YH v NY & KMI [2019] 1 ShLR 43
Mahkamah Tinggi Syariah (Shah Alam)
Pembuktian Kewujudan Perkahwinan
|
Fakta
|
-
Plaintif (YH) ialah bapa kandung sekali gus wali mujbir kepada Defendan Pertama (NY), manakala Defendan Kedua (KMI) ialah lelaki yang dikahwini oleh Defendan Pertama.
-
Pada 20 Ogos 2013, Defendan Pertama dan Defendan Kedua telah berkahwin di Wilayah Songkhla, Thailand secara melarikan diri daripada wali mujbir yang masih ada dan tanpa persetujuan Plaintif.
-
Berikutan bantahannya terhadap perkahwinan tersebut, Plaintif memfailkan permohonan faraq nikah di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 19 September 2013 melalui Saman Tahun 2013.
-
Pada 13 Ogos 2014, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam memutuskan bahawa Mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini. Mahkamah mendapati Defendan Kedua masih berada dalam tempoh iddah perceraian dengan isteri pertamanya (NJA) ketika berkahwin dengan Defendan Pertama, sekali gus menjadikan perkahwinan itu sebagai perkahwinan poligami yang wajar dirafa’kan ke Mahkamah Tinggi Syariah menurut Arahan Amalan No 9 Tahun 2007.
-
Kes ini kemudiannya dirafa’kan ke Mahkamah Tinggi Syariah dan didaftarkan di bawah nombor saman baharu, iaitu Saman pada tahun 2014.
-
Defendan Pertama dan Defendan Kedua gagal hadir ke prosiding walaupun saman, penyataan tuntutan dan waran tangkap telah dikeluarkan beberapa kali. Justeru itu, perbicaraan diteruskan dengan keterangan Plaintif dan seorang saksi, iaitu N bt Ab H (SP1).
-
Bagi membuktikan kewujudan perkahwinan antara Defendan-Defendan, Plaintif mengemukakan tiga dokumen, iaitu—
-
Catatan Keterangan Nikah Khusus Dengan Kadhi Syarie Majlis Agama Islam Wilayah Sokhla;
-
Surat Mengesahkan Pernikahan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla kepada Konsulat Jeneral Malaysia, Songkhla; dan
-
Surat Pengesahan Perkahwinan di Selatan Thailand yang dikeluarkan oleh Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia bertarikh 20 Ogos 2013.
-
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan kes ini pada 11 Januari 2016.
|
Isu-Isu
|
-
Sama ada Mahkamah Tinggi Syariah berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan faraq nikah ini.
-
Sama ada terdapat bukti mengenai kewujudan perkahwinan antara Defendan Pertama dan Defendan Kedua.
|
Alasan Penghakiman
|
Isu Pertama: Sama ada Mahkamah Tinggi Syariah berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan faraq nikah ini.
-
Mahkamah berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan faraq nikah ini. Kuasa tersebut bersumberkan subperenggan 61(3)(b)(i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (“EPAINS 2003”) yang memperuntukkan bidang kuasa mal Mahkamah Tinggi Syariah ke atas perkara perkahwinan, perceraian dan pemisahan kehakiman (faraq).
-
Memandangkan perkahwinan Defendan-Defendan dikategorikan sebagai poligami, Arahan Amalan No 9 Tahun 2007 terpakai dan kes ini wajar dirafa’kan daripada Mahkamah Rendah Syariah ke Mahkamah Tinggi Syariah. Arahan Amalan tersebut dibaca bersama subseksyen 12(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (“EUUKINS 2003”) yang memberi kuasa kepada Hakim untuk mengesahkan sesuatu perkahwinan yang diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II dan membuat keputusan mengenai kesahihannya bagi tujuan pendaftaran atas permohonan mana-mana pihak.
-
Arahan Amalan No 9 Tahun 2007 turut menggariskan langkah-langkah yang Hakim hendaklah ambil dalam permohonan sebegini, antaranya memastikan afidavit menyatakan status perkahwinan sama ada poligami atau sebaliknya, memastikan pemohon mengemukakan surat perakuan nikah yang sah dan diperakui oleh pihak berkuasa berkenaan, memerintahkan pengemukaan dokumen sokongan seperti pasport dan visa bagi menyakinkan kesahihan perakuan nikah dan memanggil wali, jurunikah atau saksi-saksi untuk memberikan keterangan sekiranya Hakim meragui kebenaran kenyataan dalam surat perakuan tersebut. Sekiranya pemohon gagal berbuat demikian, Hakim hendaklah menentukan kesahihan perkahwinan berdasarkan peruntukan qarinah atau melalui amalan sumpah.
-
Berdasarkan kad pengenalan dan alamat Plaintif, Mahkamah turut berpuas hati bahawa Plaintif merupakan penduduk yang bermastautin di Negeri Selangor selaras dengan kehendak seksyen 2 dan 4 EUUKINS 2003.
-
Ketidakhadiran Defendan-Defendan tidak menghalang Mahkamah daripada meneruskan perbicaraan. Menurut perenggan 121(1)(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (“ETMMSNS 2003”), Mahkamah boleh mendengar dan memutuskan sesuatu tindakan tanpa kehadiran defendan tertakluk kepada bukti yang wajar. Kedudukan ini bersandarkan kitab I’anah al-Talibin yang mengharuskan penghakiman ke atas pihak yang ghaib atau yang sengaja menyembunyikan diri dan mengingkari panggilan Mahkamah secara degil, dengan syarat tuntutan itu disertai keterangan. Pendirian yang sama ditegaskan oleh Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah dan diperkukuhkan oleh firman Allah SWT dalam Surah Sad ayat 26 yang menuntut keputusan dibuat dengan adil. Mahkamah turut merujuk kepada kes-kes terdahulu yang memutuskan perkara serupa, antaranya UNAA lwn NHAH JH 29 (2) dan RAG lwn AAY JH XXI (I).
Isu Kedua: Sama ada terdapat bukti mengenai kewujudan perkahwinan antara Defendan Pertama dan Defendan Kedua.
-
Tumpuan Mahkamah beralih kepada kebolehterimaan tiga dokumen perkahwinan yang dikemukakan oleh Plaintif. Menurut seksyen 57 (a)(iii) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (“EKMSNS 2003”), dokumen-dokumen tersebut boleh dikategorikan sebagai dokumen awam walaupun dikeluarkan oleh badan dan kementerian negara asing kerana ia berkaitan rekod dan daftar perkahwinan orang Islam yang dijalankan di sana. Walau bagaimanapun, Mahkamah hanya boleh menerima dan memakai dokumen sedemikian setelah kesahihannya diakui terlebih dahulu.
-
Tatacara pembuktian dokumen awam negara asing dikawal oleh perenggan 61 (1)(e) EKMSNS 2003 yang menetapkan dua elemen. Pertama, dokumen itu dikemukakan sama ada melalui dokumen asal atau salinan yang diperakui oleh penyimpannya yang sah. Kedua, dokumen itu hendaklah disertakan suatu perakuan yang dimeterai dengan meterai notari awam atau pegawai Konsul Malaysia bahawa salinan tersebut diperakui dengan sewajarnya oleh pegawai yang menjaganya.
-
Mahkamah mendapati ketiga-tiga dokumen perkahwinan gagal dibuktikan kesahihannya menurut kedua-dua elemen tersebut. Dengan itu, Plaintif gagal membuktikan bahawa wujudnya perkahwinan antara Defendan Pertama dan Defendan Kedua. Kegagalan ini diperburuk oleh ketidakhadiran pihak defendan yang menyebabkan Mahkamah tidak dapat memperoleh keterangan mereka berkaitan dengan butiran perkahwinan yang didakwa.
-
Mahkamah menegaskan bahawa beban pembuktian terletak pada Plaintif selaku pihak yang mendakwa menurut seksyen 72 dan 73 EKMSNS 2003, selaras dengan kaedah keterangan atas yang mendakwa dan sumpah atas yang menafikan. Apabila Plaintif gagal memikul beban tersebut, tuntutannya menjadi tidak jelas dan terdedah kepada penolakan.
-
Walau bagaimanapun, Mahkamah berpandangan bahawa tuntutan yang tidak jelas tidak wajar ditolak serta merta. Merujuk kepada kitab Mu’in al-Hukkam karangan al-Tarabulsiy, apabila sesuatu perkara yang dikemukakan mengandungi kemusykilan, Hakim hendaklah memerintahkan pihak-pihak memperjelaskannya sehingga hilang kesamaran. Pendekatan ini selaras dengan konsep dakwaan fasid sebagaimana dihuraikan dalam kitab Nizam al-Qadha’ fi al-Syariah al-Islamiyyah, iaitu pendakwa diberi ruang memperbetulkan dakwaannya; sekiranya dapat diperbetulkan, Hakim boleh menerimanya. Penolakan tuntutan fasid juga tidak mengugurkan hak pendakwa untuk memfailkan semula dakwaannya setelah kecacatan diperbetulkan supaya menjadi sah dan boleh diterima.
-
Mahkamah seterusnya menjelaskan bahawa faraq merupakan pemisahan kehakiman, maka kewujudan perkahwinan sebagai pokok perkara perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum sesuatu pemisahan dapat diperintahkan, kerana mesti wujud penyatuan sebelum berlakunya pemisahan. Hanya setelah kewujudan perkahwinan terbukti, barulah Mahkamah meneliti satu persatu rukun nikah yang ditetapkan oleh Hukum Syarak. Sandaran dibuat kepada kitab Mughni al-Muhtaj, al-Fiqh al-Manhaji dan Bujairimi ‘Ala al-Khatib berkaitan rukun nikah yang lima, iaitu sighah, isteri, dua orang saksi lelaki, suami dan wali.
-
Mahkamah tidak menafikan kelayakan Plaintif selaku wali mujbir untuk memohon faraq. Akan tetapi, pada peringkat ini Plaintif gagal membuktikan kewujudan perkahwinan yang hendak difaraqkan, justeru permohonan tidak dapat diteruskan dan Plaintif terbuka untuk memfailkannya semula sekiranya memperoleh keterangan yang lebih jelas dan menyakinkan.
|
Keputusan
|
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam setelah meneliti dan berpuas hati dengan tuntutan Plaintif bertarikh 19 September 2013, keterangan Plaintif dan saksinya serta hujahan bertulis berserta autoriti-autoriti yang dikemukakan, Mahkamah memutuskan dan memerintahkan seperti berikut:
-
Mahkamah tidak meluluskan permohonan Plaintif berdasarkan subperenggan 61 (3)(b)(i) EPAINS 2003;
-
Mahkamah menolak permohonan Plaintif untuk memfaraqkan perkahwinan antara Defendan Pertama dan Defendan Kedua; dan
-
Plaintif dibenarkan memfailkan semula permohonan ini sekiranya memperoleh bukti yang lebih jelas dan menyakinkan selepas ini.
|
Dapatan Utama
|
-
Dokumen awam yang dikeluarkan oleh negara asing perlu dibuktikan kesahihannya menurut perenggan 61(1)(e) EKMSNS 2003 sebelum boleh diterima dan dipakai oleh Mahkamah, iaitu melalui dokumen asal atau salinan yang diperakui oleh penyimpanannya yang sah berserta perakuan yang dimeterai dengan meterai notari awam atau pegawai Konsul Malaysia. Kegagalan memenuhi kedua-dua elemen ini menyebabkan dokumen tidak boleh diterima sebagai bukti kewujudan perkahwinan, sekalipun ia tergolong sebagai dokumen awam di bawah seksyen 57(a)(iii) enakmen yang sama.
-
Dalam permohonan faraq nikah, kewujudan perkahwinan sebagai pokok perkara mesti dibuktikan terlebih dahulu sebelum sesuatu perintah pemisahan kehakiman boleh dibuat kerana faraq merupakan pemisahan yang hanya berlaku setelah wujudnya penyatuan. Tanpa pembuktian perkahwinan, Mahkamah tidak akan sampai kepada peringat meneliti rukun-rukun nikah.
-
Beban pembuktian dalam tuntutan sebegini terletak pada Plaintif selaku pihak yang mendakwa menurut seksyen 72 dan 73 EKMSNS 2003. Kegagalan memikul beban tersebut menjadikan tuntutan tidak jelas dan terdedah kepada penolakan.
-
Tuntutan yang fasid atau tidak jelas tidak ditolak serta-merta. Pendakwa diberi ruang memperbetulkan dakwaannya dan penolakan tuntutan sedemikian tidak mengugurkan haknya untuk memfailkan semula permohonan apabila memperoleh keterangan yang lebih jelas dan menyakinkan.
|