ZZ v NA [2019] 1 ShLR 57
Mahkamah Tinggi Syariah (Shah Alam)
Pembuktian Keterangan Bagi Tujuan Pengesahan Nasab Anak
|
Fakta
|
-
Kes ini merupakan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya bertarikh 25 November 2015 melalui Saman tahun 2014 yang telah didaftarkan untuk sebutan pertama pada 5 Jun 2014 dan diteruskan dengan pendengaran keterangan pihak-pihak melalui beberapa siri sebutan dan perbicaraan.
-
Pada 25 November 2015, Hakim Bicara memutuskan bahawa anak bernama NZ merupakan anak sah taraf hasil pernikahan antara Perayu dengan Responden, berpuas hati bahawa anak tersebut boleh dinasabkan kepada Perayu dan Responden dan memerintahkan urusan pendaftaran dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara.
-
Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Perayu memfailkan notis rayuan pada November 2015 dan alasan rayuan pada Mac 2016. Rekod rayuan difailkan pada 27 April 2016. Responden membantah rayuan tersebut dan memfailkan hujahnya pada 29 Julai 2016 manakala Perayu memfailkan hujahnya pada 9 Ogos 2016.
-
Perayu mengemukakan lima alasan rayuan, mendakwa Hakim Bicara terkhilaf dari sudut undang-undang dan Hukum Syarak apabila—
-
Menerima sepenuhnya keterangan Responden berkaitan isu-isu perempuan seperti haid, iddah dan penyusuan atas alasan perkara tersebut berada di bawah pengetahuan Responden sendiri;
-
Tidak memanggil dan/atau mengarahkan Responden memanggil saksi pakar bagi memberikan keterangan berhubung isu khusus kewanitaan yang menyentuh kesihatan, kitaran haid serta kehamilan;
-
Tidak memberi pertimbangan sewajarnya kepada pengakuan/iqrar Responden bahawa beliau berada dalam keadaan haid semasa diceraikan dengan talaq tiga (ba’in kubra) oleh Perayu pada 5 Januari 2013;
-
Menganggap bahawa NZ yang dilahirkan pada 24 September 2013 adalah hasil persetubuhan dan percantuman benih pihak-pihak pada bulan Disember 2012; dan
-
Membuat tafsiran kepada peruntukan seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (“EUUKIS 2003”).
-
Sebagai latar belakang tambahan, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mengeluarkan penghakiman berasingan pada 27 Mac 2014 melalui Saman tahun 2013 yang mensabitkan lafaz cerai “Dah nak sangat dan cabar aku, aku ceraikan kau dengan talaq 3” oleh Perayu terhadap Responden pada 5 Januari 2013 sebagai lafaz yang sah, menjatuhkan talaq tiga (ba’in kubra) dan memerintahkan Responden beriddah hamil bermula 5 Januari 2013 sehingga melahirkan anak.
-
Rayuan didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 5 September 2016.
|
Isu-Isu
|
-
Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila menerima keterangan/iqrar Responden berkaitan isu-isu kewanitaan seperti haid, iddah dan penyusuan tanpa mengarahkan Responden memanggil saksi pakar.
-
Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila tidak memberi pertimbangan sewajarnya kepada pengakuan Responden bahawa beliau berada dalam keadaan haid semasa diceraikan pada 5 Januari 2013.
-
Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila mendapati anak tersebut adalah hasil persetubuhan pihak-pihak sebelum perceraian dan sama ada anak tersebut boleh dinasabkan kepada Perayu berdasarkan tempoh kehamilan serta peruntukan seksyen 111 EUUKIS 2003.
|
Alasan Penghakiman
|
Isu Pertama: Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila menerima keterangan/iqrar Responden berkaitan isu-isu kewanitaan seperti haid, iddah dan penyusuan tanpa mengarahkan Responden memanggil saksi pakar.
-
Perayu menghujahkan bahawa Hakim Bicara terkhilaf apabila menerima sepenuhnya keterangan Responden berkaitan isu-isu perempuan seperti haid, iddah dan penyusuan atas alasan perkara tersebut berada di bawah pengetahuan Responden sendiri. Responden pula menghujahkan keputusan Hakim Bicara bertepatan dengan Hukum Syarak dan undang-undang berdasarkan seksyen 86 (4) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (“EKMSS 2003”) yang menjelaskan bahawa keterangan seorang perempuan memadai untuk membuktikan fakta yang biasa diketahui oleh atau dalam pengetahuan seorang perempuan.
-
Mahkamah berpendapat bahawa seksyen 86 (4) tersebut berkaitan dengan keterangan saksi perempuan dan tidak termasuk keterangan daripada pihak yang bertikai sendiri. Merujuk seksyen 3 enakmen yang sama berkaitan tafsiran “saksi” tidak termasuk plaintif, defendan dan orang tertuduh. Justeru, hujah Responden yang merujuk kepada seksyen 86(4) bagi isu ini adalah tidak sesuai.
-
Persoalan yang timbul ialah sama ada iqrar yang diberikan oleh Responden berkaitan perkara yang dipertikaikan memadai untuk diterima pakai oleh Mahkamah tanpa dikuatkan dengan saksi. Mahkamah memutuskan bahawa keterangan Responden memadai untuk diterima pakai walaupun tidak dikuatkan dengan saksi atau apa-apa kaedah pembuktian lain kerana keterangan tersebut boleh dikategorikan sebagai iqrar berdasarkan pandangan syarak.
-
Justeru, Hakim Bicara tidak terkhilaf dari sudut undang-undang dan Hukum Syarak apabila tidak memanggil atau mengarahkan Responden memanggil saksi pakar bagi memberikan keterangan berhubung isu khusus kewanitaan yang menyentuh kesihatan, kitaran haid serta kehamilan berdasarkan seksyen 33 (1) EKMSS 2003.
Isu Kedua: Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila tidak memberi pertimbangan sewajarnya kepada pengakuan Responden bahawa beliau berada dalam keadaan haid semasa diceraikan pada 5 Januari 2013.
-
Perayu menghujahkan bahawa Hakim Bicara terkhilaf apabila tidak memberi pertimbangan sewajarnya kepada pengakuan Responden bahawa beliau berada dalam keadaan haid sewaktu diceraikan dengan talaq tiga (ba’in kubra) pada 5 Januari 2013. Responden memang mengaku berada dalam keadaan tidak suci ketika itu.
-
Namun, Mahkamah merujuk penghakiman Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertarikh 27 Mac 2014 melalui Saman tahun 2013 yang mensabitkan bahawa pada waktu perceraian tersebut Responden sememangnya sedang mengandung dan memerintahkan Responden beriddah hamil bermula 5 Januari 2013 sehingga melahirkan anak. Ini jelas menunjukkan Responden tidak dikira berada dalam keadaan haid pada waktu diceraikan.
-
Mahkamah menegaskan bahawa penghakiman tersebut merupakan qarinah berdasarkan seksyen 33 (1) EKMSS 2003 dan wajar diterima memandangkan ia dikeluarkan oleh Mahkamah yang berbidang kuasa setelah meneliti segala keadaan dan punca, dan keputusan tersebut hendaklah dihormati kerana ia tidak boleh dibatalkan melainkan dengan tindakan Perayu sendiri di Mahkamah tersebut. Walaupun Responden mengaku berada dalam keadaan haid ketika diceraikan, Mahkamah berpegang kepada prinsip bahwa perkara yang mendatang tidak boleh membatalkan perkara yang telah sabit terlebih dahulu melainkan dengan cara membatalkan perkara yang sabit itu sendiri.
Isu Ketiga: Sama ada Hakim Bicara terkhilaf apabila mendapati anak tersebut adalah hasil persetubuhan pihak-pihak sebelum perceraian dan sama ada anak tersebut boleh dinasabkan kepada Perayu berdasarkan tempoh kehamilan serta peruntukan seksyen 111 EUUKIS 2003.
-
Perayu menghujahkan bahawa Hakim Bicara terkhilaf apabila menganggap NZ yang dilahirkan pada 24 September 2013 adalah hasil persetubuhan dan percantuman benih pihak-pihak pada bulan Disember 2012. Mahkamah merujuk pengakuan Perayu sendiri semasa soal balas pada 12 Ogos 2015 bahawa beliau mengaku ada melakukan hubungan kelamin bersama Responden pada 23 dan 24 Disember 2012 yang turut dipersetujui oleh Responden. Berdasarkan pengakuan ini, Mahkamah berpuas hati hubungan kelamin antara Perayu dan Responden berlaku pada kedua-dua masa, iaitu sebelum dan selepas perceraian pada 5 Januari 2013.
-
Mahkamah tidak boleh menafikan kebarangkalian percampuran suami isteri tersebut bersandarkan firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 189 berkaitan penciptaan pasangan suami isteri dan proses kandungan.
-
Berdasarkan Buku Rekod Mengandung Responden (Ekshibit D3), perkiraan hamil dikira bermula 3 Januari 2013 dan dijangka bersalin pada 11 Oktober 2013. Mahkamah menerima D3 walaupun dibantah oleh Perayu kerana ia merupakan dokumen awam yang dikeluarkan oleh Pegawai Perubatan. Responden melahirkan anak pada 24 September 2013, iaitu minggu ke-36 atau ke-37, lebih awal daripada tempoh kehamilan normal (40 minggu) yang dijangka jatuh pada 11 Oktober 2013. Ini menunjukkan kehamilan Responden bermula pada 3 Januari 2013, iaitu sebelum perceraian berlaku.
-
Mahkamah merujuk kepada firman Allah SWT dalam surah al-Ahqaf ayat 15 dan Surah Luqman ayat 14 berkaitan tempoh mengandung dan menyusu yang membawa kepada rumusan fiqh bahawa sependek-pendek tempoh hamil ialah enam bulan. Mahkamah turut merujuk kepada kitab Bughyat al-Mustarshidin oleh al-Sayyid Abdul Rahman bin Muhammad yang menjelaskan bahawa sekiranya seorang perempuan melahirkan anak dalam tempoh enam bulan dua lahzah dari tarikh akad nikah dan suami berkeupayaan tinggal bersama serta melakukan persetubuhan dengannya, maka anak tersebut hendaklah dinasabkan kepada suaminya.
-
Dalam kes ini, tempoh antara 3 Januari 2013 hingga 24 September 2013 ialah lapan bulan 21 hari adalah berada dalam lingkungan tempoh enam bulan yang membolehkan anak dinasabkan kepada bapanya. Sekiranya andaian hubungan kelamin berlaku pada Disember 2012 diambil kira, ia masih berada dalam tempoh normal kehamilan sembilan bulan dengan hubungan kelamin pada 24 Disember 2012 mencapai tempoh 40 minggu genap sehingga anak dilahirkan pada 24 September 2013. Oleh yang demikian, Mahkamah berpuas hati anak tersebut telah berada dalam kandungan Responden sebelum berlakunya perceraian pada 5 Januari 2013.
-
Mahkamah merujuk seksyen 111 EUUKIS 2003 yang memperuntukkan bahawa jika seorang perempuan yang berkahwin melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinan itu berakhir sama ada oleh sebab kematian atau perceraian dan perempuan itu tidak berkahwin semula, maka lelaki tersebut hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, kecuali dinafikan melalui li’an di hadapan Mahkamah. Mahkamah menambah bahawa dari sudut Hukum Syarak, syarat tambahan turut dikenakan, iaitu suami berkeupayaan tinggal bersama isteri dan berkeupayaan melakukan persetubuhan dengannya dalam tempoh perkahwinan tersebut.
-
Oleh sebab Perayu tidak membuat dan membuktikan penafian anak melalui li’an di Mahkamah, hak Perayu untuk menafikan anak tersebut gugur dengan sendirinya kerana kelewatan. Mahkamah merujuk kepada kitab Fathul Muin yang menjelaskan bahawa wajib atas suami menafikan anak dalam kandungan isterinya dengan segara di hadapan Kadi sekiranya yakin anak itu bukan anaknya; sekiranya dilengahkan tanpa sebab, gugurlah haknya untuk membuat penafian dan anak tetap dinasabkan kepadanya.
-
Mahkamah turut merujuk dan bersetuju dengan pandangan dalam kes Hj G lwn A [1981] 1 JH 81, di mana Mahkamah Rayuan dalam kes tersebut memutuskan bahawa apabila terdapat keterangan yang boleh diterima membuktikan pihak-pihak bercampur sebagai suami isteri dan tiada keterangan lain yang munasabah membuktikan anak tersebut hasil hubungan dengan lelaki lain serta penafian tidak dibuat dengan segera oleh suami, maka anak tersebut kekal dinasabkan kepada suami dalam perkahwinan tersebut selaras dengan sabda Rasulullah SAW bahawa “anak adalah bagi hamparan (isteri) yang sah”.
|
Keputusan
|
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam setelah meneliti rekod rayuan, hujahan Perayu serta autoriti-autoriti yang dikemukakan memutuskan seperti berikut:
-
Rayuan Perayu ditolak; dan
-
Keputusan Hakim Bicara melalui Saman tahun 2014 dikekalkan.
|
Dapatan Utama
|
-
Pengakuan atau iqrar seseorang pihak berkaitan isu-isu khusus kewanitaan seperti haid, iddah dan penyusuan memadai untuk diterima pakai oleh Mahkamah tanpa perlu dikuatkan dengan keterangan saksi pakar kerana keterangan sedemikian dikategorikan sebagai iqrar dan bukan keterangan saksi yang tertakluk kepada seksyen 86 (4) EKTMSS 2003 yang hanya terpakai kepada keterangan saksi dan bukan kepada pihak yang bertikai sendiri.
-
Penghakiman terdahulu daripada Mahkamah yang berbidang kuasa merupakan qarinah yang wajar diterima dan dihormati serta tidak boleh dibatalkan melainkan melalui tindakan pihak yang terjejas di Mahkamah tersebut. Prinsip bahawa perkara yang mendatang tidak boleh membatalkan perkara yang telah sabit terlebih dahulu terpakai apabila pengakuan lisan seseorang bercanggah dengan dapatan Mahkamah yang telah muktamad.
-
Nasab seorang anak kepada bapa ditentukan berdasarkan tempoh kehamilan yang sah menurut Hukum Syarak iaitu tidak kurang daripada enam bulan dua lahzah dari tarikh akad nikah dengan syarat suami berkeupayaan tinggal bersama isteri dan berkeupayaan melakukan persetubuhan dengannya dalam tempoh perkahwinan. Keterangan dokumentar seperti buku rekod mengandung dibaca bersama pengakuan pihak-pihak sendiri, boleh digunakan untuk menentukan tarikh permulaan kehamilan bagi tujuan ini.
-
Hak seorang bapa untuk menafikan nasab anak melalui li’an hendaklah dilaksanakan dengan segara sebaik sehaja beliau yakin anak itu bukan anaknya. Kegagalan atau kelewatan membuat dan membuktikan penafian tersebut di Mahkamah menyebabkan hak itu gugur dengan sendirinya dan anak tersebut kekal dinasabkan kepada bapa dalam perkahwinan yang sah selaras dengan prinsip bahawa anak adalah bagi hamparan (isteri) yang sah.
|