LSO lwn CMHCB [2025] SLRHU 8

LSO lwn CMHCB [2025] SLRHU 8

Mahkamah Tinggi Syariah

Tuntutan Mut’ah

FAKTA KES

  1. Kes ini melibatkan tuntutan mut’ah yang difailkan oleh Plaintif selaku bekas isteri terhadap Defendan selaku bekas suami selepas perceraian antara pihak-pihak.

  2. Plaintif dan Defendan telah bernikah pada 26 November 2016 di Kuala Lumpur dan telah dikurniakan seorang cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan.

  3. Selepas tiga (3) tahun enam (6) bulan tempoh perkahwinan, Defendan telah melafazkan talaq satu pada 17 Jun 2020 dengan kebenaran Mahkamah Rendah Syariah Petaling tanpa bayaran mut’ah kepada plaintif.

  4. Plaintif telah membawa tuntutan mut’ah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebanyak RM1,000,000.00 berasaskan dakwaan bahawa Plaintif telah menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dengan penuh ketaatan dan pengorbanan.

  5. Semasa perceraian, Defendan bekerja sebagai seorang pegawai perubatan yang masih menjalani housemanship di Hospital Daerah Jempol, Negeri Sembilan dengan pendapatan bulanan sebanyak RM4,547.00 sebulan.

  6. Plaintif turut mendakwa bahawa Defendan mempunyai pendapatan tambahan sebagai public figure, pengacara dan personaliti televisyen serta pengusaha klinik swasta.

  7. Perbicaraan telah dijalankan dengan keterangan daripada Plaintif dan seorang saksi Plaintif serta keterangan Defendan dan seorang saksi Defendan.

ISU-ISU

  1. Sama ada plaintif sebagai seorang perempuan yang telah diceraikan dengan talaq satu dengan kebenaran Mahkamah berhak menuntut mut’ah daripada Defendan di bawah seksyen 58 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (“EUUKIS 2003”).

  2. Sama ada kadar mut’ah hendaklah ditetapkan dengan mengambil kira kemampuan kewangan Defendan, kedudukan sosial dan perwatakan Plaintif, tempoh perkahwinan serta tanda aras minimum 30 dirham yang diperakukan oleh kitab-kitab fiqh, termasuk penukaran tanda aras tersebut kepada nilai ringgit berdasarkan harga emas pada tarikh perceraian.

ALASAN PENGHAKIMAN

Isu Pertama: Sama ada plaintif sebagai seorang perempuan yang telah diceraikan dengan talaq satu dengan kebenaran Mahkamah berhak menuntut mut’ah daripada Defendan di bawah seksyen 58 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (“EUUKIS 2003”).

  1. Mahkamah merujuk kepada seksyen 58 EUUKIS 2003 yang memperuntukkan bahawa seorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah daripada bekas suaminya di Mahkamah.

  2. Mahkamah merujuk kepada kes NB lwn. AS, JH JLD1 BHG2 63 di mana hakim di dalam kes tersebut telah menyatakan bahawa mut’ah adalah pemberian yang diwajibkan oleh Hukum Syarak jika perceraian yang berlaku bukan dari sebab isteri kerana keaiban yang ada pada dirinya.

  3. Dalam kes ini, Mahkamah mendapati Plaintif tidak pernah diisytiharkan nusyuz dan perceraian berlaku melalui talaq satu yang dilafazkan oleh Defendan dengan kebenaran Mahkamah.

  4. Mahkamah memutuskan bahawa Plaintif layak dan berhak untuk menerima mut’ah daripada bekas suami.

 

Isu Kedua: Sama ada kadar mut’ah hendaklah ditetapkan dengan mengambil kira kemampuan kewangan Defendan, kedudukan sosial dan perwatakan Plaintif, tempoh perkahwinan serta tanda aras minimum 30 dirham yang diperakukan oleh kitab-kitab fiqh, termasuk penukaran tanda aras tersebut kepada nilai ringgit berdasarkan harga emas pada tarikh perceraian.

  1. Dalam menentukan kadar mut’ah seorang bekas isteri, Mahkamah telah merujuk kepada kitab I’anah al-Talibin yang mana ia menyatakan seorang hakim hendaklah mengambil kira kesenangan dan kesusahan suami serta sifat dan keturunan bekas isteri.

  2. Mahkamah juga merujuk kes-kes terdahulu seperti kes FS lwn. MNO [2004] SLRHU 9 dan kes RI lwn. MRHA [1999] SLRHU 8 dan membuat kesimpulan bahawa penentuan kadar mut’ah boleh dilihat dan diambil kira dari sudut-sudut yang berikut:

      1. Kemampuan Suami;
      2. Kedudukan status isteri; dan
      3. Tempoh perkahwinan dan kesengsaraan isteri.
  3. Mahkamah menerima fakta bahawa pendapatan Defendan sebanyak RM4,547.00 sebulan adalah pendapatan yang konsisten setiap bulan pada masa perceraian berlaku berdasarkan dokumen pendapatan yang dikemukakan.

  4. Mahkamah tidak menerima pendakwaan Plaintif bahawa Defendan mempunyai pendapatan tambahan sebagai public figure, pengacara dan personaliti televisyen serta pengusaha klinik swasta. Hal ini kerana Plaintif gagal mengemukakan dokumen sokongan bagi membuktikan jumlah pendapatan tersebut.

  5. Oleh itu, Mahkamah mendapati tuntutan mut’ah sebanyak RM1,000,000.00 yang dipohon oleh Plaintif adalah terlalu tinggi dan tidak munasabah berdasarkan kemampuan sebenar Defendan pada masa perceraian.

  6. Dari segi kedudukan Plaintif pula, Mahkamah melihat pada perwatakan Plaintif dan juga keadaan atau kedudukan status keluarga Plaintif.

  7. Mahkamah mendapati bahawa Plaintif bukan daripada golongan bangsawan atau kenamaan. Tiada bukti dokumentasi yang menunjukkan bahawa Plaintif mempunyai status sosial yang tinggi atau kekayaan luar biasa.

  8. Mahkamah juga mengambil kira faktor tempoh perkahwinan dan kesengsaraan Plaintif.

  9. Tempoh perkahwinan pihak-pihak adalah selama tiga (3) tahun enam (6) bulan, bermula pada 26 November 2016 sehingga perceraian berlaku pada 17 Jun 2020. Mahkamah mendapati tempoh tersebut sebagai satu fasa penting dalam kehidupan perkahwinan Plaintif, memandangkan terdapat seorang anak hasil perkahwinan tersebut.

  10. Mahkamah menggunakan kaedah yang dirujuk di dalam kitab I’aanah al-Talibin yang menetapkan kadar mut’ah disunatkan tidak kurang daripada 30 dirham.

  11. Mahkamah juga merujuk kepada pandangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu dalam mengenal pasti bahawa 30 dirham emas adalah bersamaan dengan 100.8 gram emas.

  12. Pada tarikh perceraian iaitu 17 Jun 2020, harga emas yang dirujuk oleh Mahkamah daripada Bank Negara Malaysia ialah RM276.68 bagi satu gram.

  13. Dengan itu, Mahkamah mengira 100.8 gram emas × RM276.68 bersamaan RM27,903.74.

  14. Mahkamah memutuskan bahawa nilai RM27,903.74 tersebut merupakan kadar minimum mut’ah berdasarkan tanda aras 30 dirham yang dihuraikan dalam sumber fiqh.

  15. Mahkamah turut memutuskan bahawa harga emas pada tarikh perceraian hendaklah digunakan kerana hak mut’ah wujud apabila perceraian berlaku dan bukannya pada tarikh penghakiman.

  16. Mahkamah berpendapat bahawa penggunaan harga emas pada tarikh perceraian adalah lebih adil kerana ia mengambil kira keadaan ekonomi dan kemampuan pihak-pihak pada ketika hak mut’ah mula wujud.

  17. Setelah mengambil kira kemampuan Defendan, kedudukan dan perwatakan Plaintif serta tempoh perkahwinan, Mahkamah mendapati jumlah RM27,903.74 adalah kadar mut’ah yang wajar dan patut.

KEPUTUSAN

  1. Mahkamah meluluskan tuntutan mut’ah Plaintif berdasarkan seksyen 58 EUUKIS 2003.

  2. Mahkamah memerintahkan Defendan membayar mut’ah kepada Plaintif sebanyak RM27,903.74.

  3. Kos tindakan dan guaman ditanggung oleh masing-masing.

DAPATAN UTAMA

  1. Penentuan kadar mut’ah hendaklah dibuat berdasarkan budi bicara dan ijtihad hakim dengan mengambil kira keseluruhan keadaan pihak-pihak, termasuk kemampuan kewangan suami, kedudukan dan latar belakang isteri, sifat dan perwatakan isteri, tempoh perkahwinan serta pengorbanan dan sumbangan isteri sepanjang perkahwinan.

  2. Mahkamah boleh menggunakan tanda aras 30 dirham sebagai panduan dalam menentukan kadar minimum mut’ah dengan menukarkannya kepada nilai emas sebagai panduan dalam menentukan jumlah mut’ah yang wajar.

Share:

More Posts

KK @ AT v MZMZ [2024] 2 ShLR 38

KK @ AT v MZMZ [2024] 2 ShLR 38 Mahkamah Rayuan Syariah (Shah Alam) Notis Tunjuk Sebab Fasidah dalam Pengkomitan Perintah Hadhanah Fakta Perayu (ibu)

YH v NY & KMI [2019] 1 ShLR 43

YH v NY & KMI [2019] 1 ShLR 43 Mahkamah Tinggi Syariah (Shah Alam) Pembuktian Kewujudan Perkahwinan Fakta Plaintif (YH) ialah bapa kandung sekali gus

Send Us A Message