LKK v THC [2017] MLJU 686

LKK v THC [2017] MLJU 686

Mahkamah Rayuan (Putrajaya)

Tuntutan Fitnah

 

Fakta Kes

 

  1. Kes ini melibatkan tuntutan fitnah secara bertulis (libel) yang difailkan oleh THC (Plaintif) terhadap LKK (Defendan Pertama) serta dua lagi AJK Persatuan Peniaga Kecil Bergerak Kinta (PPKBK) selaku Defendan Kedua dan Defendan Ketiga.
  2. Plaintif merupakan seorang ahli perniagaan yang dikenali ramai, aktif dalam pelbagai persatuan dan merupakan mantan Pengerusi PPKBK dan mantan Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Pagi dan Malam Ipoh. Defendan Pertama ialah Pengerusi PPKBK, dan Defendan Kedua serta Ketiga, masing-masing ialah Setiausaha dan Bendahari persatuan PPKBK semasa Plaintif memfailkan tindakan writ saman.
  3. Pada 25 Oktober 2015, Defendan-Defendan bersama beberapa Ahli Jawatankuasa PPKBK telah menandatangani satu Surat Tunjuk Sebab (“P3”) yang ditujukan kepada Plaintif. Surat tersebut menuduh Plaintif telah menyalahgunakan kuasa sebagai pengerusi dan merampas harta benda milik PPKBK.
  4. Menurut Plaintif, P3 tidak pernah diserahkan kepadanya secara peribadi. Sebaliknya, sekitar 9 November 2015, surat tersebut telah diedarkan kepada Ahli PPKBK yang berniaga serta orang ramai yang mengunjungi pasar malam di Taman Bandar Baru, Menglembu. Plaintif hanya mengetahui kewujudan surat itu selepas seorang pengusaha kedai kopi menunjukkan salinan P3 kepadanya dan bertanyakan mengenai tuduhan yang terkandung di dalam surat tersebut.
  5. Plaintif mendakwa bahawa penyebaran P3 yang mengandungi tuduhan palsu telah mencemar nama baiknya, menyebabkan beliau dibenci, dicemuh, dikeji dan dihina oleh orang ramai. Akibat tuduhan tersebut, Plaintif menyatakan bahawa beliau berasa malu dan terluka perasaan kerana reputasinya sebagai seorang ahli periagaan dan tokoh persatuan telah terjejas.
  6. Selain surat P3, Plaintif turut mendakwa bahawa Defendan Pertama telah membuat kenyataan yang disiarkan dalam tiga akhbar berbeza. Menurut Plaintif, kenyataan tersebut membawa inferens bahawa beliau merupakan seorang yang tidak amanah, hipokrit, pencuri serta telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya semasa menjadi Pengerusi PPKBK.
  7. Dalam pembelaannya, Defendan-Defendan menegaskan bahawa P3 hanyalah Notis Tunjuk Sebab yang dikeluarkan mengikut peraturan undang-undang dan perlembagaan PPKBK. Mereka menyatakan surat itu ditujukan kepada Plaintif sahaja dan bukan untuk edaran awam, serta Plaintif sepatutnya menjawab tuduhan tersebut melalui mekanisme dalam persatuan.
  8. Defendan turut mendakwa bahawa terdapat justifikasi bagi mengeluarkan P3 kerana Plaintif didakwa melakukan beberapa salah laku semasa memegang jawatan sebagai pengerusi, termasuk menyewakan premis kepada persatuan pada kadar lebih tinggi, enggan memulangkan aset persatuan, gagal menjelaskan kutipan wang penjaja dan terlibat dengan pemalsuan tandatangan pemeriksa kira-kira pada penyata akaun tahunan PPKBK.
  9. Selepas perbicaraan penuh, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hanya Defendan Pertama bertanggungan atas fitnah libel melalui penyebaran surat P3, manakala tuntutan terhadap Defendan Kedua dan Ketiga serta tuntutan berhubung tiga siaran akhbar telah ditolak.
  10. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Defendan Pertama telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mencabar dapatan Mahkamah Tinggi bahawa beliau bertanggungan atas fitnah libel dan perintah pembayaran ganti rugi kepada Plaintif.
 

Isu-Isu

  1. Sama ada P3 serta kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Defendan Pertama telah secara libel memfitnah Plaintif.
  2. Sama ada Defendan-Defendan berjaya membangkitkan pembelaan justifikasi terhadap dakwaan fitnah tersebut.
 

Alasan Penghakiman

 

Isu Pertama: Sama ada P3 serta kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Defendan Pertama telah secara libel memfitnah Plaintif.

(a) Mahkamah menegaskan bahawa Plaintif perlu membuktikan tiga elemen fitnah, iaitu kata-kata memfitnah, merujuk kepada Plaintif dan diterbitkan kepada pihak ketiga.

(b) Mahkamah memutuskan bahawa P3 ialah surat tunjuk sebab bagi tujuan tindakan disiplin dan bukan fitnah libel secara automatik (libel per se) kerana ia bertujuan untuk memberi peluang kepada Plaintif untuk menjawab tuduhan. Namun, apabila Defendan Pertama mengedarkan P3 kepada orang awam, surat tersebut telah bertukar menjadi fitnah libel.

(c) Mahkamah mendapati bahawa tuduhan yang terkandung dalam P3, iaitu bahawa Plaintif menyalahgunakan kuasa sebagai pengerusi dan merampas harta benda persatuan, merupakan kata-kata memfitnah kerana tuduhan tersebut boleh mendedahkan Plaintif kepada kebencian, cemuhan dan penghinaan serta menjatuhkan reputasinya pada pandangan Masyarakat yang munasabah. Oleh itu, elemen pertama fitnah libel berjaya dibuktikan.

(d) Mahkamah memutuskan bahawa elemen kedua, iaitu merujuk kepada Plaintif telah dibuktikan kerana P3 secara jelas menamakan Plaintif sebagai individu yang diberikan surat tunjuk sebab. Identiti Plaintif juga tidak pernah dipertikaikan oleh Defendan.

(e) Mahkamah mendapati bahawa Plaintif berjaya membuktikan elemen ketiga, iaitu diterbitkan kepada pihak ketiga melalui keterangan saksi-saksi bahawa P3 telah diedarkan kepada peniaga dan orang awam di pasar malam atas arahan Defendan Pertama. Oleh itu, hanya Defendan Pertama bertanggungan terhadap fitnah libel kerana Defendan Kedua dan Ketiga tidak terlibat dalam penyebaran surat tersebut.

(f) Bagi tiga siaran akhbar, Mahkamah memutuskan bahawa kandungannya tidak mengandungi perkataan yang memfitnah Plaintif. Oleh itu, tuntutan fitnah berhubung kenyataan akhbar ditolak.

Isu Kedua: Sama ada Defendan-Defendan berjaya membangkitkan pembelaan justifikasi terhadap dakwaan fitnah tersebut.

(a) Mahkamah menegaskan bahawa setelah Plaintif berjaya membuktikan ketiga-tiga elemen fitnah libel, beban pembuktian beralih kepada Defendan Pertama untuk membuktikan bahawa kata-kata dalam P3 adalah benar dan beliau berhak bergantung kepada pembelaan justifikasi.

(b) Mahkamah mendapati bahawa P3 ialah dokumen persatuan yang dikeluarkan hasil keputusan sebulat suara mesyuarat AJK PPKBK dan ditujukan kepada Plaintif bagi membolehkan beliau menjawab dakwaan salah laku mengikut peraturan persatuan.

(c) Walau bagaimanapun, Mahkamah memutuskan bahawa Defendan Pertama gagal membuktikan pembelaan justifikasi kerana beliau telah bertindak di luar batasan prosedur persatuan dengan mengarahkan P3 diedarkan kepada orang awam. Mahkamah menegaskan bahawa sekiranya P3 hanya diserahkan secara sulit kepada Plaintif, tindakan fitnah libel tidak akan timbul. Oleh itu, Defendan Pertama tidak boleh bergantung kepada pembelaan justifikasi.

 

Keputusan Penghakiman

Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa-

  1. Plaintif berjaya membuktikan bahawa Defendan Pertama melakukan fitnah libel melalui penyebaran Surat Tunjuk Sebab (P3).
  2. Plaintif gagal membuktikan tuntutan fitnah terhadap Defendan Kedua dan Defendan Ketiga kerana mereka tidak terlibat dalam penyebaran.
  3. Tiga siaran akhbar bukan merupakan fitnah libel, maka tuntutan berhubung kenyataan akhbar ditolak.
  4. Defendan Pertama diperintahkan membayar ganti rugi am sebanyak RM30,000 kepada Plaintif serta kos tindakan RM25,000.
 

Dapatan Utama

  1. Mahkamah menegaskan bahawa Surat Tunjuk Sebab yang dikeluarkan bagi tujuan tindakan disiplin persatuan bukan libel per se kerana fungsinya adalah untuk memberi peluang kepada individu menjawab tuduhan.
  2. Walaupun P3 ialah dokumen sulit, tindakan Defendan Pertama mengedarkannya kepada orang awam memenuhi elemen publication dan menyebabkan surat itu menjadi fitnah.
  3. Mahkamah memutuskan bahawa Defendan Pertama tidak boleh bergantung kepada pembelaan justifikasi kerana beliau sendiri menyebarkan surat yang sepatutnya dihantar secara sulit kepada Plaintif.

 

Share:

More Posts

LLE v OKC [2022] 5 MLRA 208

LLE v OKC [2022] 5 MLRA 208 Federal Court (Putrajaya)  Ineligibility of Political Parties to Maintain Defamation Actions Facts of the case The Appellant, LLE,

Soalan Lazim – Hadhanah

    No. Soalan Jawapan 1. Apa itu Hadhanah? Secara umumnya, hadhanah ialah hak dan tanggungjawab untuk menjaga, mengasuh, mendidik dan memastikan kebajikan anak, khususnya

MAIPP v ALH & Anor [2018] 2 ShLR 15

  MAIPP v ALH & Anor [2018] 2 ShLR 15 Mahkamah Tinggi Malaya (Pulau Pinang) Pengesahan Wakaf Menurut Undang-Undang Islam Fakta Plaintif adalah Majlis Agama

Send Us A Message