N v MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR [2017] 4 SHLR 1
Mahkamah Tinggi Syariah (Shah Alam) Permohonan Pengesahan Status Agama |
|
Fakta Kes |
1. Plaintif telah dibesarkan dalam ajaran dan adat resam agama Hindu bersama-sama ibu dan bapanya yang beragama Hindu. 2. Plaintif kemudiannya telah memeluk agama Islam kerana ingin berkahwin dengan seorang lelaki Melayu (lelaki tersebut). 3. Namun, Plaintif dan pasangannya telah bercerai selepas dua tahun berkahwin. 4. Pada 14 Disember 2012, Plaintif telah memfailkan tuntutan pengisytiharaan bahawa dia bukan lagi beragama Islam. 5. Plaintif dan lelaki tersebut telah dikurniakan seorang anak perempuan yang dijaga oleh kedua bekas ibu dan bapa mertuanya. |
Isu | 1. Sama ada Plaintif masih beragama Islam atau bukan lagi beragama Islam. |
Alasan Penghakiman | 1. Sama ada Plaintif masih beragama Islam atau bukan lagi beragama Islam
(a) Sebelum Mahkamah memutuskan status keislaman Plaintif, Mahkamah melihat kepada –
(i) Cara dan bentuk pengislaman Plaintif (ii) Bentuk amalan dan cara hidup Plaintif
(b) Di dalam kes ini, Plaintif telah mengakui bahawa dia telah mengucap dua kalimah syahadah dan disaksikan oleh kedua bekas mertuanya. Tambahan lagi, Plaintif mengakui memeluk agama Islam secara sukarela dan tidak dipaksa oleh sesiapa.
(c) Pengakuan Plaintif ini dikuatkan lagi dengan lampiran Dokumen D1 iaitu dokumen mengenai Permohonan Memeluk Agama Islam. Secara asasnya, Plaintif telah melalui proses memeluk agama Islam mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh undang-undang.
(d) Maka, tanpa syak lagi status pengislaman Plaintif adalah sah dan mengikut garis panduan Hukum Syarak dan undang-undang di Malaysia.
(e) Keduanya, Mahkamah telah menilai keterangan kedua-dua belah pihak mengenai amalan dan cara hidup Plaintif.
(f) Di dalam kes ini Plaintif telah mendakwa tidak lagi menjalankan tuntutan agama Islam. Plaintif tidak solat, tidak berpuasa, tidak membayar zakat dan tidak berniat untuk mengerjakan Haji. Malah Plaintif mendakwa tidak faham dua kalimah syahadah yang dilafazkan semasa memeluk agama Islam. Plaintif juga mendakwa memeluk agama Islam hanya kerana menuruti rayuan daripada lelaki tersebut.
(g) Plaintif juga mendakwa telah mengamalkan semula ajaran agama Hindu seperti pergi ke kuil, menyambut Ponggal, Karthikai, Thaipusam, Deepavali, Vinayagar Sathurthi dan Plaintif tidak memakan daging lembu.
(h) Plaintif juga telah menyediakan seorang saksi dalam menyokong dakwaannya itu. Saksi Plaintif tersebut mendakwa telah melihat Plaintif mengamalkan ajaran dan adat resam agama Hindu.
(i) Manakala, saksi-saksi Defendan menyatakan Plaintif telah mengamalkan ajaran agama Islam. Plaintif telah solat dan puasa pada bulan Ramadan secara sukarela. Saksi-saksi Defendan juga turut memberi didikan agama kepada Plaintif serta asas-asas fardu ain, solat, berpuasa dan sebagainya. Saksi-saksi Defendan telah bersetuju bahawa sepanjang mengenali Plaintif, Plaintif tidak pernah merungut dan mengadu untuk keluar daripada Islam.
(j) Berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, Mahkamah telah bersetuju bahawa keterangan yang dibawa oleh Plaintif tidak kuat memandangkan saksi Plaintif tidak mengetahui dengan secara terperinci kehidupan Plaintif selepas berkahwin. Bahkan saksi Plaintif tidak dapat menilai kefahaman agama Islam Plaintif memandangkan saksi Plaintif tersebut bukan beragama Islam.
(k) Mahkamah bersetuju bahawa keterangan yang dikemukakan oleh Defendan adalah mengikat Mahkamah. Ini kerana, saksi-saksi Defendan duduk bersama-sama Plaintif dan mengetahui kehidupan Plaintif selepas berkahwin dengan secara terperinci. Malah Mahkamah mendapati wujudnya qarinah (petunjuk) yang mematahkan dakwaan-dakwaan Plaintif.
(l) Kebiasaannya, selepas seseorang memeluk agama Islam pasti dia akan dibimbing. Melihatkan penerimaan Plaintif kepada agama, tidak sewajarnya Plaintif mendakwa tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sepanjang keislamannya.
(m) Selain itu, Mahkamah memutuskan Plaintif adalah kekal beragama Islam. Mahkamah juga percaya bahawa tuntutan ini dikemukakan oleh Plaintif kerana merasa kecewa ditinggalkan oleh lelaki tersebut. Menurut Mahkamah, alasan itu adalah tidak munasabah bagi Plaintif untuk keluar dari agama Islam. |
Keputusan | 1. Mahkamah menolak pemfailan pengisytiharan keluar daripada agama Islam Plaintif.
2. Mahkamah memerintahkan Plaintif untuk menjalani proses penasihatan Aqidah dan rundingcara Aqidah.
3. Mahkamah juga memerintahkan Plaintif mematuhi segala arahan yang dibuat oleh Unit Penasihatan Aqidah, Jabatan Mufti Selangor. |
Kesimpulan | 1. Kekuatan sesuatu keterangan sangat membantu pihak-pihak yang bertikai di dalam Mahkamah.
2. Proses pengislaman muallaf perlulah mematuhi prosedur yang ditetapkan supaya ia tetap terpakai dan sah di kemudian hari. |