RBAI v SBPA & Anor [2024] 3 ShLR 63

 

RBAI v SBPA & Anor [2024] 3 ShLR 63

Mahkamah Rayuan Syariah (Shah Alam)

Pengesahan Wasiat

Fakta

  1. Perayu adalah bekas isteri kepada Si Mati yang telah bernikah pada 4 Ogos 1991 dan bercerai pada 9 November 2009 manakala Responden-Responden terdiri daripada adik-beradik seibu sebapa dan anak-anak Si Mati yang merupakan ahli waris yang berhak ke atas harta pusaka Si Mati.

  2. Si Mati telah meninggal dunia pada 19 November 2017 dan meninggalkan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada ahli waris.

  3. Sebelum kematiannya, Si Mati telah membuat wasiat bertulis bertarikh 2 Januari 2008 yang disaksikan oleh dua orang saksi lelaki Islam, namun wasiat tersebut tidak didaftarkan dengan Amanah Raya Berhad.

  4. Wasiat tersebut mengandungi ikrar hutang Si Mati kepada Perayu berjumlah RM10,000,000 serta hasrat Si Mati untuk membahagikan harta sepencarian bersama Perayu dengan nisbah 50:50.

  5. Perayu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengesahkan wasiat tersebut sebagai sah, mengesahkan ikrar hutang sebagai wajib dilaksanakan sebelum pembahagian harta pusaka serta memohon dilantik sebagai wasi.

  6. Responden-Responden selaku ahli waris menentang permohonan Perayu dengan meragui kesahihan dokumen wasiat dan menafikan kewujudan hutang Si Mati kepada Perayu.

  7. Semasa prosiding, peguam Responden 1,2,3 dan 4 telah mengemukakan notis pemeriksaan balas terhadap Perayu dan saksi-saksinya, namun Hakim Bicara telah mengabaikannya dan terus membuat keputusan.

  8. Hakim Bicara memutuskan wasiat Si Mati yang melebihi kadar 1/3 harta pusaka adalah tidak sah menurut Hukum Syarak dan memerintahkan harta pusaka dibahagikan mengikut faraid kepada ahli waris yang berhak.

  9. Tidak berpuas hati, Perayu memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah atas alasan Hakim Bicara terkhilaf kerana gagal menyelesaikan soal harta sepencarian dan hutang terlebih dahulu, gagal menilai keabsahan dokumen wasiat serta mengabaikan pemeriksaan balas yang merupakan ketakaturan bersifat fatal.

Isu-Isu

  1. Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila memerintahkan pembahagian harta pusaka mengikut faraid tanpa terlebih dahulu menyelesaikan soal harta sepencarian dan hutang Si Mati mengikut tertib yang ditetapkan oleh Hukum Syarak dan subseksyen 26(3) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) pindaan 2016 (“EWOIS”).

  2. Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila gagal menilai keabsahan dokumen wasiat yang dipertikaikan terlebih dahulu sebelum menghalusi kandungannya sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 4 EWOIS 2016.

  3. Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila mengabaikan notis pemeriksaan balas yang dikemukakan oleh peguam Responden terhadap Perayu dan saksi-saksinya di bawah seksyen 118 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (“ETMMSS”).

Alasan Penghakiman

Isu Pertama: Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila memerintahkan pembahagian harta pusaka mengikut faraid tanpa terlebih dahulu menyelesaikan soal harta sepencarian dan hutang Si Mati mengikut tertib yang ditetapkan oleh Hukum Syarak dan subseksyen 26(3) EWOIS 2016.

  1. Mahkamah memutuskan bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf apabila memerintahkan pembahagian harta pusaka mengikut faraid tanpa terlebih dahulu menyelesaikan soal harta sepencarian dan hutang Si Mati kepada Perayu.

  2. Mahkamah telah merujuk kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa ayat 11 yang menjadi dasar kepada pembahagian harta pusaka dalam Islam. Ayat tersebut dengan jelas menyatakan bahawa pembahagian harta pusaka hendaklah dilaksanakan sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh Si Mati dan setelah dibayarkan hutangnya. Berdasarkan firman tersebut, pelunasan hutang dan wasiat adalah kewajipan yang mesti diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian faraid dilakukan.

  3. Mahkamah dalam perkara itu turut merujuk kepada Mughni al-Muhtaj karangan Syamsuddin Muhammad bin Ahmad Asy-Syirbini yang menetapkan tertib bagi pengurusan harta pusaka adalah seperti berikut:

    1. Pembiayaan persediaan dan pengurusan jenazah Si Mati;

    2. Pelunasan hutang-hutang Si Mati;

    3. Pelaksanaan wasiat Si Mati;

    4. Pembahagian harta pusaka kepada ahli waris mengikut faraid.

  4. Mahkamah dalam penelitiannya mendapati walaupun Hakim Bicara secara tersiratnya mengiktiraf hasrat Si Mati berkenaan harta sepencarian dan ikrar hutang sebanyak RM10,000,000 tetapi beliau bertindak bercanggah apabila terus memerintahkan pembahagian harta pusaka tersebut mengikut faraid tanpa menyatakan langsung berkenaan soal harta sepencarian dan hutang Si Mati kepada Perayu yang sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu.

  5. Mahkamah berpendirian bahawa hutang Si Mati tidak wajar dikaitkan dengan had kadar 1/3 kerana ia akan memudaratkan hak Si Mati dan pemiutang.

  6. Subseksyen 26(3) EWOIS 2016 memperuntukan bahawa sesuatu wasiat yang dibuat oleh orang yang berhutang hanya akan terlaksana setakat harta pusaka yang berbaki setelah dijelaskan segala hutangnya. Berdasarkan peruntukan ini, pelunasan hutang mestilah didahulukan sebelum wasiat dilaksanakan.

  7. Mahkamah jugak turut merujuk kepada al-Ahkam al-Tarikat wa al-Mawarith oleh al-Imam Muhammad Abu Zahrah yang menegaskan bahawa jumhur fuqaha tidak membezakan antara hutang ketika sihat dan hutang ketika sakit kerana ikrar hutang adalah hujah yang mesti dilaksanakan dan tidak boleh diabaikan melainkan jika terbukti penolakannya. Hak pemiutang adalah sabit dengan kematian penghutang dan hutang tersebut adalah hak fardu yang tidak boleh dipandang ringan.

Isu Kedua: Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila gagal menilai keabsahan dokumen wasiat yang dipertikaikan terlebih dahulu sebelum menghalusi kandungannya sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 4 EWOIS 2016.

  1. Mahkamah telah memutuskan bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf apabila terus menghalusi kandungan wasiat tanpa terlebih dahulu menilai keabsahan dokumen wasiat yang dipertikaikan.

  2. Mahkamah mendapati Hakim Bicara langsung tidak mengulas berkaitan soal keabsahan penerimaan dokumen wasiat sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 4 EWOIS 2016 yang memperuntukan seperti berikut:

    1. Tiada sebarang tuntutan berkaitan keesahan wasiat boleh didengar oleh Mahkamah melainkan ia disokong oleh dokumen-dokumen yang ditulis atau ditandatangani oleh pewasiat.

    2. Sekiranya terdapat halangan yang besar menghalang pengemukaan keterangan dokumentar maka ia boleh dibuktikan melalui keterangan oleh dua orang saksi.

  3. Keperluan pembuktian ini adalah penting memandangkan wasiat Si Mati tidak didaftarkan dengan Amanah Raya Berhad walaupun terdapat catatan bahawa ia disediakan oleh institusi tersebut.

  4. Mahkamah berpendapat bahawa memandangkan terdapat isu harta sepencarian dan ikrar hutang yang berkait rapat dengan harta pusaka Si Mati, Mahkamah perlu melihat dalam konteks yang lebih luas dan persoalan keabsahan dokumen wasiat mestilah diputuskan terlebih dahulu sebelum kandungannya dihalusi secara keseluruhan.

  5. Mahkamah turut merujuk kepada Raudah al-Talibin karangan Imam an-Nawawi yang menyatakan bahawa al-Wisoyah iaitu pengamanahan adalah disunatkan dalam perkara mempertahankan hak yang wajib, membayar hutang, melaksanakan pembahagian wasiat dan urusan menjaga kanak-kanak.

Isu Ketiga: Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila mengabaikan notis pemeriksaan balas yang dikemukakan oleh peguam Responden terhadap Perayu dan saksi-saksinya di bawah seksyen 118 ETMMSS 2003.

  1. Mahkamah memutuskan bahawa tindakan Hakim Bicara mengabaikan notis pemeriksaan balas yang dikemukakan oleh peguam Responden merupakan suatu ketakaturan yang bersifat fatal yang menjejaskan kesahihan keputusan yang telah dibuat.

  2. Mahkamah mendapati peguam Responden 1 hingga 4 telah mengemukakan notis pemeriksaan balas terhadap Perayu dan saksi-saksinya berdasarkan seksyen 118 ETMMSS 2003. Namun, Hakim Bicara telah mengabaikan notis tersebut dan terus membuat keputusan.

  3. Subseksyen 118(3) ETMMSS 2003 dengan jelas memperuntukan bahawa mana-mana pihak yang berhasrat mempertikaikan kandungan afidavit, boleh menyampaikan notis hasrat untuk memeriksa balas deponen dan sekiranya deponen tidak dikemukakan untuk pemeriksaan balas, Mahkamah hendaklah menolak atau tidak mengambil kira afidavit tersebut kecuali dalam hal keadaan khas.

  4. Subseksyen 118(4) dalam Enakmen yang sama turut memperuntukan bahawa Mahkamah boleh atas kehendaknya sendiri, menghendaki kehadiran mana-mana deponen untuk diperiksa mengenai afidavitnya dan jika dia tidak hadir, maka Mahkamah boleh menolak atau tidak mengambil kira afidavit tersebut.

  5. Mahkamah jugak turut merujuk kepada artikel bertajuk Takat Pemakaian Akta Keterangan 1950 oleh Ramalinggam Rajamanickam et al. yang menjelaskan bahawa apabila afidavit dikemukakan sebagai keterangan yang releven di Mahkamah, pembuat afidavit mestilah tertakluk kepada pemeriksaan balas.

  6. Mahkamah menegaskan bahawa pemeriksaan balas adalah sangat penting untuk dibenarkan sebelum sebarang keputusan berkaitan keabsahan dokumen wasiat itu dibuat bagi memberi peluang kepada pihak yang mempertikaikan wasiat untuk mencabar keterangan yang dikemukakan oleh Perayu dan saksi-saksinya.

Keputusan

  1. Mahkamah Rayuan Syariah telah memutuskan bahawa perintah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam kes Saman No. 10100-039-0176-2019 bertarikh 8 September 2021 dibatalkan.

  2. Kes dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk meneruskan prosiding bagi pemeriksaan balas Perayu dan saksi-saksinya.

Dapatan Utama

  1. Pengurusan harta pusaka Si Mati hendaklah diselesaikan mengikut aturan tertib yang telah ditetapkan Hukum Syarak dan peruntukan subseksyen 26(3) EWOIS 2016 iaitu dilunaskan hak-hak yang ditinggalkan Si Mati kepada ahli waris sebelum terus ke pembahagian harta pusaka secara faraid.

  2. Hutang Si Mati tidak wajar dikaitkan dengan had kadar wasiat 1/3 kerana ia memudaratkan hak si mati dan pemiutang.

  3. Persoalan keabsahan dokumen wasiat yang dipertikaikan mestilah diputuskan terlebih dahulu oleh Mahkamah sebelum kandungan wasiat dihalusi secara keseluruhan.

  4. Pengabaian pemeriksaan balas oleh Hakim Bicara terhadap notis yang dikemukan oleh peguam Responden berdasarkan seksyen 118 ETMMSS 2003 adalah suatu ketakaturan yang bersifat fatal yang menjejaskan kesahihan keputusan Mahkamah.

Penghakiman penuh boleh didapati daripada Lexisadvance.

 

Share:

More Posts

NI v NZS & Ors [2019] 1 ShLR 32

  NI v NZS & Ors [2019] 1 ShLR 32 Mahkamah Rayuan Syariah Harta Sepencarian Menurut Undang-Undang Islam Fakta Kes ini melibatkan tuntutan Harta Sepencarian

Send Us A Message