Soalan Lazim – Hadhanah

 

 

No. Soalan Jawapan
1. Apa itu Hadhanah? Secara umumnya, hadhanah ialah hak dan tanggungjawab untuk menjaga, mengasuh, mendidik dan memastikan kebajikan anak, khususnya selepas ibu dan bapa berpisah atau bercerai.
2. Siapakah yang biasanya mempunyai keutamaan hak jagaan anak? Bagi anak yang masih kecil dan belum mencapai umur mumayyiz, ibu mempunyai keutamaan untuk menjaga anak, selagi ibu masih memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk menjaga anak tersebut.
3. Apakah keadaan yang boleh menyebabkan seorang ibu hilang hak jagaan anak? Ibu boleh hilang kelayakan untuk mendapatkan hak hadhanah dalam keadaan tertentu, antaranya jika ibu –

 (a) Berkahwin dengan lelaki selain bapa kandung anak, dan perkahwinan tersebut menjejaskan kebajikan anak;

 (b) Mempunyai tingkah laku yang boleh memberi kesan buruk atau memudaratkan anak;

 (c) Berpindah tempat tinggal dengan tujuan menghalang bapa daripada berjumpa atau menjaga anak;

 (d) Cuai atau melakukan pengabaian yang memudaratkan anak; dan/atau

 (e) Tidak lagi beragama Islam.

4. Jika ibu kehilangan hak jagaan anak, siapakah yang berhak menjaga anak selepas itu? Jika ibu hilang kelayakan untuk menjaga anak, hak jagaan boleh diberikan kepada ahli keluarga lain mengikut keutamaan yang ditetapkan di bawah peruntukan Undang-Undang. Keutamaan seterusnya biasanya diberikan kepada –

 (a) Nenek sebelah ibu hingga ke atas;

 (b) Bapa; 

 (c) Nenek sebelah bapa hingga ke atas;  

 (d) Ahli keluarga perempuan yang lain.

5. Apakah syarat-syarat untuk seseorang menjaga anak? Secara umumnya, seseorang yang ingin memohon hak jagaan anak perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

 (a) Beragama Islam;

 (b) Mempunyai keadaan mental yang baik;

 (c) Mempunyai umur dan kemampuan untuk menjaga serta mendidik anak dengan baik;

 (d) Mempunyai akhlak dan tingkah laku yang baik; dan

 (e) Tinggal di tempat yang selamat dan sesuai untuk anak.

6. Sehingga umur berapa anak biasanya berada di bawah jagaan ibu? Hak hadhanah bagi anak kecil biasanya diberikan kepada ibu sehingga anak mencapai umur mumayyiz. Secara umumnya, umur mumayyiz adalah 7 tahun bagi anak lelaki dan 9 tahun bagi anak perempuan.
7. Bagaimana dengan hak jagaan bagi anak yang melebihi umur mumayyiz? Apabila anak telah mencapai umur mumayyiz, tempoh penjagaan secara hadhanah tamat secara automatik dan hak jagaan selepas fasa ini dipanggil sebagai Kafalah. 
8. Apakah yang dimaksudkan dengan kafalah dan umur mumayyiz? Kafalah merujuk kepada hak jagaan bagi anak yang telah mencapai umur mumayyiz. Umur mumayyiz ialah peringkat perkembangan di mana anak sudah cukup matang untuk memahami keadaan sekeliling, menyatakan pandangan, dan membezakan perkara yang baik serta buruk.
9. Apabila anak telah mencapai umur mumayyiz, siapakah yang berhak mendapatkan hak kafalah? Apabila anak mencapai umur mumayyiz, hak hadhanah secara automatik tamat dan hak penjagaan beralih kepada bapa. Walau bagaimanapun, anak yang mumayyiz diberi hak untuk memilih sama ada mahu tinggal bersama ibu atau bapa, tertakluk kepada pertimbangan Mahkamah Syariah demi kebajikan dan kepentingan terbaik anak. 

10.

Bagaimana jika anak yang sudah mumayyiz menyatakan keinginan untuk kekal tinggal bersama ibu?

Jika anak yang telah mumayyiz memilih untuk kekal tinggal bersama ibu, Mahkamah Syariah secara amnya akan menghormati pilihan tersebut, selagi ibu masih memenuhi syarat kelayakan sebagai pemegang hak jagaan dan persekitaran tempat tinggal ibu disahkan selamat serta menjamin kebajikan, pendidikan dan perkembangan anak.
11. Apakah kedudukan bapa dalam hadhanah dari segi Undang-Undang? Menurut peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, bapa ialah penjaga utama dan hakiki bagi anak. Walaupun hak jagaan fizikal harian diberikan kepada ibu, bapa tetap memegang tanggungjawab untuk menyediakan nafkah makan, minum, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, perubatan, serta hak wali pernikahan bagi anak perempuan.
12. Jika saya dan suami mempunyai pertikaian mengenai hak jagaan anak, kepada siapakah perlu dirujuk? Anda boleh mendapatkan nasihat guaman daripada peguam syarie atau memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan secara rasmi.
13. Berapa lama proses tuntutan hak hadhanah anak biasanya mengambil masa? Tempoh proses bergantung kepada keadaan setiap kes. Ia boleh dipengaruhi oleh sama ada ibu dan bapa bersetuju mengenai penjagaan anak, perkara yang masih dipertikaikan dan keterangan yang perlu diberikan kepada Mahkamah.
14. Apakah perkara utama yang akan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah dalam menentukan hak jagaan anak? Secara lazimnya, Mahkamah akan mengutamakan kebajikan dan kepentingan anak. Selain itu, Mahkamah juga boleh mengambil kira keadaan ibu dan bapa serta pandangan anak jika anak sudah mencapai umur yang sesuai untuk menyatakan pendapatnya.
15. Saya dan pasangan ingin bercerai dan bersetuju untuk menyelesaikan isu hak jagaan anak secara baik. Apakah yang boleh kami lakukan? Jika ibu dan bapa telah mencapai persetujuan mengenai penjagaan anak, mereka boleh membuat persetujuan secara bertulis dan mengemukakannya kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan. Dengan cara ini, persetujuan tersebut dapat direkodkan secara rasmi. 
16. Bolehkah saya memohon hak hadhanah jika saya dan suami masih belum bercerai secara rasmi? Ya, boleh. Permohonan berkaitan hadhanah boleh dibuat walaupun pasangan masih dalam ikatan perkahwinan, khususnya jika wujud perselisihan atau keperluan untuk menentukan penjagaan harian anak. Dalam keadaan yang mendesak, pihak yang memohon juga boleh memohon perintah interim hadhanah.
17. Apakah itu perintah interim hadhanah? Perintah interim hadhanah ialah perintah hak jagaan anak secara sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dengan kadar segera sebelum kes utama diputuskan, bagi memelihara kebajikan dan kestabilan emosi serta fizikal anak.
18. Siapakah yang berhak menjaga anak yang dilahirkan di luar perkahwinan atau anak tak sah taraf? Bagi anak yang dilahirkan di luar perkahwinan atau anak tak sah taraf, hak jagaan biasanya diberikan kepada ibu dan/atau keluarga sebelah ibu.

Share:

More Posts

MAIPP v ALH & Anor [2018] 2 ShLR 15

  MAIPP v ALH & Anor [2018] 2 ShLR 15 Mahkamah Tinggi Malaya (Pulau Pinang) Pengesahan Wakaf Menurut Undang-Undang Islam Fakta Plaintif adalah Majlis Agama

AHH v SK & Ors [2017] 2 ShLR 13

AHH v SK & Ors [2017] 2 ShLR 13 Mahkamah Rayuan Syariah (Shah Alam) Bidang Kuasa Mahkamah bagi Permohonan Pembatalan Sijil Faraid Fakta Kes ini

Send Us A Message