KK @ AT v MZMZ [2024] 2 ShLR 38

KK @ AT v MZMZ [2024] 2 ShLR 38

Mahkamah Rayuan Syariah (Shah Alam)

Notis Tunjuk Sebab Fasidah dalam Pengkomitan Perintah Hadhanah

Fakta

  1. Perayu (ibu) dan Responden (bapa) telah bercerai pada 16 Julai 2012. Sepanjang tempoh perkahwinan, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, iaitu MRMMZ.

  2. Pada 7 November 2012, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan perintah hadhanah berdasarkan persetujuan bersama pihak-pihak. Antara terma utama perintah tersebut—

    1. Hak jagaan anak diberikan kepada Perayu;

    2. Hak lawatan dan bersama dengan anak diberikan kepada Responden pada bila-bila masa yang munasabah dengan pemakluman kepada Perayu sekurang-kurangnya sehari sebelum perjumpaan;

    3. Hak bermalam diberikan kepada Responden sebanyak dua kali hujung minggu dalam sebulan dengan pemakluman sehari sebelum pengambilan;

    4. Cara pelaksanaan hak bersama dan bermalam; dan

    5. Perintah yang sama turut mengandungi perenggan 14 yang mewajibkan kedua-dua pihak saling memaklumkan dalam tempoh 14 hari sekiranya berlaku sebarang perubahan seperti perpindahan tempat tinggal, pertukaran pekerjaan atau perkahwinan baharu, demi menjaga kebajikan anak.

  3. Pada 9 Mac 2016, Responden memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Perayu atas dakwaan Perayu sengaja mengingkari perintah Mahkamah. Responden mendakwa Perayu telah menyekat segala perhubungan komunikasi, enggan memberi respon terhadap panggilan telefon dan pesanan ringkas, tidak memberi kerjasama apabila Responden datang berjumpa anak serta berpindah ke kampung tanpa memaklumkan kepada Responden sehingga menyebabkan Responden gagal berjumpa anak selama lebih kurang dua tahun sejak Disember 2012.

  4. Pada 25 Julai 2016, Mahkamah membenarkan permohonan Responden dan mengeluarkan Notis Tunjuk Sebab terhadap Perayu untuk menunjukkan sebab mengapa beliau tidak patut dikomitkan ke penjara kerana didakwa ingkar dan tidak mematuhi Perenggan 2, 3 dan 4 perintah hadhanah.

  5. Perayu memfailkan Afidavit Jawapan pada 10 April 2017. Kes kemudiannya diteruskan untuk keterangan dan kedua-dua pihak memfailkan hujah bertulis masing-masing, iaitu Perayu pada 26 Oktober 2017 dan Responden pada 27 November 2017.

  6. Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan permohonan Responden dan mensabitkan Perayu telah melanggar perenggan 2, 3 dan 4 perintah hadhanah. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Perayu memfailkan Notis Rayuan pada 6 Disember 2017 dengan mengemukakan tujuh alasan rayuan bertarikh 19 Mac 2018. Responden memohon supaya rayuan ditolak dengan kos sebanyak RM15,000.

  7. Rayuan ini didengar oleh Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam dan isu tunggal yang dirangkumkan untuk pertimbangan ialah sama ada Hakim Perbicaraan terkhilaf apabila mensabitkan Perayu telah melanggar perenggan 2, 3 dan 4 perintah hadhanah tersebut.

  8. Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan kes ini pada 20 September 2019.

Isu-Isu

  1. Sama ada Hakim Perbicaraan terkhilaf apabila mensabitkan Perayu telah melanggar Perenggan 2, 3 dan 4 perintah hadhanah, sedangkan fakta berkaitan tarikh dan masa pelanggaran serta pemakluman oleh Responden tidak dinyatakan dalam Notis Tunjuk Sebab.

  2. Sama ada Mahkamah Rayuan Syariah boleh mensabitkan Perayu melanggar Perenggan 14 perintah, sedangkan pelanggaran terma tersebut tidak dinyatakan dalam Notis Tunjuk Sebab.

Alasan Penghakiman

Isu Pertama: Sama ada Hakim Perbicaraan terkhilaf apabila mensabitkan Perayu telah melanggar perenggan 2, 3 dan 4 perintah hadhanah, sedangkan fakta berkaitan tarikh dan masa pelanggaran serta pemakluman oleh Responden tidak dinyatakan dalam Notis Tunjuk Sebab.

  1. Mahkamah Rayuan mendapati bahawa terma perintah di perenggan 2, 3 dan 4 bersifat umum kerana tidak menyatakan secara khusus masa lawatan, masa bersama serta minggu-minggu yang dibenarkan untuk anak bermalam bersama Responden. Pelaksanaan terma-terma tersebut adalah tertakluk kepada pemakluman oleh Responden kepada Perayu sehari sebelum masa lawatan dan bermalam dijalankan.

  2. Untuk membuktikan Perayu melanggar terma di perenggan 2, 3 dan 4, Mahkamah berpendapat terdapat dua elemen yang perlu diperhalusikan, iaitu—

    1. pertama ialah tarikh dan masa hak lawatan bersama dan bermalam yang didakwa dilanggar oleh Perayu; dan

    2. kedua ialah sama ada pemakluman telah dibuat oleh Responden sebelum hak lawatan bersama dan bermalam dilaksanakan.

  3. Kedua-dua elemen ini penting bagi memastikan dakwaan tersebut memenuhi kehendak undang-undang dan Hukum Syarak.

  4. Setelah meneliti ulasan Hakim Perbicaraan dalam Rekod Rayuan, Mahkamah mendapati tiada ulasan fakta berkaitan tarikh dan masa pelanggaran dilakukan dan tiada pula ulasan sama ada Responden telah membuat pemakluman kepada Perayu sebelum mengambil anak untuk tujuan bermalam. Fakta berkaitan tarikh dan masa pelanggaran juga tidak dinyatakan dalam Notis Tunjuk Sebab yang dikeluarkan oleh Mahkamah. Oleh yang demikian, Mahkamah berpendapat bahawa dakwaan Responden dan Notis Tunjuk Sebab yang dikeluarkan adalah bersifat fasidah. Pandangan ini disandarkan kepada kes AN lwn RR dan ZAM lwn AA.

  5. Keperluan menyatakan fakta tentang sesuatu dakwaan diperuntukkan di bawah seksyen 73 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) (“EKMSNS”) yang menetapkan bahawa sesiapa yang berhasrat supaya Mahkamah memberikan penghakiman tentang sesuatu hak atau tanggungan yang bergantung kepada kewujudan sesuatu fakta mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud dan beban membuktikan terletak pada orang itu.

  6. Mahkamah turut bersetuju dengan ulasan Panel Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dalam kes BB lwn AHA dan HB. Dalam kes tersebut, apabila sesuatu pelanggaran tidak dinyatakan dalam Notis Tunjuk Sebab, pihak yang dituduh dinafikan haknya untuk menjawab dan menunjukkan sebab pelanggaran itu berlaku. Kegagalan menjawab fakta sedemikian tidak boleh dibebankan ke atasnya kerana kewujudan fakta pelanggaran itu berada di luar pengetahuannya pada setiap masa material sepanjang prosiding.

  7. Dalam rayuan ini, Mahkamah mendapati Hakim Perbicaraan telah mensabitkan Perayu melanggar terma perenggan 2, 3 dan 4 semata-mata berdasarkan pengakuan Responden tanpa disokong oleh fakta tarikh, masa dan pemakluman yang menjadi elemen penting sabitan. Sabitan atas dasar sedemikian tidak dapat dipertahankan.

Isu Kedua: Sama ada Mahkamah Rayuan Syariah boleh mensabitkan Perayu melanggar perenggan 14 perintah, sedangkan pelanggaran terma tersebut tidak dinyatakan dalam Notis Tunjuk Sebab.

  1. Mahkamah mendapati pengakuan Perayu berhubung kegagalan memaklumkan kepada Responden tentang perpindahan tempat tinggal serta pertukaran nurseri anak merupakan isu yang berbeza daripada pelanggaran perenggan 2, 3 dan 4. Pada hemat Mahkamah, pengakuan tersebut lebih sesuai disabitkan dengan pelanggaran perenggan 14 perintah, iaitu terma yang mewajibkan pihak-pihak saling memaklumkan dalam tempoh 14 hari sekiranya berlaku sebarang perubahan seperti perpindahan tempat tinggal.

  2. Walau bagaimanapun, timbul persoalan sama ada Mahkamah Rayuan boleh mensabitkan Perayu melanggar perenggan 14 sedangkan pelanggaran terma tersebut turut tidak dinyatakan dalam Notis Tunjuk Sebab. Mahkamah berpandangan prinsip yang sama terpakai, iaitu ketiadaan perenggan 14 dalam Notis Tunjuk Sebab menyebabkan Perayu dinafikan hak untuk menjawab dan menunjukkan sebab mengapa pelenggaran itu berlaku.

  3. Mahkamah turut mendapati terdapat dakwaan bahawa Responden sendiri telah berpindah, bertukar pekerjaan dan berkahwin lain tanpa pemakluman kepada Perayu, namun perkara ini tidak diperhalusi oleh Hakim Perbicaraan kerana ia tidak dijadikan asas dalam tindakan pengkomitan. Keadaan ini menunjukkan berlakunya kekhilafan Hakim Perbicaraan pada peringkat awal penilaian permohonan kebenaran pengeluaran Notis Tunjuk Sebab yang mengakibatkan kesilapan dalam mengklasifikasikan terma yang dilanggar. Memandangkan tiada keterangan dikemukakan oleh Responden untuk mewajarkan campur tangan Mahkamah terhadap isu perenggan 14, sabitan sedemikian tidak dapat ditegakkan.

Keputusan

Mahkamah Rayuan Syariah, setelah meneliti notis rayuan, alasan rayuan, rekod rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, secara sebulat suara memutuskan seperti berikut:

  1. Rayuan Perayu diterima; dan

  2. Perintah Mahkamah Tinggi Syariah dalam kes saman tersebut bertarikh 6 Disember 2017 dibatalkan.

Dapatan Utama

  1. Sesuatu pelanggaran perintah tidak boleh disabitkan sekiranya fakta pelanggaran tersebut termasuk tarikh, masa dan butiran berkaitan tidak dinyatakan dalam Notis Tunjuk Sebab. Ketiadaan fakta sedemikian menjadikan dakwaan bersifat fasidah kerana pihak yang dituduh dinafikan haknya untuk menjawab dan menunjukkan sebab mengapa pelanggaran itu didakwa berlaku.

  2. Beban membuktikan kewujudan sesuatu fakta terletak pada pihak yang menegaskannya menurut seksyen 73 EKMSNS. Sabitan yang dibuat semata-mata berdasarkan pengakuan pihak yang mendakwa tanpa disokong oleh fakta pelanggaran yang khusus tidak dapat dipertahankan.

  3. Terma perintah yang bersifat umum dan bergantung kepada syarat pemakluman terlebih dahulu tidak boleh disabitkan sebagai dilanggar tanpa pembuktian bahawa syarat pemakluman itu telah dipenuhi dan pelanggaran benar-benar berlaku pada masa yang tertentu.

  4. Pengakuan berhubung kegagalan memaklumankan perubahan tempat tinggal atau pertukaran nurseri anak merupakan isu berasingan yang lebih sesuai disabitkan di bawah terma pemakluman perubahan dan bukan di bawah terma hak lawatan bersama dan bermalam. Kesilapan mengklasifikasikan terma yang dilanggar pada peringkat pengeluaran Notis Tunjuk Sebab merupakan suatu kekhilafan yang menjejaskan sabitan.

Penghakiman penuh boleh didapati daripada Lexisadvance.

Share:

More Posts

LSO lwn CMHCB [2025] SLRHU 8

LSO lwn CMHCB [2025] SLRHU 8 Mahkamah Tinggi Syariah Tuntutan Mut’ah FAKTA KES Kes ini melibatkan tuntutan mut’ah yang difailkan oleh Plaintif selaku bekas isteri

YH v NY & KMI [2019] 1 ShLR 43

YH v NY & KMI [2019] 1 ShLR 43 Mahkamah Tinggi Syariah (Shah Alam) Pembuktian Kewujudan Perkahwinan Fakta Plaintif (YH) ialah bapa kandung sekali gus

Send Us A Message