MFAR v SFBA [2024] 3 ShLR 76

MFAR v SFBA [2024] 3 ShLR 76

Mahkamah Rayuan Syariah (Shah Alam)

Persoalan Undang-Undang Berkepentingan Awam dalam Penceraian Ta’liq Talak Tiga

Fakta

  1. Pemohon (suami) dan Responden (isteri) telah berkahwin pada 6 Februari 2015 di Melaka. Hasil perkahwinan tersebut, pihak-pihak dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu AFMF dan MAFMF.

  2. Pada 10 November 2018, Pemohon melafazkan ta’liq terhadap Responden di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah, dengan lafaz “Kau Keluar Rumah Jatuh Talak Tiga”.

  3. Berikutan kejadian tersebut, Pemohon memfailkan tuntutan pengesahan lafaz ta’liq di luar Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat melalui Saman tahun 2019. Pada 29 April 2019, Hakim Mahkamah Rendah Syariah mensabitkan bahawa syarat ta’liq telah sempurna dan jatuh talaq tiga berjumlah tiga talaq secara ba’in kubra mulai 10 November 2018.

  4. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Pemohon memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 26 Ogos 2020 melalui kes Rayuan Mal tahun 2020 dengan mengemukakan empat alasan rayuan yang antaranya menyentuh kekhilafan Hakim Bicara dalam menerima versi lafaz ta’liq, kegagalan mengambil kira niat dan syarat di sebalik ta’liq serta pengakuan Pemohon bahawa beliau tidak mengetahui sebab dan akibat talaq tiga.

  5. Pada 21 Mac 2022, Mahkamah Tinggi Syariah menolak rayuan Pemohon dan mengekalkan serta memperkukuhkan penghakiman Mahkamah Rendah Syariah bertarikh 29 April 2019.

  6. Masih tidak berpuas hati, Pemohon memfailkan permohonan semasa untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah melalui notis permohonan dan afidavit bertarikh 18 April 2022 disusuli afidavit tambahan pada 16 Jun 2022. Responden melalui afidavit jawapan bertarikh 27 Jun 2022, mengakui dan bersetuju dengan fakta-fakta dalam afidavit Pemohon. Kedua-kedua pihak memfailkan hujahan serentak pada 24 Ogos 2022.

  7. Alasan-alasan yang dikemukakan Pemohon bagi permohonan kebenaran merayu ialah—

    1. Pertama: Pemohon dan Responden masih mahu hidup bersama sebagai suami isteri dan hasrat ini tidak akan tercapai jika kebenaran tidak diberikan;

    2. Kedua: Pemohon khuatir perceraian akan memberi kesan lebih buruk kepada keluarga sekiranya rayuan tidak dapat diteruskan; dan

    3. Ketiga: Pemohon dan Responden mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian kedua-dua ibu bapa.

  8. Permohonan ini didengar oleh Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam dan diputuskan pada 1 November 2022.

Isu-Isu

  1. Sama ada wujudnya persoalan undang-undang berkepentingan awam yang timbul semasa perjalanan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah sebagaimana dikehendaki di bawah subseksyen 67(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (“EPAINS 2003”) bagi membolehkan kebenaran merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah diberikan.

Alasan Penghakiman

Isu Pertama: Sama ada wujudnya persoalan undang-undang berkepentingan awam yang timbul semasa perjalanan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah sebagaimana dikehendaki di bawah subseksyen 67(2) EPAINS 2003 bagi membolehkan kebenaran merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah diberikan.

  1. Mahkamah menjelaskan bahawa subseksyen 67(2) EPAINS 2003 memperuntukkan Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran untuk memutuskan apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan dan yang keputusan Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.

  2. Peruntukan tersebut berfungsi sebagai satu mekanisme tapisan awal untuk menyaring kes yang hanya mempunyai isu undang-undang berkepentingan awam sahaja yang boleh dirayu di peringkat Mahkamah Rayuan Syariah. Dengan kata lain, tidak semua kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah dan dirayu ke Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai peluang kedua untuk dirayu sekali lagi ke Mahkamah Rayuan Syariah kecuali atas isu undang-undang berkepentingan awam yang dibenarkan.

  3. Dalam menjelaskan maksud peruntukan tersebut, Mahkamah merujuk kepada kes MAA lwn NZA yang menggariskan empat syarat undang-undang yang perlu dipenuhi oleh Pemohon sebelum kebenaran merayu boleh diberikan, iaitu wujud satu soalan undang-undang; yang berkepentingan awam; yang telah timbul semasa perjalanan rayuan; dan penentuan yang diambil oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh kesudahan rayuan tersebut.

  4. Mahkamah turut merujuk beberapa keputusan Mahkamah Rayuan Syariah terdahulu antaranya A@AZ b J lwn RE [2009] JH 28(2) 163, SH lwn KPS [2012] JH Jld 34(2) 229 dan AZ lwn KPS [2014] JH Jld 39(1)46. Berdasarkan panduan dalam kes-kes tersebut, Pemohon bertanggungjawab mengemukakan kepada Mahkamah bahawa persoalan undang-undang berkepentingan awam telah timbul semasa perjalanan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah dan persoalan tersebut telah disentuh oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

  5. Berhubung maksud frasa “berkepentingan awam”, Mahkamah merujuk tafsiran yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan perenggan 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (“AMK 1964”) dalam kes TRCAKL lwn MDN &Ors [2014] 4 MLJ 765, iaitu sesuatu isu itu berkepentingan awam apabila keputusan terhadapnya amat penting dan amat bermanfaat kepada awam.

  6. Mahkamah menegaskan bahawa batasan dan tugas Mahkamah Rayuan Syariah pada peringkat ini hanyalah untuk menentukan sama ada rayuan boleh dibenarkan atau sebaliknya tanpa memutuskan mengenai merit rayuan yang ingin dikemukakan oleh Pemohon. Justeru itu, Mahkamah meneliti alasan-alasan permohonan dan hujah pihak-pihak semata-mata bagi mengenal pasti sama ada permohonan memenuhi kehendak undang-undang tersebut.

  7. Setelah meneliti afidavit Pemohon, Mahkamah mendapati alasan-alasan yang dikemukakan hanya berkisar tentang hasrat peribadi dan keluarga, iaitu keinginan Pemohon dan Responden untuk terus hidup bersama, kebimbingan terhadap kesan penceraian kepada keluarga dan tanggungjawab terhadap dua orang anak yang masih kecil. Alasan-alasan ini tidak menyentuh sebarang persoalan undang-undang.

  8. Mahkamah juga meneliti hujah kedua-dua pihak dan mendapati hujahan tersebut hanya berhubung dengan rayuan Pemohon di Mahkamah Tinggi Syariah terhadap keputusan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat dan tidak mengandungi sebarang hujahan berkenaan persoalan undang-undang berkepentingan awam yang timbul dalam kes Rayuan Mal tahun 2020.

  9. Selanjutnya, Mahkamah meneliti alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Syariah (Rayuan) berkaitan isu-isu yang dibangkitkan Pemohon dan mendapati kesemua alasan tersebut telah pun diulas oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah termasuk isu penentuan lafaz cerai, penolakan versi lafaz yang tidak dimuktamadkan dan sabitan talaq tiga berdasarkan siasatan yang dijalankan menurut prosedur. Ini mengukuhkan lagi dapatan bahawa tiada persoalan undang-undang berkepentingan awam yang tertinggal untuk dirayu.

  10. Berdasarkan dapatan-dapatan tersebut, Mahkamah berpuas hati bahawa Pemohon telah gagal menunjukkan kepada Mahkamah apakah isu undang-undang berkepentingan awam dan aspek-aspek dari sudut Hukum Syarak dalam permohonannya. Oleh yang demikian, Mahkamah tidak dapat mempertimbangkan permohonan tersebut untuk membenarkan kes dipanjangkan ke peringkat Mahkamah Rayuan Syariah.

Keputusan

Mahkamah Rayuan Syariah setelah meneliti notis permohonan, afidavit Pemohon dan Responden, hujahan kedua-dua pihak serta dokumen-dokumen yang dikemukakan secara sebulat suara memutuskan bahawa Permohonan Pemohon ditolak.

Dapatan Utama

  1. Peruntukan subseksyen 67(2) EPAINS 2003 berfungsi sebagai mekanisme tapisan awal dan bukan sebagai peluang kedua automatic untuk merayu. Kebenaran merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah hanya boleh diberikan apabila wujud persoalan undang-undang berkepentingan awam yang timbul semasa perjalanan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah dan yang telah menyentuh keputusan rayuan tersebut.

  2. Empat syarat perlu dipenuhi sebelum kebenaran merayu boleh dipertimbangkan, iaitu—

    1. Wujud satu soalan undang-undang;

    2. Berkepentingan awam;

    3. Timbul semasa perjalanan rayuan; dan

    4. Penetuan Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh kesudahan rayuan itu. Beban membuktikan keempat-empat syarat ini terletak pada Pemohon.

  3. Peranan Mahkamah Rayuan Syariah pada peringkat permohonan kebenaran merayu hanyalah untuk menentukan sama ada permohonan memenuhi syarat-syarat tersebut tanpa menyentuh merit rayuan yang ingin dikemukakan. Mahkamah tidak akan menilai semula fakta atau dapatan Mahkamah di bawah pada peringkat ini.

  4. Alasan-alasan yang bersifat peribadi atau kekeluargaan seperti hasrat untuk terus hidup bersama, kebimbangan terhadap kesan penceraian kepada keluarga atau tanggungjawab terhadap anak-anak tidak dengan sendirinya membangkitkan persoalan undang-undang berkepentingan awam. Permohanan yang hanya disandarkan kepada alasan sedemikian tanpa mengemukakan sebarang persoalan undang-undang, tidak dapat dipertimbangkan oleh Mahkamah.

Penghakiman penuh boleh didapati daripada Lexisadvance.

Share:

More Posts

LSO lwn CMHCB [2025] SLRHU 8

LSO lwn CMHCB [2025] SLRHU 8 Mahkamah Tinggi Syariah Tuntutan Mut’ah FAKTA KES Kes ini melibatkan tuntutan mut’ah yang difailkan oleh Plaintif selaku bekas isteri

KK @ AT v MZMZ [2024] 2 ShLR 38

KK @ AT v MZMZ [2024] 2 ShLR 38 Mahkamah Rayuan Syariah (Shah Alam) Notis Tunjuk Sebab Fasidah dalam Pengkomitan Perintah Hadhanah Fakta Perayu (ibu)

YH v NY & KMI [2019] 1 ShLR 43

YH v NY & KMI [2019] 1 ShLR 43 Mahkamah Tinggi Syariah (Shah Alam) Pembuktian Kewujudan Perkahwinan Fakta Plaintif (YH) ialah bapa kandung sekali gus

Send Us A Message