Jika anda berhasrat untuk membeli rumah atau apa-apa hartanah yang harganya melebihi simpanan terkini anda, anda boleh membuat permohonan kepada mana-mana institusi kewangan untuk memohon pinjaman bagi membiayai pembelian hartanah tersebut.

 

Sekiranya institusi kewangan berpuas hati dengan kemampuan anda untuk membuat bayaran balik secara bulanan bagi pinjaman anda tersebut, institusi kewangan berkenaan akan mengeluarkan satu surat tawaran bagi pinjaman yang  sama dan anda perlu memasuki perjanjian pinjaman dengan pihak institusi kewangan berkenaan.

 

Bagi pembiayaan konvensional, perjanjian tersebut dipanggil sebagai perjanjian pinjaman.  Manakala pembiayaan islamik pula menamakan perjanjian ini sebagai perjanjian kemudahan.

 

Setelah anda menerima surat tawaran dari institusi kewangan, anda dinasihatkan untuk melantik peguam untuk menguruskan penyeteman surat tawaran dan penyediaan perjanjian pinjaman atau perjanjian kemudahan serta lain-lain dokumentasi yang berkaitan.

 

Untuk penyeteman perjanjian pinjaman atau perjanjian kemudahan, ia adalah berbentuk ad valorem yang mana pengiraan bayaran duti setemnya adalah 0.5% daripada jumlah pinjaman. Berhubung perkara ini, pihak Kerajaan telah memperkenalkan pengecualian duti setem perjanjian pinjaman atau perjanjian kemudahan bagi pembelian harta kediaman yang pertama yang bertujuan  meringankan beban rakyat Malaysia  untuk memiliki harta kediaman pertama.

 

Walau bagaimanapun, pengecualian tersebut adalah bersyarat iaitu tertakluk kepada nilai pembiayaan, tarikh perjanjian jual beli, dan jenis harta kediaman.  Bagi sesiapa yang pernah mewarisi atau membeli apa-apa harta kediaman lain sebelum perjanjian tersebut, pihak tersebut adalah tidak layak mendapatkan pengecualian.

 

Sebagai contoh, melalui Perintah Duti  Setem (Pengecualian) (No. 2) 2021 P.U.(A)54, bermula 1 Januari  2021, Kerajaan telah memberikan pengecualian duti setem perjanjian pinjaman atau perjanjian kemudahan yang bernilai tidak melebihi RM500,000.00 untuk pembelian harta kediaman yang pertama.  Antara syarat yang perlu dipenuhi adalah perjanjian jual beli harta kediaman tersebut mestilah bertarikh di antara 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2025 dan jenis harta kediaman yang dibeli adalah sebuah rumah atau satu unit kondominium atau pangsapuri atau rumah pangsa.

 

Kebiasaannya, pihak Kerajaan akan mengemaskini perintah pengecualian duti setem ini dari semasa ke semasa, yang mana syarat-syarat pengecualian akan berbeza mengikut perintah yang dikeluarkan oleh Kerajaan.  Untuk itu, bagi mengenal pasti sama ada anda layak mendapatkan pengecualian duti setem yang berkenaan termasuk yang akan dikeluarkan oleh pihak Kerajaan nanti, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat guaman yang sewajarnya.

 

Disediakan oleh,

Anis Syahidah Binti Ariffin

TETUAN MISYAIL OTHMAN & CO.