reka cipta yang dipatenkan.

(a) Mahkamah memutuskan bahawa memang terdapat perbezaan antara menentukan ‘ciri-ciri yang dituntut’ dengan ‘konsep reka cipta’, walaupun kedua-duanya mestilah dikenal pasti dengan merujuk kepada tuntutan paten.

(b) Skop monopoli dan perlindungan undang-undang yang diberikan kepada pemilik paten ditakrifkan dan dihadkan sepenuhnya oleh bahasa tuntutan paten tersebut.

(c) Konsep reka cipta tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan keseluruhan perkataan bertulis dalam tuntutan paten kerana ia merujuk kepada teras, intipati atau prinsip utama bagi idea reka cipta tersebut.

(d) Pendekatan mentafsir tuntutan secara terlalu kaku “too woden” harus dielakkan kerana ia gagal membezakan antara bahagian tuntutan yang penting dengan bahagian sekadar mengehadkan sempadan.

(3)   Sama ada penilaian terhadap konsep mereka cipta sesuatu reka cipta perlu dihadkan kepada tuntutan paten sahaja atau ditafsirkan berdasarkan keseluruhan spesifikasi paten serta pengetahuan umum seseorang yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan.

(a) Mahkamah memutuskan bahawa penilaian terhadap konsep reka cipta mestilah dihadkan kepada tuntutan paten sahaja dan tidak boleh ditafsirkan sebagai satu konsep umum atau samar yang tiada dalam tuntutan walaupun ia dinyatakan di bahagian lain spesifikasi paten.

(b) Adalah satu salah tanggapan asas untuk menganggap konsep reka cipta boleh wujud di luar tuntutan kerana pemilik paten tidak boleh diberikan monopoli undang-undang ke atas sesuatu konsep reka cipta yang tidak dituntutnya.

(c) Apa-apa kelebihan teknikal atau fungsi yang ingin dicapai oleh pencipta tetapi tidak dimasukkan ke dalam skop bahasa tuntutan paten tidak boleh dianggap sebahagian daripada konsep reka cipta.

(d) Berdasarkan prinsip undang-undang paten, apa yang tidak dituntut di dalam bahasa tuntutan paten adalah disifatkan sebagai telah dilepaskan kepada orang awam.

Keputusan

 

  1. Mahkamah Persekutuan menolak rayuan perayu dengan kos dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan paten perayu (MY-567) sebagai tidak sah.
  2. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa ciri-ciri yang tidak dituntut di bawah bahasa tuntutan paten seperti ciri baik pulih atau reparability tidak boleh diambil kira bagi maksud menilai kebaharuan atau langkah reka cipta kerana apa-apa yang tidak dinyatakan dalam tuntutan disifatkan sebagai telah dilepaskan kepada orang awam.
  3. Mahkamah Persekutuan mengambil kira bahawa reka cipta perayu tidak melibatkan langkah reka cipta kerana tindakan untuk menjadikan titik hubungan antara bahagian-bahagian penyumbat lantai tersebut bersifat sendat cecair adalah satu langkah yang ketara kepada orang yang berkemahiran biasa dalam seni tersebut tanpa memerlukan sebarang usaha reka cipta yang tinggi.
  4. Berdasarkan prinsip undang-undang bahawa suatu paten yang tidak sah tidak boleh dilanggar, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah-mahkamah bawahan untuk menolak tuntutan pelanggaran paten oleh perayu dan membenarkan tuntutan balas responden untuk membatalkan paten tersebut.
Dapatan Utama

 

  1. Ujian Windsurfing merupakan titik permulaan yang sesuai dalam menentukan sama ada sesuatu reka cipta mempunyai langkah reka cipta kerana ujian tersebut menyediakan rangka kerja yang membantu mahkamah menjalankan analisis secara teratur dan konsisten.
  2. Langkah-langkah dalam ujian Windsurfing tidak bersifat kaku dan tidak semestinya perlu diaplikasikan secara mekanikal dalam setiap kes. Mahkamah mempunyai ruang untuk menyesuaikan pendekatan tersebut bergantung pada fakta dan keadaan sesuatu kes.
  3. Persoalan utama dalam menentukan kewujudan langkah reka cipta adalah sama ada reka cipta tersebut ketara kepada orang yang mempunyai Kemahiran biasa dalam bidang tersebut dengan mengambil kira seni terdahulu sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 15 Akta Paten 1983.
  4. Dalam konteks undang-undang paten Malaysia, ujian Windsurfing boleh digunakan dengan pengubahsuaian tertentu dari segi terminologi bagi memastikan pendekatan tersebut selaras dengan seksyen 15 Akta Paten 1983.

Share:

More Posts

PP lwn NBAR & Satu Lagi [2025] 5 CLJ

PP lwn NBAR & Satu Lagi [2025] 5 CLJ Mahkamah Rayuan (Putrajaya) Kesalahan Penyeludupan Migran di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran

Send Us A Message